Nuffnang Ads

Sunday 7 October 2012

Cerita Hari Ini: Pilihan





Bunyi enjin kereta kedengaran di luar rumah. Seorang budak lelaki belasan tahun mula bergegas menjenguk ke luar rumahnya, melihat gerangan siapa yang hadir pada lewat petang hari minggu begini. Si ayah duduk di muka pintu, kepulan asap menghiasi bibirnya yang terhasil daripada sepuntung rokok yang dihisapnya. 

"Siapa yang datang?" Si ayah bertanya. Sesekali kepalanya turut menjenguk, sekejap rendah dan sekejap tinggi. Ingin tahu juga siapa yang datang walaupun dia sendiri malas mahu bangkit menyambut tetamu yang hadir itu. 

"Saudara kita, ayah," jawab si anak. Kemudiannya perlahan-lahan dia menyarung selipar ke kaki. Pagar rumah dibuka, menjemput saudara yang hadir masuk.

Saudara tiga beranak yang hadir itu pun masuk ke dalam rumah setelah dijemput. Mereka saling bersalaman seperti lazimnya adat orang Melayu tatkala berjumpa dengan saudara-mara. 

"Lambat sampai." Si ayah berkata kepada saudara yang hadir. Mereka hanya diam membisu dan saling berpandangan antara satu sama lain. 

"Ada hal tadi." Saudara lelaki yang berpangkat bapa menjawab setelah lama mereka berdiam diri. 

"Ohh..." Itu sahaja yang dikatakan oleh si ayah. 

"Saya naik atas dahulu." Saudara lelaki yang berpangkat anak berkata tiba-tiba. Dia sudah biasa dengan rumah itu. Lagipun seminggu tinggal di situ membuatkan dia tidak kekok untuk membuat rumah itu bagaikan rumahnya sendiri. Ibu dan bapanya telah menghantar dia tinggal di rumah itu gara-gara kerana kelakuannya yang sukar dikawal. Kiranya dia dihantar di situ kerana ibu bapanya meminta tolong supaya kelakuannya dapat diubah ketika dia tinggal di situ.

Si ayah dan dua orang saudara yang berpangkat ibu dan bapa itu mula berborak tatkala saudara lelaki berpangkat anak naik ke tingkat atas, memasuki bilik si anak. Dia mula mengambil beberapa buah buku pelajaran yang terletak di atas meja belajar dalam bilik si anak. Kemudiannya dia bergegas turun ke bawah kembali.

"Jom balik. Saya dah ambil buku dah," kata si saudara lelaki berpangkat anak. Ibu dan bapanya hanya memerhati sahaja.

"Nak pergi ke mana tu?" Si ayah bertanya. Kini dia sudah berdiri bercekak pinggang. Tidak duduk di atas sofa lagi. 

"Mahu balik," jawab si saudara lelaki berpangkat anak.

"Jangan nak mengada-ngada. Tinggal. Esok bukan ke sekolah?" Si ayah sudah mula bersuara tinggi. Memarahi saudara lelaki yang berpangkat anak itu.

"Saya datang mahu ambil buku sahaja." Si saudara lelaki berpangkat anak sudah mula keluar dari rumah, bergegas ke kereta yang dinaikinya tadi. Dia masuk ke dalam kereta, siap sedia mahu pulang ke rumahnya sendiri.

Si ayah mengekori saudara lelaki yang berpangkat anak itu. Pintu kereta di sebelah saudara lelaki berpangkat anak itu dibuka. "Keluar!" kata si ayah dengan nada tinggi.

Saudara lelaki berpangkat anak mengeleng-gelengkan kepalanya. "Tak mahu!"

"Aku kata keluar, keluarlah!" Si ayah sudah mula hilang sabar. Situasi mereka ketika itu diperhati oleh si anak dan dua orang saudara berpangkat ibu dan bapa itu.

"Tak mahu!" Saudara lelaki berpangkat anak itu tetap berdegil.

Si ayah merengus kuat. Kesabaran di dalam dadanya sudah pun menipis melihatkan kelakuan saudara lelaki berpangkat anak itu yang masih berdegil dan tidak mahu mendengar cakapnya. "Keluar!" Si ayah menarik lengan saudara lelaki berpangkat anak itu supaya keluar dari kereta. Saudara lelaki berpangkat anak itu keluar sambil meronta-ronta. Mereka berdua bergelut seketika di sebelah kereta milik saudara itu sehinggalah si ayah terlepas pegang saudara lelaki berpangkat anak itu menyebabkan lelaki muda itu berjaya melarikan dirinya.

"Jangan lari!" Lantang suara si ayah tatkala melihat saudara lelaki berpangkat anak itu berlari jauh hingga hilang dari pandangan mata. "Anakku, pergi kejar saudaramu itu." Si ayah mengarahkan anak lelakinya. Si anak lelaki mengangguk kemudiannya dengan pantas dia pun mengejar saudara lelaki berpangkat anak itu setelah menyarung selipar di kaki.

Mungkin disebabkan dia ialah atlet, si anak berjaya mengejar saudara lelaki berpangkat anak itu dengan pantasnya. Lengan saudaranya itu ditarik kuat. Saudaranya itu dipaksa berhenti.

"Lepaslah!" Saudara lelaki berpangkat anak itu meronta-ronta ingin melepaskan dirinya tetapi tenaga si anak lebih kuat daripadanya.

"Kenapa kau marah-marah ni?" Si anak bertanya. Dia cuba untuk menenangkan saudara lelakinya itu.

"Aku marah dengan mak akulah! Dia tipu aku. Kata bagi aku ambil buku sahaja lepas itu boleh balik rumah!" tengking saudara lelaki berpangkat anak itu.


"Kau nak pergi mana?" Si anak bertanya lagi dengan nafas yang berat. Ada juga rasa penatnya setelah mengejar saudaranya itu walaupun mereka masih berada di dalam kawasan perumahannya. Kini, mereka berhenti betul-betul di hadapan bengkel kereta yang berada dalam kawasan perumahannya. Situasi mereka ketika itu diperhatikan oleh beberapa orang abang yang bekerja di bengkel kereta itu. Mungkin mereka juga pelik melihatkan si anak dan saudara lelaki itu bergelut di hadapan mereka.

"Aku nak lari dari rumah." Saudara lelaki berpangkat anak menjawab. Dia masih lagi berusaha mahu melepaskan dirinya.

"Kau nak lari macam mana? Kau bukannya tahu pun selok-belok kawasan ini." Si anak mengingatkan saudara lelakinya itu.

"Aku boleh panggil kawan-kawan akulah. Suruh dia orang ambil aku." Si saudara lelaki berpangkat anak itu berkata dengan megahnya. Bangga mempunyai kawan-kawan yang kononnya boleh membantunya tidak kira masa dan di mana-mana jua.

Si anak sudah mula hilang sabar. Akhirnya dia menolak tubuh saudara lelakinya itu hinggakan saudara lelakinya itu jatuh terduduk di atas jalan tar. "Pergilah kau. Pergi pada kawan-kawan kau tu. Aku nak tengok sejauh mana kau boleh hidup dengan kawan-kawan kau tu. Pergilah kau hidup merempat dengan dia orang!" tengking si anak. Langsung tidak peduli akan situasi mereka yang bagaikan drama petang di televisyen itu diperhati oleh orang ramai. Dia sendiri sudah bengang dengan saudara lelakinya itu yang masih tidak sedar lagi akan realiti hidupnya sendiri. Saudara lelaki itu tidak tahu yang masa depannya sendiri kini terletak di tangannya sendiri. Tiada siapa yang boleh bantu dia berubah melainkan dirinya sendiri. Dia tidak sedar bahana yang akan dihadapi olehnya pada masa hadapan jika dia tidak berubah tatkala itu juga.

Saudara lelaki berpangkat anak itu merenung pada si anak. Kemudiannya dia bangkit dan mula berlari, meninggalkan si anak. Si anak hanya melihat sahaja saudara lelaki berpangkat anak itu berlari hingga hilang dari pandangan matanya.

"Lantak kaulah nak jadi apa!" rengus si anak. Dia mengusap rambutnya dengan kasar. Melepaskan geram di hati. Selajur dia pun mula melangkah, pulang ke rumahnya sendiri. Sudah tidak peduli lagi akan saudara lelakinya itu. Dan itulah kali terakhir dia melihat saudara lelakinya itu...



Moral: Setiap pilihan semuanya terletak di tangan kita sendiri. Memang benar takdir itu telah ditentukan tetapi kita sendiri yang memilih corak takdir kita sama ada kita mahu yang baik ataupun yang buruk. Allah memberikan kita apa yang kita pilih. Seperti syurga atau neraka? Yang mana satu kita pilih? Renung-renungkanlah dan selamat beramal. Wassalam...


No comments:

Post a Comment