Nota daripada Penulis: Baca cerpen "Cinta?" dahulu sebelum baca cerpen ini. Sekian... klik [sini] untuk baca "Cinta?".
***
H.E.L.L.O! Hello... apakah maksud ‘Hello’ sebenarnya? Hmm... bagi aku perkataan ‘Hello’ ini ialah perkataan pertama yang perlu kita ucap apabila kita bertemu buat kali pertamanya dengan seseorang. Itu bagi akulah... tak tahulah pula pandangan orang lain macam mana.
***
H.E.L.L.O! Hello... apakah maksud ‘Hello’ sebenarnya? Hmm... bagi aku perkataan ‘Hello’ ini ialah perkataan pertama yang perlu kita ucap apabila kita bertemu buat kali pertamanya dengan seseorang. Itu bagi akulah... tak tahulah pula pandangan orang lain macam mana.
Hello! Ingat aku
lagi tak? Hehehe... akulah, Nana yang ceritakan tentang kisah cinta pertama dia
tu. Alah... yang dengan Airil tu... hah, dah ingat dah? Okay... sekarang ni aku nak bagitahu kisah cinta aku dengan budak
lelaki yang langgar bahu aku tu. Kekasih pertamaku. Hmm... dahlah dia sombong
waktu tu. Langsung tidak minta maaf dengan aku. Tapi selepas beberapa hari
kejadian itu berlaku, detik demi detik aku sudah mula dekat dengannya. Nak tahu
macam mana? Hah, nilah nak cerita ni! Tapi jangan bagitahu orang lain tau.
Cerita ini hanya kita sahaja yang kongsi. Shhhhhhh...
Nur Jannah |
Aku duduk di
atas sebuah kerusi yang tersedia di taman permainan yang berdekatan dengan rumahku.
Pada waktu itu aku sedang membaca buku. Biasalah... pada waktu-waktu petang
begitu, aku memang suka membaca buku di taman. Pelik ke? Ada jugalah orang
panggil aku pelik. Huhu... tapi nak buat bagaimana? Itu hobi aku. Lagipun aku
suka baca buku kat taman tu pun sebab nak tengok anak-anak kecil bermain di
situ. Muka mereka comel sangat! Chubby-chubby
belaka. Rasa macam nak culik mereka pun ada. Bawa balik rumah. Hehehe... tapi
tak boleh. Itu sudah melanggar undang-undang.
Aku melihat jam
di tangan. Jarum di jam aku sudah menunjukkan pukul 6.45 petang. Sudah hampir
menginjak ke waktu senja dah. Tak perasan pula aku sebab khusyuk sangat membaca
buku. Aku mula bergerak untuk pulang ke rumah. Baru sahaja dua tapak melangkah,
tiba-tiba ada sebiji bola meluru ke arah kakiku. Tak sempat aku menahannya, aku
pun jatuh terjelepok. Aduh, malunya! Tak payah cakaplah... dah macam buah
nangka busuk jatuh ke tanah dah gayanya.
Aku mendesis
perlahan. Haih... siapalah malaun yang berani menendang bola ke arah aku ni?
Tak belajar sivik ke oit? Aku geram. Yalah... punyalah besar padang bola yang
ada di situ, boleh pula tendang bola ke arah aku yang berada di pinggir padang
tu. Tak cukup luas lagi ke padang bola tu?
Aku
menepuk-nepuk seluar yang aku pakai. Habis kotor kerana terkena debu tanah. Aku
yang masih terduduk di atas tanah itu pantas menggapai bola yang meluru ke
arahku tadi.. Dalam hati memang rasa nak campak aje bola tu pada muka orang
yang menyepaknya tadi. Tapi niatku terbantut. Seorang budak lelaki yang lebih
kurang sebaya denganku datang menghampiri aku. Dia berlari-lari anak. Budak
lelaki itu memakai topi berwarna merah yang dipusingkannya ke belakang. Gayanya
agak cool juga!
Dia berhenti
betul-betul di hadapanku. Kemudian dia menghulurkan tangannya kepadaku. Pada
mulanya aku fikir dia hendak membantu aku bangun dari jatuhku tapi rupa-rupanya
dia mahu meminta bola yang aku pegang itu. Amboi, tak gentlemannya. Dahlah langsung tidak bercakap. Hanya beri isyarat
sahaja. Bisu ke mamat ni? Aku tertanya-tanya. Pada mulanya aku enggan beri bola
itu kepada dia tapi dia bertindak pantas dengan merampas bola tersebut dari
tanganku. Aku terpaku. Eh-eh... sesuka hati dia aje! Dahlah tak minta maaf
lepas tu minta bola tak reti nak cakap.
“Jazmi!
Cepatlah!” Kedengaran kawan-kawannya memanggil dia dari jauh. Aku lihat ada
sekumpulan budak lelaki yang lebih kurang sebayaku juga berada tidak jauh dari
kami. Budak-budak lelaki itu melambai-lambai memanggil budak lelaki yang
bernama Jazmi di hadapanku ini supaya bergegas kepada mereka.
Aku memandang
Jazmi dengan pandangan tidak puas hati. Jazmi membuat muka innocent. Tiada perasaan. Dengan selambanya dia berlari pergi
kepada kawan-kawannya yang sedang menunggu. Meninggalkan aku tanpa meminta maaf
atau membantu aku bangun dari jatuhku. Hish, serius aku mula berasa benci akan
dia! Tapi ada juga sekali dia menoleh ke belakang memandangku lama. Kenapa ni?
Kenapa dia pandang aku macam tu? Dup-dap... dup-dap... eh, jantung aku ni!
Boleh pula bergetar hebat. Adakah aku sudah jatuh cinta pandang pertama?
Tapikan... kenapa aku rasa macam pernah lihat ek muka dia ni? Aku pernah jumpa
dia di mana-mana ke? Arghh... lupakan ajelah!
Malas mahu
berfikir panjang aku berjalan keluar dari taman permainan itu. Sebelum sempat
aku menyeberang jalan, aku terpandang akan seorang kanak-kanak perempuan di
bawah sepohon pokok yang ada di tepi taman permainan. Kanak-kanak itu sedang
duduk mencangkung sambil melukis sesuatu di atas tanah dengan sebatang ranting
kayu. Dia keseorangan sahaja di situ. Aku pelik kerana ramai lagi kanak-kanak
lain yang bermain di taman itu dan kenapa dia tidak turut bermain bersama-sama
mereka?
Perlahan-lahan
aku menghampiri dia lalu bertanya, “Hello adik, kenapa duduk di sini? Kenapa
tak main dengan budak-budak yang lain?”
Kanak-kanak
perempuan itu memandangku tatkala aku menegurnya. Dia diam. Tidak menjawab
soalanku. Pandangannya ke arahku bagaikan ingin memberitahuku sesuatu tetapi
dia tidak meluahkannya.
Aku pun duduk
mencangkung di sebelahnya dan sekali lagi bertanya akan soalan yang sama. Walau
bagaimanapun, reaksinya masih sama seperti tadi. Diam. Aku mengeluh perlahan.
Tidak puas hati kerana kanak-kanak itu langsung tidak memberi riak balas
kepadaku.
“Jangan risau
adik. Kakak bukan orang jahat. Kakak orang baik,” ujarku sambil itu aku cuba
menggapai tangannya bagi menunjukkan keikhlasan hatiku yang begitu mengambil
berat akan dirinya.
Dia menjauhkan
dirinya dariku sebelum sempat aku memegang tangannya. Mukanya nampak
takut-takut. Aku merenung matanya lembut. Cuba untuk memujuknya supaya bercakap
dengan aku. Aku tahu aku bukanlah pandai melayan kanak-kanak sangat tetapi sedikit
sebanyak aku mencuba kerana risau akan dirinya yang duduk seorang diri di bawah
pohon yang tersorok itu.
“Adik...” Kali
ini aku cuba mendekatinya lagi. Mungkin terkejut, kanak-kanak perempuan itu
terus bangun, berlari jauh dariku. Sebelum dia menghilang, dia merenungku
dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Apa yang dia hendak beritahu
kepadaku sebenarnya?
Aku melihat
sekeliling. Senja sudah semakin melabuhkan tirainya. Hari juga sudah semakin
gelap. Aku melangkah pulang ke rumah. Meninggalkan taman permainan yang pada
hari itu sudah mula mencipta sejarah buat diriku. Sejarah yang tidak mungkin
akan aku lupakan.
**********
Aku duduk
bermain di atas buaian. Cahaya bulan menemani diriku pada malam yang gelap dan
sunyi sepi itu. Taman permainan pada waktu itu sunyi. Tiada seorang manusia pun
berada di situ. Aku melihat tapak tanganku. Nampak kecil sahaja di mataku.
Hmm... ibu mana?
Ayah mana? Eh, kenapa aku bersoal sedemikian? Kenapa ya? Ah, tak apalah...
sunyinya malam ni. Rindunya pada ibu dan ayah. Kenapa mereka tinggalkan aku
seorang diri?
“Hello adik, jom
ikut pak cik. Pak cik nak bawa adik jalan-jalan ni.” Tiba-tiba ada seorang
lelaki berbadan besar dan tegap mendekati aku. Aku menggeleng perlahan. Tidak
mahu mengikutnya. Tali buaian aku pegang kuat. Bersedia untuk bertahan
kalau-kalau lelaki itu akan berbuat sesuatu kepadaku.
“Jomlah,
adik...,” pujuk lelaki itu lagi.
Saya tak mahulah
pak cik! Pak cik tak faham-faham lagi ke? Eh, kenapa suara aku tak keluar ni?
“Hish, budak
ni!” Mungkin berang kerana aku tidak mahu mengikutnya, lelaki itu terus menarik
aku dan memikul aku di bahunya. Aku meronta-meronta meminta diri dilepaskan
tetapi dengan dayaku yang selemah ini pastinya aku tidak mampu berlawan
dengannya.
Lepaskan aku!
Lepaskan aku! Itulah yang cuba aku jeritkan tetapi suaraku langsung tidak
keluar. Kenapa ni? Aku seolah-olah menjadi orang bisu. Tiada langsung bunyi
yang terkeluar.
Tolong! Tolong! Aku
tak mahu ikut lelaki ini. Aku pasti sesuatu yang buruk akan berlaku kepada aku
jikalau aku mengikutnya.
Lelaki itu
memasukkan aku ke dalam sebuah kereta berwarna hitam di tempat duduk belakang.
Dia mengikat kaki dan tanganku tetapi mulutku langsung tidak ditutupi dengan
apa-apa. Mungkin dia tahu aku bisu disebabkan itulah dia tidak ambil kisah.
Sepanjang berada
di dalam kereta hitam itu, aku tidak henti-henti meronta. Aku cuba menendang
kerusi pemandu di mana lelaki itu duduk. Memberontak minta dilepaskan. Sesekali
mata aku memandang juga suasana gelap di luar cermin kereta. Walaupun nampak
gelap, aku masih lagi dapat lihat pokok-pokok yang ditanam di sepanjang tepi
jalan. Kelihatan seperti kami melalui hutan.
Ke manakah dia
hendak bawa aku pergi ni? Aku mula menangis perlahan. Air mata kini berjujuran
di pipiku. Setitis demi setitis. Ketakutan memang sudah lama menguasai aku
sejak dibawa lari oleh lelaki tersebut.
Beberapa minit
kemudiannya kereta berhenti. Enjin dimatikan. Lelaki itu keluar lalu membuka
pintu penumpang di belakang. Dia menarik aku keluar dan meletakkan aku ke atas
bahu kirinya. Dia membawa aku ke sebuah rumah usang. Rumah itu gelap gelita.
Sedikit cahaya pun tidak ada.
Aku memukul
belakang lelaki itu beberapa kali. Lelaki itu bengang mungkin kerana kesakitan.
Dia memegang kuat tubuh badanku, cuba menghentikan aku dari terus memukulnya.
Selepas itu, dia membawa aku masuk ke sebuah bilik. Di tengah bilik itu ada
sebuah meja panjang. Nampak seperti meja pembedahan yang kebiasaannya ada di
hospital. Di sebelah meja panjang
tersebut ada sebuah meja kecil yang di atasnya terletak beberapa peralatan
pembedahan seperti gunting, pisau dan lain-lain lagi.
Aku gerun. Apa
yang dia nak buat kepada aku ni? Tolonglah... ada sesiapa tak yang boleh
selamatkan aku? Aku merayu di dalam hati.
Lelaki itu
menekan punat lampu yang ada di atas meja pembedahan itu kemudiannya dia
membaringkan aku di atas meja tersebut. Cahaya yang suram mula menerangi bilik
yang gelap itu tadi. Kaki dan tanganku yang diikat tadi dilepaskan ikatannya.
Aku fikirkan itulah peluang aku untuk melepaskan diri tetapi harapan hanyalah
harapan. Lelaki itu cepat-cepat menarik tubuhku dan mengikat aku dengan tali
yang bersambung dengan meja pembedahan tersebut. Dia mengikat tali itu kuat
membuatkan perutku terasa senak dan badanku langsung tidak boleh bergerak.
Aku kembali
menangis teresak-esak. Kenapa ni? Apa yang dia nak buat ni? Ibu, ayah... adik
takut...
“Adik duduk
diam-diam ya? Pak cik nak check adik
ni sihat ke tidak. Okay... jadi budak
baik ya?” ucap lelaki itu dengan lemah-lembutnya. Dia mengambil sebilah pisau
yang panjang yang ada di atas meja kecil di sebelahku. Matanya kelihatan besar
dan merah memandang aku. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Senyuman yang amat
mengerikan bagi diriku. Senyuman yang mungkin aku akan lihat buat kali
terakhirnya dalam hidupku.
Tidak! Aku tak
suka senyuman tu! Ayah, ibu... tolong adik! Adik takut...
Perlahan-lahan
lelaki itu meletakkan pisau yang panjang itu ke leherku. Nafasnya mendesah.
Bagaikan pemangsa yang taksub kerana dapat menangkap mangsanya. Aku merenung
mata lelaki itu dalam-dalam. Merayu agar diri ini dilepaskan. Merayu agar pisau
panjang itu tidak terus diletakkan atau dihiriskan ke leherku. Berharap yang
dia tidak akan melakukan perkara kejam yang aku fikirkan ini.
“Ahahahaha...”
Lelaki itu ketawa besar. Ketawanya kedengaran jahat di telingaku. Tak lama
kemudiannya aku terasa pisau panjang itu perlahan-lahan mula memotong leherku.
“Tidak! Aku tak
mahu mati! Tidak, lepaskan aku! Jangan bunuh aku! Argghhhhhh...”
Pang!
Aku terdiam.
Pipiku yang kebas aku gosok perlahan. Badanku terasa menggigil. Seram sejuk. Ketakutan
dan kegerunan masih lagi aku rasai. Apa yang telah terjadi sebenarnya ni?
“Kenapa ni, Nur
Jannah? Kenapa awak menjerit-jerit macam orang terkena histeria ni?” Guru
kelasku, Puan Ainul Mardhiah bertanya cemas. Di sebelahnya berdiri seorang budak
lelaki. Memandang aku dengan wajah berkerut.
Aku membalas
pandangan budak lelaki itu. Terasa seperti pernah bertemu dengannya sebelum
ini. Kemudiannya aku memandang sekeliling pula. Rupa-rupanya aku berada di
dalam kelas. Kejadian tadi itu hanyalah semata-mata dalam mimpiku. Tapi pisau
panjang yang lelaki itu letakkan di leherku terasa seakan-akan betul terjadi.
Kesakitannya bagaikan betul-betul aku rasai. Mengingatkan mimpi ngeriku tadi,
membuatkan aku memeluk tubuhku kuat. Badanku yang menggigil masih lagi dirasai.
Bibirku pula seakan-akan berketar.
“Nur Jannah, awak okay ke?” Sekali lagi Puan Ainul Mardhiah bertanya kepadaku. Mungkin
cemas melihat aku yang masih menggigil.
“Saya okay, cikgu. Cuma mimpi buruk aje,”
ujarku dengan suara perlahan seakan-akan berbisik. Aku menyentuh pipiku. Terasa
basah. Adakah aku menangis? Aku fikirkan aku hanya menangis dalam mimpi sahaja
tadi.
“Nah, tisu.”
Budak lelaki yang berdiri di sebelah Puan Ainul Mardhiah memberikan sehelai
tisu kepadaku. Aku memandang mukanya lama. Bukan ke dia ini Jazmi? Budak lelaki
yang aku jumpa di padang semalam? Dia satu kelas dengan aku ke selama ni?
Kenapa aku tak pernah perasan akan kewujudan dia ya?
“Terima kasih,”
ucapku perlahan. Kepala aku tunduk ke bawah. Mengelak dari bertentangan mata
dengan dia. Aku terasa malu apabila ada orang lain meihat aku menangis. Segan.
“Awak nak
berehat di bilik kesihatan ke? Kalau nak, saya boleh suruh kawan sekelas awak
temankan awak ke sana,” kata Puan Ainul Mardiah. Dia merenungku lembut, berusaha
menenangkan aku yang masih menggigil ketakutan ini.
Aku mengangguk
perlahan, bersetuju dengan saranan guru kelasku itu tetapi aku menolak dari
ditemankan. Aku boleh pergi sendiri. Lagipun aku tidak suka menyusahkan orang
lain dan aku sedar aku ini introvert dan bukan semua budak-budak sekelasku suka
berkawan denganku.
Perlahan-lahan
aku keluar dari kelas menuju ke bilik kesihatan. Sebelum itu aku sempat menoleh
ke belakang melihat Jazmi. Lelaki itu menghantar pandangan yang sukar
dimengertikan kepadaku. Sama seperti semalam juga.
Waktu tengah
hari. Loceng tamat persekolahan berbunyi. Aku turun dari katil yang ada dalam
bilik kesihatan. Sudah puas berehat di situ, aku mengucapkan terima kasih
kepada guru yang bertugas di dalam bilik kesihatan itu. Kemudian aku mengorak
langkah untuk pulang.
Sesampai sahaja
di perhentian bas, aku duduk di bangku panjang yang kosong. Menunggu bas yang
selalu aku naiki untuk pulang ke rumah. Tak lama kemudiannya aku terdengar
bunyi derap kasut seseorang.
Jazmi. Ucapku
perlahan di dalam hati. Hatiku berdegup kian pantas tatkala ternampak wajahnya.
Jazmi memandangku sekejap sebelum dia duduk di sebelahku. Bukan betul-betul di sebelah.
Dia dudukdi hujung kiri bangku itu manakala aku duduk di hujung kanan bangku
itu. Kira-kiranya jarak kami masih jauh lagi.
Jazmi Damian |
Jazmi mendengar
MP3. Dia nampak agak cool juga
apabila berbuat sebegitu. Aku tersenyum sendiri. Terhibur dengan kata-kata yang
terucap di dalam hatiku ini.
“Maafkan saya
sebab tampar awak tadi.” Tiba-tiba Jazmi bersuara. Dia berkata tanpa
memandangku.
Aku memegang
pipiku. Baru sedar bahawa ketika aku terjaga dari tidur tadi sebenarnya aku terasa
pipiku perit. Oh, rupa-rupanya dia telah menampar pipiku!
“Tak apalah.
Lagipun awak dah selamatkan saya dari terus tenggelam dalam mimpi ngeri saya
tu. Kalau awak tak buat macam tu, saya tak pasti saya boleh terus hidup ke
tidak...”
“Kenapa awak
cakap macam tu? Dasyat sangat ke mimpi awak tu?” Jazmi bertanya pelik.
“Hmm, dasyat
jugalah... terasa macam nyawa saya ini ibarat telur di hujung tanduk sahaja,”
kataku dengan suara perlahan. Tiba-tiba terasa seriau pula apabila mengingatkan
mimpi ngeriku tadi itu kembali. Aku memeluk tubuhku erat. Berharap perasaan itu
akan hilang nanti.
Jazmi diam.
Tidak membalas kata-kataku. Tidak lama kemudiannya dia bangkit. Aku
tertanya-tanya dengan tindakannya itu.
“Bas dah
sampai,” ujarnya pendek lalu melangkah naik ke anak tangga bas. Meninggalkan
aku yang terpinga-pinga.
Oh, patutlah dia
bangun tadi! Buat aku saspens aje... omelku di dalam hati. Aku menurut langkah
Jazmi. Ketika berada di dalam bas aku duduk di kerusi belakang drebar manakala
Jazmi pula duduk di kerusi yang paling belakang sekali. Kalau ikutkan hati, mahu
sahaja aku duduk berdekatan dengan Jazmi tetapi nilai-nilai ketimuran masih
lagi menebal dalam diriku ini. Takkanlah aku mahu terhegeh-hegeh pergi
kepadanya pula.
Suasana di dalam
bas sunyi. Yang kedengaran hanya bunyi enjin bas yang sesekali seakan-akan
mengah apabila berhenti di setiap stesen perhentiannya untuk menjemput para penumpang.
Di saat itu fikiran aku mula melayang. Bersoal jawab di dalam hati sendiri
mengenai Jazmi yang duduk di belakang. Sifat-sifat lelaki itu kelihatan misteri
buat diriku. Yalah, kenapa aku tidak sedar langsung akan kewujudannya selama
ini? Mungkinkah dia sebenarnya sudah lama sekelas denganku? Mungkin sejak aku
di tingkatan satu lagi? Peliknya... kenapa aku tak pernah tahu ya? Kosong
sangat ke fikiranku selama empat tahun berada di sekolah menengah ini? Kronik
betul hidup aku selama ini...
Aku menarik
nafas panjang. Bertekad di dalam hati bahawa selepas ini aku akan cuba membuka pintu
hati ini untuk menerima orang lain. Tidak kiralah rakan sekelasku, atau
rakan-rakan sebelah kelasku, atau mungkin pelajar-pelajar yang satu sekolah
denganku. Aku sedar aku tidak seharusnya terus-terusan hidup dalam duniaku
sendiri dan menjadi gadis introvert. Itu semua bakal membuatkan masa hadapanku
suram tanpa ditemani sesiapa pun.
Tettt... bunyi
loceng bas ditekan. Aku rasa Jazmi yang menekannya kerana aku perasan yang bas kami
naiki ini sudah berhenti di kawasan perumahan kami. Aku turun dari bas diikuti
Jazmi.
Kami
bersama-sama jalan menuju ke rumah masing-masing. Aku di hadapan, dia di
belakang. Memang betullah tekaan aku bahawa dia juga satu kawasan perumahan
denganku. Hatiku terasa berbunga-bunga ceria kerana selepas ini pasti kami akan
selalu bertembung.
Kami melalui
taman permainan. Tiada langsung perbualan yang menghiasi suasana kami. Tatkala mahu
beredar dari kawasan itu, aku terpandang budak perempuan yang aku jumpa
semalam. Budak perempuan itu menggamit aku dari jauh. Aku sudah mula
berperasaan pelik. Walhal semalam budak perempuan itu menjauh dari aku tapi
hari ini dia mahu aku mendekatinya pula.
Perlahan-lahan
aku pergi kepada budak perempuan itu. Jazmi yang mengekori aku dari belakang
terpaku. Mungkin pelik melihat aku pergi ke taman permainan. Lagipun jam baru
menunjukkan pukul 2.50 petang. Tiada orang lain pun yang datang bermain di
situ.
“Adik... kenapa
panggil akak?” laungku dari jauh sebelum datang menghampiri budak perempuan
itu. Budak perempuan itu masih diam tapi ketika aku semakin menghampiri dia,
dia lari pula dariku.
“Nana... awak
nak pergi mana tu?” Jazmi menegur aku.
Aku memandang
dia pelik. “Macam mana awak tahu nama panggilan saya?” soalku hairan. Stalker ke dia ni? Hinggakan tahu nama
panggilanku.
Jazmi terdiam.
Apabila dia mahu menjawab soalanku itu, aku berpaling daripadanya. Mengekori
budak perempuan yang sejak dari tadi asyik menggamitku seolah-olah mahu aku
mengekorinya.
“Awak nak pergi
mana tu, Nana?” Banyak kali juga Jazmi bertanya kepadaku tapi satu soalannya
pun tidak aku balas.
Aku mengekori
budak perempuan itu. Kami melalui jalan raya kecil yang kanan dan kiri jalannya
dihiasi hutan Jantung aku yang tadinya berdegup perlahan kini semakin pantas
degupannya. Tiba-tiba sahaja aku berasa tidak sedap hati kerana seingat aku,
jalan yang kami lalui ini hampir sama seperti dalam mimpi yang aku alami di
dalam kelas pagi tadi.
“Ya, Allah...,”
ucapku perlahan. Aku menekup mulut. Menahan perasaan seriau yang mula menguasai
diriku. Mana tidaknya... di depan mataku kini, tersergam rumah usang yang aku
lihat di dalam mimpi ngeriku itu. Budak perempuan itu berhenti di hadapan pintu
rumah usang tersebut, melambai-lambai ke arahku dari jauh. Bagaikan mengajak
aku masuk ke rumah usang tersebut. Aku yang pada mulanya takut, cuba
memberanikan diri. Entah kenapa kakiku bertindak tanpa mengikut akal fikiranku,
melangkah menuju ke rumah usang tersebut.
“Nana, awak nak
pergi mana tu? Bahayalah...” Jazmi cuba menahan aku dari terus melangkah. Aku
tidak mempedulikannya. Seakan-akan dipukau, aku terus berjalan ke pintu rumah
usang tersebut yang sudah sedia terbuka. Budak perempuan itu kini sudah hilang
masuk ke dalam rumah itu.
Aku melangkah
setapak demi setapak dengan penuh berhati-hati. Bunyi tapak kasutku cuba
dikawal, agar ia tidak mengeluarkan bunyi bergema yang kuat kerana suasana di
dalam rumah usang itu begitu sunyi. Jantung aku yang kini berdetak laju, aku
cuba tahankan agar aku tidak begitu gemuruh.
Jazmi di
belakangku juga turut melangkah dengan penuh berhati-hati. Dia mengekori aku
dengan rapat. Mungkin cuba untuk melindungi aku. Sikapnya yang berwaspada itu,
sedikit sebanyak membuatkan aku terasa selamat buat ketika itu.
Aku terpandang
akan budak perempuan itu yang kini berdiri di hadapan sebuah bilik yang pintunya
terbuka renggang. Kelihatan ada sedikit cahaya dari bilik tersebut. Cahaya yang
sedikit itu membuatkan suasana rumah yang suram itu kelihatan agak menyeramkan.
Aku memeluk tubuhku. Rasa takut bagaikan cuba untuk memujukku, menyuruh aku
terus-terusan berperasaan begitu. Aku menoleh ke arah Jazmi di belakang.
Wajahnya kelihatan tenang tetapi aku tahu dia juga berperasaan seperti aku cuma
dia tidak mahu menunjukkannya kepadaku. Bukankah dia lelaki? Pastinya dia juga
ada egonya yang tersendiri.
Budak perempuan
itu masuk ke dalam. Aku mengekorinya perlahan-lahan. Tatkala aku menolak pintu
bilik itu sedikit, aku ternampak ada sebuah meja panjang yang rupanya
betul-betul sama dalam mimpiku. Budak perempuan tadi sudah tiada. Hilang entah
ke mana...
“Tak mungkin...,”
ucapku perlahan. Aku terduduk. Nafasku terasa tersekat. Di kala itulah, aku
terasa ada tangan yang memegang bahuku. Cepat-cepat aku menepisnya tetapi
rupa-rupanya itu adalah tangan Jazmi. Dia memberikan pandangan risau. Mungkin
gusar melihat keadaan aku yang bagaikan sudah tidak berdaya untuk bangun lagi
itu.
“Awak okay ke?” soal Jazmi. Aku diam. Tidak
menjawab soalannya.
Ketika Jazmi
mahu cuba menarik aku untuk bangun, di kala itulah kami terdengar bunyi tapak
kaki yang semakin menghampiri bilik yang kami masuk ini. Jazmi cepat-cepat
menarik aku, menyorok di belakang almari besar yang ada di sudut bilik
tersebut.
Pintu bilik
dibuka luas. Muncullah seorang lelaki berbadan tegap mengendong seorang budak
perempuan yang meronta-ronta minta dilepaskan. Aku tergamam. Mulutku ditekup
kuat. Lelaki itu... lelaki itulah yang ada dalam mimpi ngeriku. Aku memegang
leher pula. Takut jikalau mimpiku nanti menjadi kenyataan pula. Sebelah
tanganku menarik lengan baju Jazmi. Ingin memberitahunya mengenai mimpiku itu
tetapi suaraku bagaikan tersekat di kerongkong. Tidak mampu meluahkan apa-apa.
Jazmi
memandangku. Perasan yang lengan bajunya aku tarik. Dia memegang bahuku. Cuba
menenangkan aku tetapi aku menggelengkan kepalaku laju. Aku tidak boleh bertenang
dalam keadaaan sebegini. Kalau boleh, aku mahu lari keluar dari bilik tersebut.
Tidak mahu berada berdekatan dengan lelaki berbadan tegap itu. Air mata mula
perlahan-lahan jatuh ke pipiku. Perasaan takut, seriau, seram... bercampur-baur
menjadi satu dalam diriku.
Jazmi tidak
terkata apa-apa. Dia kembali memerhatikan lelaki berbadan tegap itu. Lelaki itu
meletakkan budak perempuan yang dikendongnya ke atas meja panjang. Budak
perempuan yang memang menangis teresak-esak itu diikat menggunakan tali yang
bersambung dengan meja panjang tersebut. Kemudiannya lelaki itu mengambil sebilah
pisau yang ada di atas meja kecil bersebelahan budak perempuan itu. Aku mula
risau. Kali ini aku menarik lengan baju Jazmi lebih kuat dari tadi. “Jazmi...”
“Tidak!!!” Budak
perempuan itu menjerit tatkala pisau mencecah lehernya. Aku terperanjat. Jazmi
sudah meluru ke hadapan, menendang tangan lelaki itu yang memegang pisau. Pisau
tercampak jauh. Lelaki itu jatuh tersungkur.
“Nana,
selamatkan budak perempuan tu dulu.” Jazmi memberi arahan kepadaku. Aku yang
masih menggeletar cepat-cepat meluru ke arah budak perempuan yang terikat itu.
Aku melepaskan ikatan yang dililit ke badan budak perempuan itu. Budak
perempuan itu terus memeluk aku erat selepas ikatan di badannya diuraikan. Dia
menangis dalam pelukan aku. Aku berusaha menenangkan dia walaupun aku sendiri
pun takut dengan situasi yang melanda kami sekarang.
Jazmi membuka
langkah kuda-kuda. Kedua tangannya digenggam ke hadapan. Gayanya ibarat petinju
pula apabila aku lihat dari jauh. Dia bersiap siaga untuk menghadapi serangan
lelaki berbadan tegap itu. Lelaki berbadan tegap itu perlahan-lahan bangun. Dia
membetulkan sengal-sengal yang terasa di badannya. Berkeriut-keriut bunyinya
kedengaran. Mukanya bengis. Matanya terbeliak besar.
Lelaki itu
melakukan serangan. Dia meluru laju ke arah Jazmi. Jazmi mengelak sambil itu
sikunya sempat menghentak belakang leher lelaki itu. Lelaki berbadan besar itu
jatuh tetapi kaki kirinya cuba menguis kaki Jazmi bagi menjatuhkan Jazmi pula.
Jazmi melompat tinggi ke belakang, mengelakkan dirinya dari terjatuh.
Kemudiannya Jazmi kembali dalam langkah bertahan. Dia menggenggam kedua-dua
penumbuknya ke hadapan.
Lelaki berbadan
tegap itu tidak puas hati. Matanya melilau sekeliling. Tatkala matanya dapat
menangkap benda yang dicari, dia terus meluru ke arah benda tersebut. Fikiran
Jazmi dapat tangkap apa yang dicari oleh lelaki itu tetapi dia tidak sempat
bertindak untuk merampas benda itu terlebih dahulu. Aku lihat Jazmi menarik nafas
panjang tatkala lelaki berbadan tegap itu memegang pisau di tangannya. Aku mula
cemas. Budak perempuan di dalam pelukan aku juga semakin kuat tangisannya, bagaikan
tahu perkara yang lebih buruk akan terjadi kepadanya selepas itu.
Lelaki berbadan
tegap itu menyeringai. Rupanya begitu menakutkan. Dia meluru ke arah Jazmi
sekali lagi, kali ini dengan pisau di tangannya. Pisau itu diacu terus ke perut
Jazmi. Jazmi cuba menepis tetapi hujung mata pisau itu terkena bahu kiri Jazmi pula. Jazmi terundur ke belakang.
Dia memegang bahunya yang tercedera.
“Jazmi!” Aku
automatik menjerit namanya. Risau jikalau dia betul-betul tercedera parah. Baju
sekolah Jazmi yang berwarna putih kini bercorakkan warna merah darah miliknya.
Aku takut. Aku mahu bergerak menghampiri Jazmi tetapi Jazmi mengangkat tangan
kanannya tinggi, menghalang aku dari terus merapatinya.
“Saya tak
apa-apa,” ujarnya lembut tetapi aku masih dapat dengar suaranya mendesis
kesakitan.
“Jazmi, depan
awak!” Aku memberi amaran kepadanya kerana ketika itu lelaki berbadan tegap itu
sudah mengorak langkah mahu menyerang Jazmi sekali lagi. Pisau terhunus di
depan mata Jazmi. Jazmi berefleksi pantas. Dia memegang tangan lelaki itu yang
memegang pisau. Mereka mula bergelut. Aku cemas. Sekejap pisau itu diacukan ke
perut Jazmi, sekejap lagi pisau itu diacu ke perut lelaki itu pula. Tak lama
kemudiannya mereka bergelut di lantai pula.
Jantungku
bergetar hebat. Aku memerhatikan pergelutan mereka. Aku ingin membantu Jazmi
tetapi aku sendiri pun takut. Bagaimana ni?
Selepas beberapa
saat getir, mereka berdua berhenti bergelut. Kedua-duanya terbaring di atas
lantai. Jazmi dihempap oleh lelaki berbadan tegap itu. Aku lihat mata Jazmi
terpejam rapat. Nafasku mula terasa tersekat-sekat. Jazmi... Jazmi... Tak
mungkin dia dah mati? Air mataku sudah merembes laju. Budak perempuan yang
berada dalam pelukanku, aku peluk dengan lebih erat lagi.
“Errghh...” Aku
terdengar suatu suara mengerang. Aku kembali menoleh ke arah Jazmi dan lelaki
berbadan tegap itu. Kali ini aku lihat Jazmi sudah bergerak. Alhamdulillah...
dia masih hidup lagi rupanya.
Perlahan-lahan
aku merangkak ke arah Jazmi. Budak perempuan itu aku tinggalkan di sudut
dinding. Dia takut mahu menghampiri lelaki berbadan tegap itu. Aku membantu
Jazmi menolak tubuh lelaki itu yang menghempap Jazmi. Kami menelentangkan
lelaki itu. Aku lihat perut lelaki itu kini berlumuran darah yang banyak dan
ada pisau tercucuk tepat ke perutnya. Aku tidak pasti lelaki itu masih hidup
ataupun tidak, apa yang aku tahu, aku perlu menarik Jazmi jauh daripada lelaki
itu.
“Awak pergi
hubungi polis. Saya akan cuba awasi lelaki itu. Mungkin dia hanya pengsan
sahaja sebab kehilangan banyak darah. Lebih baik awak cepat.” Jazmi menggesa
aku. Aku mengangguk sekali. Faham dengan arahan yang diberinya. Perlahan-lahan
aku bangkit, mengumpul kekuatan untuk berlari keluar dari rumah usang tersebut
dan mencari pertolongan secepat mungkin.
Beberapa minit
kemudiannya pihak polis sampai di rumah usang tersebut. Aku sebagai penunjuk
jalan turut menaiki kenderaan polis menuju ke rumah itu. Aku cepat-cepat masuk
ke dalam rumah itu, mencari Jazmi. Sebaik sahaja aku ternampak Jazmi yang kini duduk
bersandar di dinding, aku datang menghampirinya sambil itu meminta bantuan
kecemasan daripada pasukan paramedik yang turut mengikuti pasukan polis tadi.
Jazmi tersenyum
lemah tatkala matanya bertembung dengan mataku. Aku tahu dia sudah tidak larat
menahan kesakitan yang dialaminya ketika itu. Dua orang paramedik berusaha
memberikan rawatan kecemasan kepada Jazmi. Sesekali mereka bertanya keadaan
Jazmi dan Jazmi hanya terdaya menjawab lemah sahaja.
Aku hanya mampu melihat
dari jauh. Tidak berani mendekati Jazmi kerana takut mengganggu kerja-kerja
paramedik itu pula. Sewaktu aku mahu beredar meninggalkan Jazmi dengan
paramedik tersebut, aku terpandang akan budak perempuan yang aku temui di taman
permainan semalam. Budak perempuan itu kini tersenyum gembira, berdiri di sudut
tepi tingkap yang ada dalam bilik tersebut. Mukanya tidak lagi seperti semalam.
Kaku atau tidak berperasaan. Aku mahu menghampiri dia tetapi dia menggeleng
perlahan seolah-olah tidak membenarkan aku pergi kepadanya. Aku pelik. Hati aku
berbisik supaya biarkan sahaja budak perempuan itu.
“Tuan, kami
jumpa banyak tengkorak dan tulang manusia di satu bilik bawah tanah malah ada
satu mayat budak perempuan yang nampaknya baru sahaja dibunuh tiga hari yang
lepas.” Seorang anggota polis memberitahu kepada inspektor yang bertugas di
lokasi itu. Inspektor itu mengangguk, kemudiannya mengorak langkah mengikut
anak buahnya.
Aku menekup
mulut. Rasa mual mula terasa mendengar akan perkataan tengkorak, tulang dan
mayat. Tak lama kemudiannya mayat budak perempuan yang disebutkan itu dinaikkan
ke atas dari bilik bawah tanah. Inspektor itu sempat menyelak plastik hitam
yang menutup muka budak perempuan itu dan alangkah terkejutnya aku muka mayat
itu sama seperti muka budak perempuan yang aku temui di taman permainan
semalam. Aku tergamam. Mindaku berusaha untuk menguraikan simpulan misteri yang
aku alami. Ini bermakna budak perempuan yang aku temui itu sebenarnya sudah
tiga hari mati? Dan apabila aku fikir-fikirkan lagi, mimpi ngeri yang aku alami
itu mungkinkah kejadian yang betul-betul terjadi? Mungkin mimpi itu adalah
kejadian budak perempuan itu dibunuh.
Aku mengucap
panjang. Kuasa Allah mahu menunjukkan aku keadilan yang sepatut dimiliki oleh
budak perempuan yang dibunuh dan teraniaya itu. Aku mula menangis dan berasa
simpati terhadap nasib budak perempuan yang mati dibunuh itu.
Jazmi dari jauh
memandangku. Dia menghadiahkan senyuman. Mungkin dia cuba mahu memujuk aku
supaya tidak terus-terusan menangis. Aku membalas senyumannya kembali. Air mata
masih merembes lagi di pipiku. Tidak lama selepas itu, aku dan Jazmi di bawa ke
hospital, menjalani pemeriksaaan dan diberi rawatan kecemasan. Kami berdua
dapat pulang ke rumah setelah pihak polis mengucapkan jutaan terima kasih
kerana membantu mereka dalam menyelesaikan kes siri penculikan dan pembunuhan
kanak-kanak yang sudah tiga bulan berleluasa di sekitar Lembah Kelang. Lelaki
yang melakukannya itu sebenarnya adalah salah seorang ahli sindiket gelap yang
menculik dan membunuh kanak-kanak untuk mendapatkan organ dalaman dan dijual ke
pasaran gelap. Ada juga manusia kejam seperti itu! Sanggup membunuh untuk
kepentingan diri sendiri dan tamakkan harta dunia.
Keesokannya
seperti biasa, kami hadir ke sekolah. Berita mengenai pertolongan kami terhadap
pihak polis sudah tersebar di sekolah. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada
kami dan ada juga yang bertanya lebih lanjut mengenai kes tersebut. Sekelip
mata aku menjadi terkenal di sekolah. Sejak kejadian itu, ramai yang mula
mendekati aku hinggakan anggapan mereka terhadapku juga sudah berubah. Pada
mulanya mereka menganggap aku gadis yang sombong dan hanya suka bersendirian.
Kali ini persepsi mereka berubah. Mereka tidak lagi membiarkan aku keseorangan.
Malah ke mana-mana sahaja aku pergi, ramai rakan sekolahku menegur. Tidak
kiralah yang sebaya denganku atau lebih tua dariku malah yang lebih muda juga.
Alhamdulillah.
Kehidupanku juga sudah berubah dengan lebih baik selepas kejadian tersebut. Dan
cuba teka apa hubungan aku dengan Jazmi selepas itu? Hmm... selepas beberapa
hari kejadian itu berlaku, boleh dikatakan setiap hari aku pulang ke rumah
bersama-sama dengan Jazmi. Alasan Jazmi, dia kata rumahnya dekat dengan
rumahku. Lagipun kami sekelas dan pastinya waktu balik kami sama. Walhal aku
sendiri tahu niat sebenarnya. Sebetulnya dia mahu mengawasi aku kerana
bimbangkan keselamatan aku yang selalu balik seorang diri tanpa berteman.
Jazmi juga ada
meluahkan perasaannya kepadaku. Sebenarnya dia sudah lama perhatikan aku. Sejak
kami di tingkatan satu lagi. Cuma aku sahaja yang tidak perasan akan
kewujudannya. Dia juga ada menyatakan yang dia suka kepadaku. Aku tersipu-sipu
sewaktu mendengarkan luahan hatinya itu. Walau bagaimanapun, aku menolak
perlahan perasaaan hatinya itu. Aku memberi kata putus supaya kami hanya
berkawan sahaja. Kalau ada jodoh, mungkin hubungan kawan kami ini akan naik ke
peringkat alam perkahwinan pula. Hihi...
Dan ya! Memang
betul. Sekarang ini aku sudah tamat belajar di universiti dalam peringkat
ijazah. Aku juga sudah bertunang dengan Jazmi dan kami hanya menunggu saat-saat
detik pernikahan kami yang akan berlangsung tidak lama lagi. Aku bahagia dengan
kehidupan aku sekarang. Sesekali aku teringat akan alam persekolahan aku
dahulu. Dan sesekali aku teringat juga akan Airil yang pernah menjadi cinta
ilusi pertamaku. Aku tidak pernah menceritakan perihal Airil kepada Jazmi. Ah,
mungkin suatu hari nanti! Lagipun aku pasti dia mungkin tidak percaya dengan
kejadian yang aku alami ini. Bukankah misteri? Hmm... aku baru perasan yang
kehidupan yang aku jalani selama ini selalu berkait rapat dengan misteri.
Adakah selepas ini aku akan alami kejadian misteri seperti ini juga? Hanya
Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Hmm...
bagaimana? Suka dengan cerita aku ini? Jangan lupa tahu. Tak boleh beritahu
sesiapa mengenai cerita aku ini. Hanya kepada kau sahaja aku bercerita. Janji?
Oh, ya! Doakan
juga kebahagian aku dengan Jazmi Damian bin Saifullah (Nama betul Jazmi.
Hehe...). Insyaallah... jika umur panjang kita akan bertemu lagi dan mungkin
juga aku akan bercerita kepada kau lagi mengenai kehidupan aku.
Hello! Ucapan
pertama apabila kita bertemu seseorang tetapi lebih indah jikalau ucapan itu
ditukarkan kepada salam. Assalamualaikum... J
P.S. Akhirnya siap juga cerpen "Hello!" sambungan "Cinta?". Alhamdulillah... hehe, best tak? Cerpen ini inspirasinya dari anime Ghost Hunt yang saya minat gila tengok! Cuba try... seram cerita tu tapi watak utama lelakinya handsome! Hihik... suka tengok pun sebab lelaki tu handsome aje... tapi awas! Sesiapa yang ada sakit jantung atau lemah semangat, dilarang tengok cerita tu sebab seram sangat! Huhu...
No comments:
Post a Comment