Nuffnang Ads

Tuesday, 3 April 2012

Cerpen: April Tinggal Kenangan



“Janji dengan abang yang Tiffa akan jaga diri?” Dubeis meminta kepastian daripada isterinya. Isterinya mengangguk perlahan. Wajahnya yang bujur sirih itu tampak tenang. Senyuman manis juga dihadiahkan buat si suami. Dubeis mencium belakang tapak tangan isterinya. Kemudian dia mencium dahi isterinya pula dengan penuh syahdu. Tiffa memejamkan matanya. Menghayati perasaan si suami yang baru dikahwininya seminggu lepas.

“Abang pun jaga diri,” ucap Tiffa lembut. Wanita itu merenung mata suaminya lama. Suaminya menjawab dengan anggukkan kepala saja. Kemudian lelaki berumur lewat 30-an itu beredar. Meninggalkan trak yang dinaiki mereka. Dubeis yang berpakaian lengkap serba hitam dan bersenjata raifal di tangan gagah bergerak bersama skuad khas pasukan polis.

Tiffa bersiap sedia untuk menjalankan misinya pula. Walaupun dia baru saja berkahwin seminggu yang lepas, tugas yang menuntut perkhidmatannya tetap digalas. Misi mereka pada hari ini amat berbahaya dan mencabar. Mereka bertanggungjawab untuk menyelamatkan ratusan nyawa kanak-kanak dan guru di sebuah sekolah rendah di kawasan Lembah Kelang. Sekolah itu telah ditawan oleh sekumpulan penjahat yang seramai hampir 30 orang ataupun mungkin lebih. Pihak polis sendiri tidak pasti kerana informasi yang mereka dapati tidak tepat sepenuhnya. Malah punca tawanan juga mereka tidak tahu. Apa yang pasti, penjahat itu telah menyatakan yang mereka ada memasang bom yang akan meletup dalam masa empat jam lagi dari sekarang.

Tiffa menarik nafas panjang. Dia perlu menenangkan dirinya. Dalam keadaan getir seperti ini, dia perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Tak lama selepas itu, dia pun bergerak keluar dari trak polis. Dia memakai baju kurung sutera berwarna coklat muda. Rambutnya yang panjang diikat tinggi seperti ekor kuda. Dia juga bercermin mata. Ini semua adalah penyamarannya untuk masuk ke kawasan sekolah.

Tiffa diiringi oleh sepasukan polis yang lengkap berpakaian serba hitam dan bersenjata. Mereka masuk ke kawasan sekolah melalui pintu belakang. Di situ kawalannya tidak ketat. Mereka berjaya menyusup secara senyap-senyap dan menumpaskan penjahat yang mengawal pintu belakang itu.

Tiffa
“Tunggu di sini hingga saya beri isyarat.” Tiffa mengarahkan pasukan yang berada di bawah arahannya. Anak-anak buahnya mengangguk sekali tanda mereka faham. Semuanya sudah bersiap siaga untuk bertindak pada bila-bila masa.

Perlahan-lahan Tiffa bergerak ke tandas guru perempuan di bangunan yang berdekatan. Dia pura-pura bercermin dalam tandas guru itu. Memang sengaja dia berbuat demikian. Misinya adalah untuk merelakan diri ditawan oleh penjahat supaya dia dapat mengetahui segala aktiviti penjahat itu dan menyerahkan info kepada pihak atasan yang menunggu di luar kawasan sekolah. Dirinya sudah dilengkapi dengan alat pendengaran yang tersorok kemas pada pakaiannya. Alat itu hanya kecil sahaja dan sukar untuk dilihat oleh sesiapa pun.

“Hei, keluar! Tak ada sesiapa yang boleh berlegar sesuka hati.” Seorang lelaki yang bertopeng ski mengacukan pistol ke arah Tiffa. Dia juga mempunyai tiga orang teman. Tiffa menyembunyikan senyumannya. Agenda pertama misinya telah berjaya.

“Gerak cepat.” Tiffa terasa acuan pistol di belakang pinggangnya. Malah hembusan nafas juga terasa dekat di telinganya. Dalam hatinya rasa panas mulai menyirap. Kalau tak difikirkan kerana tugas, memang sudah lama dia bunuh lelaki itu. Sesuka hati je nak peluk-peluk pinggang orang! Kalaulah Dubeis tau... nahas lelaki ini dikerjakan.

Tiffa terpaksa menahan emosinya. Perlahan-lahan dia bergerak mengikut arahan penjahat itu. Dia dibawa ke dewan sekolah yang menempatkan semua tawanan. Mata Tiffa melilau melihat keadaan sekeliling. Rasa terkejut menghinggap dirinya. Rupa-rupanya penjahat yang ada bukan seramai 30 orang tetapi lebih daripada 60 orang. Itu baru yang mengawal dewan. Belum lagi yang mengawal di tempat-tempat lain.

Tiffa memerhati lagi. Semua penjahat ini lengkap bersenjata dan bertopeng ski. Guru-guru ditempatkan di hadapan pentas dewan. Dan murid-murid pula berkerumun di tengah dewan membentuk bulatan yang dikawal oleh para penjahat di sekeliling mereka.

“Bos, kami jumpa guru perempuan ini di tandas. Dia nampak mencurigakan.” Beritahu lelaki yang menjumpai Tiffa tadi. Dia sedang bercakap dengan seorang lelaki berketinggian tujuh kaki. Lelaki itu kemudiannya merapati Tiffa. Dia merenung tanda nama yang terselit di dada Tiffa.

“Cikgu Jessica? Jessica Alba?” Lelaki itu ketawa dengan gurauannya. Walhal tanda nama di dada Tiffa hanya bertulis ‘Jessica’ saja. Tiffa ikut tersenyum apabila lelaki-lelaki yang berada di depannya gelak. Ooo... gelak-gelak ek? Tak apa... gelaklah sepuas hati kau orang. Kau orang tak tau apa yang menanti kau orang kat luar sana tu. Monolog Tiffa di dalam hatinya. Rasa geram bercampur-baur dengan perasaan negatif yang lain.

“Cantik Cikgu Jessica ni bila dia senyum. Err... boleh saya panggil Jessy aje? Nampak lebih mesra sikit.” Lelaki yang dipanggil bos itu mencuit dagu Tiffa. Tiffa menepis laju.

“Uuuih... garangnya Cik Jessy kita ni.” Semua penjahat itu ketawa mendengar luahan bos mereka. “Macam harimau. Aumm...” Dia membuat gaya harimau mengaum lagi. Tiffa menjeling tajam. Dia cuba mengawal emosinya supaya bertenang.

“Hmm... letak dia di sana bersama-sama guru yang lain.” Bos itu memberi arahan. Tiffa ditolak ke arah kerumunan guru oleh salah seorang penjahat itu. Hampir terjatuh dia kerana tidak dapat mengimbangi badan dari ditolak.

“Bos! Kita dalam bahaya. Pihak polis dah berjaya menumpaskan anggota kita di pagar belakang. Malah di timur dan barat tempat ini pun sudah dikepung oleh pasukan polis.” Datang seorang lelaki yang tercungap-cungap memberitahu bos itu. Si bos terangguk-angguk. Tiffa tidak pasti sama ada dia tersenyum ataupun tidak kerana mukanya dilitupi oleh topeng ski.

“Cakap dengan polis keparat tu, kalau mereka bertindak, sepuluh orang pelajar akan ditembak!” Bos itu berkata dengan suara yang tinggi. Kanak-kanak yang berada di depannya menjerit ketakutan. Ada yang menjerit memanggil ibu dan bapa lagi. Suara tangisan semakin kuat kedengaran walhal tadi mereka berdiam diri.

Tiffa menggeleng kepala perlahan. Dia tidak sangka penjahat itu akan bertindak sedemikian. Memang tiada perikemanusiaan langsung! Malah lebih teruk daripada perangai binatang. Tiffa mengeluh. Guru perempuan yang berada di sebelahnya tertoleh kerana mendengar keluhannya.

“Siapa awak?” tanya guru itu perlahan. Riak mukanya seperti mencari jawapan daripada Tiffa. Tiffa mendiamkan diri. Soalan itu mungkin akan menjerat nyawanya sendiri. Dia tidak akan dapat menyelamatkan tawanan jika dia menjawab soalan itu. Oleh itu,  berdiam diri lebih baik buat masa ini.

“Tiffa...” Tiffa tertoleh ketika terdengar namanya dipanggil. Agak terkejut juga dia kerana di situ tiada seorang pun yang tahu nama sebenarnya.

“Abang?” Tiffa berbisik. Dia pasti suara yang didengarinya tadi adalah suara suaminya. Tetapi tiada sahutan selepas itu. Tiffa mengeluh. Ah, mungkin permainan mindanya aje! Tiffa berdoa di dalam hati agar suaminya sentiasa dalam keadaan selamat.

Kring!!!

Bunyi loceng kedengaran panjang. Tiba-tiba air terpancut keluar dari atas. Tiffa dapat lihat air itu keluar dari sistem pengairan yang menjadi alat pengesan kebakaran. Tiffa tersenyum kecil. Dia tahu ini angkara siapa. Kemudiannya dia menjerit kuat menyuruh semua tawanan meniarap ke lantai. Mereka mengikut arahannya dengan pantas. Keadaan di dalam dewan ketika itu kelam-kabut. Penjahat-penjahat yang mengawal mereka banyak yang terpinga-pinga. Tiffa merampas pistol daripada penjahat yang berdekatan dengannya. Dia mencekup leher lelaki itu dan dipusingkan ke depannya untuk dijadikan perisai. Tiffa dapat lihat banyak pistol diacukan ke arahnya.

“Jangan!” jerit lelaki yang menjadi tawanan Tiffa. Dia mengangkat kedua tangannya tinggi. Berharap rakan-rakannya tidak menembaknya. Tiffa mengemaskan lagi pautannya. Lelaki itu terbatuk. Mungkin tercekik agaknya kerana pautan Tiffa yang kuat.

“Cik Jessica... saya dah agak. Kamu ni memang mencurigakan.” Bos mereka ketawa. Tiffa memusatkan pandangannya pada lelaki yang ketawa itu. Tangannya yang memegang pistol diacukan ke kepala lelaki yang berada dalam pautannya. Tiffa dapat rasa badan lelaki itu menggigil. Mungkin ketakutan.

“Sedangkan kanak-kanak pun kami sanggup bunuh, inikan pula orang bawahan takkan kami tak sanggup bunuh juga,” kata si bos. “Tembak!” arahnya.

“Jangan!!!” Lelaki di depan Tiffa menjerit kuat. Dan pada masa yang sama itulah Tiffa dapat dengar tembakan yang bertalu-talu. Matanya tidak sempat berkelip pun melihat kejadian yang berlaku di depan matanya. Adrenalinnya mengalir deras menyebabkan dia berefleksi pantas. Dia tunduk ke bawah untuk berlindung. Lelaki di depannya tadi sudah mati ditembak. Malah penjahat-penjahat yang mengelilinginya tadi juga sudah mati. Tiffa dapat lihat pasukan polis sudah mengerumuni dewan itu.

Dubeis
“Letakkan senjata ke bawah dan angkat kedua tangan ke atas!” Tiffa dapat dengar suara suaminya. Dia menoleh ke arah suara itu. Dubeis dari jauh menghadiahkan senyuman kepadanya. Hati Tiffa sedikit tenang ketika itu.

Si bos ketawa kuat tiba-tiba. Tiffa meluat. Apa lagi yang melucukan lelaki itu?

“Bukankah dah dikata tadi. Kalau pihak polis bertindak, sepuluh orang kanak-kanak akan ditembak. Nampaknya ‘tawaran’ ini tak diterima,” ujar si bos tenang. Tangannya memegang erat sepucuk pistol. Dia langsung tidak kelihatan gentar dengan pihak polis. Dubeis cuba merapati bos itu perlahan-lahan. Langkahnya diatur dengan penuh berhati-hati. Jantung Tiffa pula semakin berdegup kencang. Risau akan suaminya.

“Apa yang kau nak sebenarnya? Siapa yang menjadi dalang dalam perkara ni?” tanya Dubeis penuh diplomasi. Matanya difokuskan kepada bos itu. Langsung tidak memandang ke tempat lain.

Bos itu ketawa besar. “Kalau kau tembak aku sampai mati pun aku takkan cakap. Apa yang pasti, aku dah pun selesaikan tugas aku. Semua orang yang ada di sini akan mati. Bom yang kami pasang akan meletup dalam masa beberapa minit aje lagi. Dan semua orang aku memang dah sanggup nak berkorban nyawa pun. Kami tak takut mati!” jerit bos itu kuat.

Tiffa terpana. Dia tak menyangka bahawa masa sudah berlalu begitu pantas. Walhal dia rasa baru saja dia masuk ke dewan itu dan menjadi tawanan. Bom yang dijangka meletup lagi empat jam rupa-rupanya sudah semakin menghampiri had waktunya.

“Kau semua gila! Apa kebaikan yang kau semua dapat? Dan di mana bom itu diletakkan?” Dubeis bertanya. Suaranya juga semakin meninggi. Tiffa dapat lihat suaminya itu sudah mula hilang kesabaran.

“Huh, aku takkan cakap. Matilah kau!” Bos itu menembak Dubeis tiba-tiba. Nasib baik Dubeis bertindak pantas mengelak. Dia membalas tembakan bos itu tetapi bos itu juga tidak kurang hebatnya. Dia berjaya mengelak semua peluru yang mengejarnya. Dia menyorok di sebalik tiang yang ada di dewan itu. Suasana dalam dewan kabut. Kanak-kanak dan guru-guru yang menjadi tawanan dilindungi oleh pihak polis. Lebih separuh daripada mereka berjaya dibawa keluar dari dewan dengan selamat. Hanya beberapa orang saja yang tinggal kerana takut ditembak peluru sesat jika bergerak.

Tiffa bangkit. Dia juga tidak melepaskan peluang untuk terlibat dengan adegan tembak-menembak itu. Matanya tidak sekalipun silap untuk membidik musuh. Ada saja yang menjadi mangsa tembakannya. Dubeis pula masih lagi bertarung dengan si bos. Pertempuran di dalam dewan itu memang sengit. Darah merah bersemburan di merata tempat. Mayat pula banyak bergelimpangan.

Kini tinggal Dubeis, Tiffa dan beberapa orang anggota polis saja yang bertarung. Penjahat-penjahat itu semua kebanyakkannya sudah mati ditembak. Yang tinggal hanyalah si bos. Liat betul nyawanya untuk mati.

“Serah diri dan kau akan hidup.” Dubeis cuba berdiplomasi. Si bos terdiam. Dia kemudiannya mencampakkan pistol yang ada di tangannya ke lantai. Perlahan-lahan dia mencabut topeng ski yang dipakainya. Terserlahlah wajahnya yang sebenar.

“Darwisy?” Dubeis terpaku. Tiffa dan anggota polis yang lain juga begitu.

“Tak mungkin,” ucap Tiffa perlahan. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Muka lelaki yang dipanggil Darwisy itu serupa dengan muka Dubeis. Apa makna ini semua? Apa hubungan suaminya dengan lelaki itu? Tiffa keliru.

“Ya, abang. Ni Darwisy. Adik kembar abang yang disangka dah mati dalam kebakaran. Huh, nampaknya memang betul-betul akan mati dalam kebakaran pun lepas ni. Tapi dengan abang sekali!” suara Darwisy tinggi.

Dubeis menggeleng. “Tapi kau dah mati empat tahun yang lalu. Macam mana kau boleh hidup semula? Ini semua tak logik.”

“Aku hidup semula kerana dendam. Dendam yang dah lama tersemat di dalam hati hitam ni.”

“Dendam apa? Apa semua ni? Abang tak faham. Apa salah abang sebenarnya?” Dubeis terpinga.

“Memang kau salah. Kau rampas semua hak aku. Semua orang puja kau. Semua orang kata kau hebat. Sedangkan aku... aku merempat pun kau langsung tak ambil kisah. Aku yang orang lain tuduh jahat. Aku yang orang kata langsung tak bermoral. Semua orang beza-bezakan aku dengan kau walaupun wajah kita sama.” Tengking Darwisy. Mukanya merah. Matanya terbeliak besar ketika berkata-kata. Rupanya sungguh menakutkan seperti orang yang sudah hilang akal.

Tiffa kaku di tempatnya ketika mendengar luahan Darwisy itu. Selama ini dia tak tahu pun yang suaminya mempunyai kembar. Suaminya langsung tidak pernah bercerita tentang kembarnya itu.

“Dan kita akan mati bersama-sama di tempat ni.” Darwisy menanggalkan bajunya. Semua yang ada di dalam dewan itu tergamam. Masakan tidak... badan Darwisy dipenuhi dengan wayar dan bom yang dililitkan di badannya. Dan jam di bom itu menunjukkan ia akan meletup dalam masa empat minit sahaja lagi.

“Darwisy... jangan buat kerja gila.” Dubeis cuba menenangkan kembarnya. “Beritahu abang macam mana nak matikan bom tu.”

“Haha... aku sendiri pun tak tahu. Bukan aku yang cipta bom ni.” Darwisy ketawa kuat. Tiffa rasa lelaki itu sudah tak siuman lagi.

“Semua keluar! Selamatkan diri.” Dubeis memberi arahan.

“Tapi tuan...” Anggota polis yang berada di bawah arahan Dubeis teragak-agak.

“Saya kata keluar, keluarlah!” jerit Dubeis. “Jangan buang masa lagi!”

“Dubeis...” Tiffa memanggil nama suaminya perlahan. Semua orang yang ada di dalam dewan itu sudah keluar menyelamatkan diri. Kini tinggal mereka bertiga saja. Tiffa, Dubeis dan Darwisy...

“Keluar, Tiffa. Tiffa dah janji akan jaga diri, kan?” Suara Dubeis tenang.

“Tak... Tiffa takkan tinggalkan abang. Kalau kita nak mati pun biarlah bersama,” kata Tiffa tanpa ragu. Air matanya sudah bercucuran di pipi.

“Ahahaha... jangan nak berdramalah kat sini. Bom ni akan meletup dalam masa dua minit aje lagi. Siap sedialah untuk mati!” Ketika Darwisy ketawa itulah Dubeis cepat-cepat memeluk lelaki itu. Berlakulah pergelutan di antara mereka. Tiffa cemas melihat keadaan itu. Tiba-tiba kedengaran satu bunyi tembakan. Tiffa menjerit memanggil nama suaminya. Perlahan-lahan dia menghampiri kedua-dua lelaki yang sudah tidak bergerak lagi itu. Dia tidak pasti siapa yang masih hidup. Apa yang pasti dia mesti mendapatkan suaminya.

“Abang...” Tiffa terduduk dan memeluk suaminya yang terkulai layu. Kembar suaminya tidak dipedulikan. Lelaki itu terlentang di sisi suaminya. Lumuran darah membasahi tubuh lelaki itu. Tiffa dapat lihat jam digital di bom yang ada di tubuh lelaki itu sudah berhenti pada masa empat belas saat. Tidak bergerak-gerak. Tiffa mengucapkan syukur di dalam hati. Dia tidak pasti bagaimana bom itu boleh terhenti. Apa yang dia tahu, mereka semua dah selamat.

“Tiffa...” Dubeis masih hidup lagi rupanya. Tangannya mencari wajah isterinya.

“Tiffa kat sini, bang.” Tiffa meletakkan tangan suaminya ke pipi kirinya. Dia juga tidak henti-henti mencium tangan suaminya. Air mata yang kering sekejap tadi kini kembali bercucuran laju.

“Jom balik,” ucap suaminya pendek. Tiffa mengangguk. Dia mengukir senyuman. Perlahan-lahan dia membantu suaminya bangun. Lelaki itu berdiri tetapi tidaklah seberapa stabil. Tiffa meletakkan tangan kanan suaminya di bahunya. Mereka kemudiannya bergerak keluar dari dewan itu. Langsung tidak menoleh ke belakang lagi. Langsung tidak mengambil tahu keadaan kembar Dubeis lagi.

Keluar saja dari dewan tiba-tiba mereka terdengar suatu bunyi yang aneh. Bunyinya agak nyaring. Seperti bunyi jam digital. Mereka berpandangan sesama sendiri. Masing-masing sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku.

“Lari!” jerit Dubeis. Tangan kirinya pantas menarik tangan isterinya. Mereka berlari sepantas yang mungkin untuk menyelamatkan diri.

Kababoom! Letupan berlaku.

Tiffa membuka matanya perlahan-lahan. Dia tercari-cari suaminya di sisi. “Abang?” Suara Tiffa serak. Dia cari Dubeis tetapi tidak ketemu. Timbunan batu dan kayu penuh di sekelilingnya. Keadaan Tiffa ketika itu juga agak teruk. Baju kurungnya berdebu dan mukanya juga comot. Dengan sepenuh daya yang ada, dia menolak timbunan kayu dan batu yang berat untuk mencari suaminya. Manalah tahu kalau-kalau suaminya terperangkap.

Beberapa minit berlalu tetapi Tiffa tetap tidak menemui suaminya. Dia terduduk. Air matanya kini mengalir semakin deras. Di situ dia menangis sepuas-puas hatinya. Sesekali dia juga meraung. Dia tak peduli dengan keadaan di sekelilingnya.

“Tiffa...” Tiffa menoleh pantas ketika terdengar namanya dipanggil. Dia terpandang ibunya yang berada di depannya kini.

“Mama? Apa mama buat kat sini?” tanya Tiffa pelik. Ibunya tersenyum. Wanita tua itu cuba menarik Tiffa bangun tetapi Tiffa pantas memeluk ibunya. Dia menangis di bahu ibunya.

“Abang Is... mama. Tiffa tak jumpa Abang Is,” ujarnya teresak-esak. Ibunya menenangkan dirinya dengan mengusap belakangnya. Dia memujuk anak perempuannya dengan kata-kata yang lembut.

“Jangan nangis, sayang...” Tiffa pelik. Itu bukan suara ibunya. Itu seperti suara...

“Abang?”

“Ya, sayang. Abang kat sini.” Tiffa merenung ke atas. Dia dapat lihat muka Dubeis yang tersenyum di belakang ibunya. Tiffa memandang ibunya. Ibunya mengangguk seperti menyuruh dia pergi kepada suaminya. Dengan pantas dia bangun memeluk suaminya. Dubeis tertawa melihat telatah isterinya.

“Jom balik?” Dubeis mengajak. Tiffa mengangguk sekali namun tindakan suaminya selepas itu mengejutkan dirinya.

Dubeis tiba-tiba sahaja mendukung Tiffa seperti puteri diraja dalam cerita dongeng Inggeris itu. Tiffa meronta kecil minta diturunkan tapi tidak diendahkan oleh suaminya. Akhirnya Tiffa mengalah. Dia membiarkan saja suaminya mendukung dirinya. Kepalanya juga dilentokkan ke dada suaminya. Dia terasa tenang dan selamat pula apabila suaminya mendukungnya seperti itu. Lagipun dia sememangnya penat untuk berfikir atau bertindak apa-apa pun. Letih.

Mereka menuju ke trak polis. Meninggalkan si ibu di belakang selepas mengucapkan selamat tinggal. Tiffa sempat memandang sekeliling. Salah satu bangunan di sekolah itu terbakar teruk. Pihak bomba berusaha memadam api yang marak. Situasi ketika itu agak kelam-kabut.

Di dalam trak polis, mereka berdua mendiamkan diri. Tiada seorang pun anggota polis yang berada di situ menegur mereka. Agak pelik juga Tiffa dengan keadaaan itu. Tetapi lama-kelamaan dia melupakan perkara itu kerana matanya sudah tertutup dan dirinya dibuai lena.


Tiffa membuka matanya sedikit kerana terasa seperti ada pancaran cahaya matahari di mukanya. Dia sempat menguap. Begitu lena sekali dia tidur hingga tak sedar hari sudah siang dan dia sudah pun berada di rumah. Dia bangkit dari katil lalu menuju ke ruang tamu. Dubeis tidak ada di sisinya ketika dia bangun tadi.

Loceng di pintu rumahnya berbunyi. Tiffa dapat lihat ada suratkhabar yang dicampak masuk ke bawah pintu rumahnya. Memang setiap hari ada orang yang menghantar suratkhabar ke rumah pangsa mereka itu. Suaminya Dubeis telah melanggan perkhidmatan yang disediakan oleh rukun tetangga. Pelbagai kemudahan yang mereka dapati.

Tiffa mahu mengambil suratkhabar itu tetapi tangannya seakan-akan tidak dapat menyentuh suratkhabar itu. Tiffa pelik. Dia kemudiannya mencangkung untuk melihat berita di muka depan suratkhabar itu. Mulutnya terlopong. Dia tidak percaya dengan apa yang telah dibacanya.


LEMBAH KELANG, 30 APRIL – Berlakunya letupan di salah sebuah sekolah rendah di sini semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira pada pukul 4.00 petang. 14 orang anggota polis maut di tempat kejadian. Nama-nama mangsa ialah ASP Dubeis Darman, 37 tahun, Inspektor Tiffany Darman, 29 tahun...


Tiffa menggeleng kepala. Air matanya mengalir laju. “Tak mungkin. Tak mungkin... aku dan Dubeis dah mati?” bisiknya perlahan. “Habis kenapa aku ada di sini?” Dia pelik. “Apa yang telah terjadi sebenarnya? Ini semua mimpi. Ya, pasti mimpi!”



********************************************************************************
P.S. : Ah, mimpi! Yup... cerita ini saya dapat inspirasi dari mimpi saya sendiri. Tapi saya rasa mimpi saya lagi dasyat. Huhu... serius! Menyeramkan, menakutkan dan macam-macam lagilah benda yang mengerikan. Nak  diceritakan lagi, apabila dah bangun dari tidur tu boleh kata saya menjeritlah juga. Tapi perlahan ajelah. Hehe...hah, part yang Dubeis dukung Tiffa tu memang ada dalam mimpi saya. (Ehehe...wink2) Tapi dalam mimpi saya tu saya tak nampak muka orang yang dukung saya tu. (Opss, kantoi! Cakap diri sendiri yang jadi watak utama dalam mimpi tu. Huhu...) Apa-apa pun, saya suka sangat karang cerita ni sebab cerita ni berdasarkan mimpi saya. Huhu... sweet tak, sweet tak? Teehee... ^_^


6 comments:

  1. teruskan menulis.. bagus cerpennya.. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haip!
      Terima kasih Mizz Aiza.
      Hee...penulis ini akan meneruskan perjuangannya untuk terus-terusan menulis.
      Hehe.. (^_^)>

      Delete
  2. salam. cantik struktur ayatnya. yang terkejut pasal kembar tu. agak lucu dan agak tegang :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haik! Arigato kerana baca ini cerpen.
      Wee~~ :D

      Saya fanatik kembar! Hehe.. ;)

      Delete
  3. Bestnya cerita ni... Pandai mengarang.. :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hee..masih penulisan kecil-kecilan sahaja.
      Terima kasih baca cerpen ini! :D

      Delete