Nuffnang Ads

Thursday 15 March 2012

Cerpen: Sara Annabella



Aku tak pernah lupakan dia. Sejak kali pertama kami bertemu hinggalah kini. Wajahnya yang putih bersih sebersih abiaz. Bibirnya yang mungil dan merah delima. Dan matanya...ya, matanya! Matanya yang berwarna biru itu tak mungkin akan aku lupakan walaupun sekali. Aku selalu berharap aku dapat menghabiskan sisa hidupku dengannya. Tapi... ketentuan Ilahi, kita tidak dapat halangi.

Aku lihat di jendela. Awan hitam sudah berkepul-kepul. Hujan rintik pula sudah turun membasahi muka bumi. Fikiranku mula melayang. Melayang mengingati masa lampau. Oh... aku amat berharap dapat kembali ke masa itu! Tapi apakan daya... masa yang berlalu tak mungkin akan berulang kembali. Gambar di tanganku, kutatap dengan lama. Ingin sekali aku melihat si dia yang memakai baju kebaya putih seperti di dalam gambar ini. Sungguh anggun dan indah hinggakan tidak dapat diungkap dengan bahasa.

Aku ingat kali pertama kami bertemu. Pada pagi itu aku lewat hadir ke sekolah. Aku berlari sepantas mungkin untuk cepat sampai ke sekolah. Aku mengerling jam tangan milikku. Sudah pukul 7.30 pagi. Argh... memang sudah lambat!

Tiba-tiba mataku terpandang kelibat di sebatang pohon rendang di tepi padang kawasan perumahanku. Pada mulanya aku tidak ambil peduli tetapi kemudiannya baru aku perasan yang kelibat itu memakai pakaian sekolah. Hem... aku fikir mungkin ada murid yang mahu ponteng sekolah. Aku hampiri manusia yang sedang enak tidur bersandar di pokok itu. Mukanya ditutup dengan sebuah buku tebal. Buku teks Biologi Tingkatan Empat. Dan dia memakai baju kurung sekolah. Seorang gadis rupanya. Rambut gadis itu pula perang dan pendek di paras bahunya. Kulitnya pula putih mulus. Cantik! Itulah perkataan pertama yang terdetik di hatiku apabila melihat dirinya.

Walau bagaimanapun hatiku tetap tidak puas selagi tak dapat melihat raut wajah gadis di hadapanku ini. Perlahan-lahan aku menghampiri dirinya. Aku  mengangkat buku yang menutup muka gadis itu. Malah ingin mengetahui namanya juga. Perlahan-lahan aku menyelak muka hadapan buku teks itu tetapi belum sempat aku melihat namanya, mata gadis itu terbuka!
Sara Annabella

“What are you doing?” soal gadis itu kepadaku. Aku terpaku. Sebentar tadi aku terlupa melihat wajahnya kerana rasa ingin tahu tentang namanya. Sekarang barulah aku dapat melihat wajahnya dengan jelas. Sangat cantik! Hidungnya mancung. Bibirnya merah. Tetapi matanya berwarna biru. Aku berasa pelik. Anak mat saleh ke dia ni?

“Hey...I asked you, what are you doing?” Pertanyaan gadis itu mengembalikan aku ke alam nyata. Aku mula gugup. Muka gadis itu sudah merah. Mungkin menahan amarah? Dia segera merampas buku miliknya dari tanganku.

“Er... nothing! I didn’t do anything. Err.. okey. Bye!” Aku segera melarikan diri setelah membalas pertanyaan gadis itu. Tak mahu berkompromi lagi. Manalah tahu jikalau dia akan menjadi beruang mengamuk?

“Hey... wait!”

Tiba-tiba gadis itu bangkit mengejar aku. Aku yang panik, berlari dengan lebih pantas lagi. Sekali-sekala aku menoleh untuk melihat gadis itu yang mengejarku di belakang. Wah, lajunya dia lari! Sekejap sahaja sudah berada beberapa inci di belakangku. Dengan sekuat tenaga aku menambahkan kelajuan larianku. Sehinggalah sampai ke depan pagar sekolahku. Tetapi perkara yang malangnya, aku ternampak seorang lelaki yang berdiri di hadapan pagar itu. Tangannya memegang sebatang rotan yang panjangnya mungkin satu meter setengah. Aku sudah tahu apa nasibku pada pagi itu...

“Hai, boleh berkenalan?” ujarku perlahan. Tunduk merenung manusia di hadapanku ini. Hatiku berbunga riang dapat bertentang mata dengannya. Tapi apa yang memedihkan hati ini, pemilik mata berwarna biru itu menjelingku dengan jelingan maut! Aduh...

“Stupid,” balas pemilik mata itu. Dia beredar dari situ tetapi aku sempat menghalangnya dengan mendepangkan kedua tanganku di depannya.

“Excuse me?” Pemilik mata itu mulai bengang. Dia cuba menolak tubuhku untuk memberikannya ruang melepaskan diri.

“Can I know your name?” tanyaku tanpa sabar lagi walaupun sebenarnya... hehehe...

“Alien!” jawab gadis itu lalu merempuh tubuhku dengan kuat. Dia berjaya memboloskan dirinya dariku. Aku menghela nafas hampa.

“Sara Annabella Thompson.” Aku menyebut nama itu dengan kuat. Orang-orang di sekeliling memandangku pelik. Aku tersengih-sengih melihat sekeliling. Pemilik nama itu pula berhenti berjalan. Menoleh ke belakang memandang aku.

“How... how did you know?” soalnya gugup. Mukanya sudah merona merah. Cukup comel dan cantik pada pandangan mataku.

“Alien beritahu pada saya.” Aku tahu dia boleh berbahasa Melayu. Cuma mungkin tidak fasih. Gadis itu melangkah menghampiri aku. Jantungku tiba-tiba berdegup kencang. Apakah perasaan ini? Kenapa dengan jantungku ini?

“How dare you call me by my full name. Nobody ever done that. Who are you? And what do you want from me?” Soalan gadis itu membuatkan aku tersenyum. Aku tahu apa yang dia rasa. Aku tahu... teramat tahu...

Dan sejak hari itulah aku mula merapatkan diriku dengannya. Pelbagai cara kulakukan untuk memenangi hatinya. Sehinggalah pada suatu hari ketika dalam perjalanan ke sekolah, aku terpandang kelibatnya yang sedang membaca buku sambil berjalan. Aku lihat dia seperti khusyuk sehingga tidak sedar akan alam di sekelilingnya. Sehingga tidak sedar ada sebuah kereta yang meluru kepadanya...

HON!!!

Bunyi hon yang kedengaran dan bunyi jeritan yang sama waktu dengannya membuatkan aku pantas bertindak. Aku menolak tubuh itu ke tepi. Dia selamat tetapi aku tidak... mataku terpejam rapat. Tetapi telingaku masih dapat menangkap derap langkah kaki seseorang menghampiri aku.

“Oh, no! No, no, no...” Suara itu menangis. Aku cuba membuka mata perlahan-lahan tetapi tidak berdaya. Rasa sakit di tubuhku tidak dapat digambarkan. Pemilik suara itu memangku kepalaku di ribanya. Tangannya membelai rambutku.

“No, please don’t go. Please...” Suara itu jelas kedengaran di teligaku. Aku cuba tersenyum mendengarkan ucapan dari bibir mungil itu.

“Someone help!” Kemudian samar-samar penglihatan dan pendengaranku hilang...

“Hai...” Suara yang menyapa membuatkan aku tersenyum. Akhirnya... hahaha! Aku tersenyum gembira. Datang pun dia ya?

Aku diam tanpa membalas sapaan itu. Pura-pura buat muka tiada ekspresi. Sengaja mahu menduga dirinya. Manusia sombong! Patutkah aku menggelarkan dia begitu?

“So, how’s your health?” soal manusia di sebelahku. Aku masih lagi bersandar di katil. Ada bantal di belakangku. Badanku tidak aku gerakkan sedikit pun.

“Alhamdulillah. Baik.” Pendek jawapanku. Mukanya pula nampak pelik mendengar jawapanku.

“Al... what?” Dia meminta aku mengulangi apa yang aku ucapkan tadi.

“Alhamdulillah,” jawabku. Akhirnya tersenyum.

“What language is that?”

“Arabic.”

“What is that word means?” soalnya ingin tahu.

“Segala puji bagi Allah.” Aku menjawab dengan tenang.

“Allah?” Lidahnya pelat ketika menuturkan nama itu. “Who is that?”

“Tuhan yang mencipta seluruh alam semesta ini. Yang mencipta manusia dan segala kehidupan  di muka bumi ini.”

“Can I see that God?”

“Tidak. Hanya di akhirat sahaja kita boleh bertemu dengannya. Itupun hanya orang-orang tertentu.”

Kamil
Kemudian aku menjawab pelbagai soalan yang dia tanya dengan tenang. Aku tahu dia ateis. Itu juga salah satu sebab aku ingin mendekati dirinya. Dari sehari ke sehari kami mulai rapat. Dia juga sudah berjinak-jinak dengan agama Islam. Malah adakalanya dia menemui ustazah di sekolah kami untuk mendalami ilmu agama. Perwatakannya juga sudah berubah. Dari bersikap kasar dahulu kini dia menjadi seorang gadis yang bersopan-santun dan lemah-lembut. Dia juga sudah fasih berbahasa Melayu. Hasil ajaran siapa itu ya? Tekalah... hehehe...

“Kamil, pabila habis sekolah nanti, Sara nak masuk Islam,” ucapnya padaku. Waktu itu kami dalam perjalanan pulang dari sekolah. Kami juga mahu singgah di kedai buku yang berdekatan. Sara mahu membeli buku katanya.

“Alhamdulillah. Baguslah jikalau begitu.” Aku membalas sambil tersenyum. Dia juga menghadiahkan senyumannya yang manis itu kepadaku. Hatiku berbunga riang melihatkan senyuman itu. Terasa bagaikan berjumpa dengan bidadari. Kemudian Sara beredar masuk ke dalam kedai buku. Aku menunggunya di stesen bas yang berada di seberang jalan. Beberapa minit kemudian dia keluar dari kedai buku itu sambil melambai padaku. Aku membalas.

Sara mula melintas jalan. Entah bagaimana tak semena-mena sebuah kereta yang dipandu laju meluru padanya. Aku menjerit memanggilnya. Kali ini aku tidak sempat menyelamatkan dirinya. Kenapa? Kenapa selalu sangat ada kereta yang mahu melanggarnya? Laju kakiku melangkah mendapatkan dirinya yang terlentang di atas jalan raya. Orang ramai sudah berkerumun di situ. Aku memangku kepalanya dengan lengan kananku. Baju sekolahku yang putih sudah diselubungi darah milik gadis ini.

“Sara! Bangun, Sara. Bangun...” Mataku berair. Setitis demi setitis jatuh di pipiku. Air mata seorang lelaki. Malah mungkin air mata seorang kekasih juga.

Aku memeriksa lengan nadinya. Tidak berdenyut. Pernafasannya juga tiada. Tidak! Tidak mungkin dia sudah mati. Ini semua tidak mungkin. Aku hanya mampu menangis. Tidak lama kemudian sebuah ambulans datang...

Mana mungkin aku akan lupakan kisah lama ini. Mana mungkin aku akan lupakan wajah yang aku sayangi. Walau bagaimanapun dia sudah pergi meninggalkan alam fana ini. Aku rasa seperti baru saja semalam peristiwa ini berlaku. Sungguh jelas ia berlegar-legar di mindaku.

“Atuk.” Seorang kanak-kanak perempuan menghampiri aku. Dia memeluk lututku. Aku sudah duduk di birai katil.

“Ya, sayang. Kenapa tak tidur lagi ni?” soalku pada cucu perempuanku yang seorang ini. Matanya berwarna biru.

“Sara tak boleh tidur lagilah, atuk. Sara tidur dengan atuk boleh?” soalnya manja. Tangannya kini sudah memeluk leherku.

“Boleh, sayang. Mari atuk dodoikan.” Perlahan-lahan aku membaringkan cucuku di sebelah sambil menyelimutkan tubuhnya. Aku mendodoikannya perlahan. Tanganku juga membelai rambutnya yang berwarna perang itu. Wajahnya persis milik seseorang yang aku sayangi.

Mahu tahu kenapa begitu? Sedangkan wanita yang aku sayangi sudah tidak bernafas ketika berada di pangkuanku semasa dirinya dilanggar dahulu. Agungnya Kuasa Allah. Seagung diri-Nya. Sara Annabella tiba-tiba bernafas semula selepas diberi pertolongan kecemasan oleh pihak ambulans. Dan kemudiannya inilah yang terjadi. Aku dapat mengahwini dirinya yang akhirnya memeluk agama Islam. Agama suci milik Allah. Tetapi walau bagaimanapun dia telah meninggal dunia. Pergi ketika di dalam tidur lenanya. Tidur yang selama-lamanya. Dia juga tidak sempat melihat wajah cucu perempuannya ini. Wajah yang sama dengannya. Malah memiliki nama yang sama juga. Sara Annabella...