Nuffnang Ads

Friday 24 February 2012

Cerpen: Fotogenik



Klik! Klik!

Iyad
“Okay. Terima kasih semua atas kerjasama yang diberikan. Kerja hari ni selesai.” Iyad bersalaman dengan semua orang yang ada di studio itu. Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya. Lelaki yang berambut panjang hingga paras bahu itu merasakan hatinya sungguh puas ketika itu. Sesi fotografi yang mengambil masa selama tiga hari itu akhirnya selesai juga.

“Hai, Iyad. Malam ni you free tak? I ingat nak ajak you dinner.” Shazlin Mariah merapati Iyad. Gadis yang bertubuh seksi dan mengiurkan itu selalu menjadi perhatian lelaki. Malah gadis itu jugalah yang menjadi model untuk syarikat di tempat kerja Iyad ketika itu.

“Erm... sorrylah. I ada hal.” Iyad menolak secara baik. Walhal dia sebenarnya malas mahu melayan gadis itu. Tiga hari dia bekerjasama dengan gadis itu bagaikan berada di penjara rasanya. Susah nak bergerak ke mana-mana. Asyik nak berkepit sahaja dengan dia. Rimas Iyad dibuatnya.

Shazlin Mariah
“Alah, you ni... selalu sangat busy. Bila masa you tak busy? You tak penat ke asyik kerja ni. Sekali-sekala kita kena enjoy juga.” Shazlin Mariah memujuk Iyad. Tangannya sempat diselitkan ke lengan Iyad. Iyad pula terkulat-kulat hendak melepaskan diri.

“Err, sorry. I memang betul-betul ada hal. You dinner dengan orang lain ajelah. Okay? I have to go now. Bye...” Akhirnya Iyad berjaya melepaskan diri. Cepat-cepat dia mengambil peralatan kameranya dan beredar dari studio itu. Dari jauh dia dapat dengar Shazlin Mariah merungut dan menghentak-hentakkan kakinya. Iyad tertawa kecil. Lucu dengan telatah gadis itu.

“Macam-macam,” bisik Iyad sambil menggelengkan kepalanya.

***

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Mengalunkan lagunya yang tersendiri. Iyad menghirup udara segar yang ada di sekelilingnya. Dia bersyukur kerana dapat menenangkan fikiran di kampung nelayan ini. Baru semalam dia sampai ke kampung itu buat pertama kalinya. Itupun sahabat dia, Mamat yang ajak. Kalau tak, tak merasalah dia udara segar yang ada di situ. Mamat yang berkongsi rumah sewa dengannya mengajak dia bercuti ke kampung lelaki itu. Sahabatnya itu berkata, saja-saja mahu bawa dia pulang ke kampung. Nak buat teman. Iyad yang sudah lama tidak bercuti tidak melepaskan peluang ini. Inilah masa dia untuk berehat sepuas-puasnya.

Iyad bergerak ke pantai seorang diri. Mamat sudah hilang entah ke mana. Mungkin mencari teman lama yang ada di kampungnya itu. Hampeh punya kawan! Monolog Iyad. Bengang juga dia kerana ditinggalkan seorang diri. Nak tinggal di rumah lelaki itu, terasa segan pula dengan ibu Mamat tu. Akhirnya dia pun keluarlah untuk mengambil angin.

Siti
Dari jauh Iyad dapat lihat ada seorang gadis duduk di bawah pohon kelapa di tepi pantai. Gadis itu sedang melukis dengan khusyuk di atas kanvas miliknya. Iyad kenal benar dengan gadis itu. Gadis yang berambut panjang hingga ke paras pinggang dan selalu berbaju kurung Kedah itu merupakan adik Mamat. Apa yang menarik perhatian Iyad adalah gadis itu tinggi lampai. Malah wajahnya juga fotogenik. Boleh jadi model kalau-kalau gadis itu berminat. Iyad ada juga curi-curi menangkap gambar gadis itu. Gadis yang bernama Siti itu nampak cantik walaupun tidak bermekap. Terpegun Iyad melihat setiap gambar gadis itu yang diambilnya.

Iyad melangkah perlahan-lahan menghampiri gadis itu. Sengaja kerana dia tidak mahu mengganggu tumpuan gadis itu. Sempat jugalah dia curi-curi menangkap gambar Siti yang sedang khusyuk melukis itu. Tersenyum dia melihat Siti. Entah kenapa setiap gambar Siti yang ditangkap membuatkan hati dia gembira. Dia sendiri pun tidak tahu sebab-musababnya.

“Eh, awak. Terkejut saya. Awak buat apa di sini?” Siti menegurnya ketika Iyad sudah berada di sebelah gadis itu. Iyad menghadiahkan senyuman.

“Saja ambil angin. Siti lukis apa tu?” Iyad cuba berbual dengan Siti walaupun dia sendiri malu-malu kucing. Entah kenapa dengan Siti dia bersikap sedemikian. Walhal dia seorang yang peramah sebenarnya.

“Siti lukis pantai ni. Suka tengok. Cantik. Jadi Siti pun cubalah nak memorikan pantai ni dalam lukisan,” ujar Siti sambil tersenyum. Lesung pipit di pipi kirinya jelas kelihatan.

Iyad terpesona. Dia cuba mengawal diri. “Err... Siti masih belajar lagi, kan?” tanya Iyad. Suaranya agak bergetar ketika itu tapi dia cuba menyembunyikannya.

“Ya. Siti belajar kat UiTM, Shah Alam. Ambil jurusan seni halus,” jawab Siti tenang. Tangan gadis itu masih lagi melakukan aktivitinya. Iyad pula membelek kamera yang ada di tangannya untuk menutup rasa gelisah di dada. Sesekali dia menoleh melihat pemandangan laut yang luas di depan matanya.     

“Awak kerja apa? Photographer ke?” tanya Siti setelah lama mereka berdua mendiamkan diri.

“Ha-ah. Full time. Macam mana Siti boleh tahu ni?”

“Alah, tengok awak asyik pegang kamera tu pun dah tahu awak kerja apa,” ujar Siti. Dia tertawa kecil kemudian-nya. Entah apa yang melucukan hati gadis itu, Iyad sendiri tidak tahu. Akhirnya Iyad pun ikut tertawa kecil. Macam berjangkit pula. Monolog Iyad.

Selepas itu, pelbagai perkara yang mereka bualkan. Iyad berasa seronok pada petang itu. Hingga ke malam dia asyik tersenyum saja mengenangkan perbualan dia dengan Siti. Mamat pula pelik melihat dia tersenyum seorang diri. Tetapi sahabatnya itu tidak pula menegur. Hanya membiarkannya saja.

Keesokan hari, ketika Iyad sedang khusyuk melihat gambar Siti di laptopnya, Mamat tiba-tiba menyergah dia dari belakang. Iyad terkejut.

“Hah, tu bukan gambar adik aku ke? Apa kau buat ni, Iyad?” Mamat bertanya. Lelaki itu tersengih seperti kerang busuk. Iyad pula terkulat-kulat kerana sudah kantoi.

“Eh, mana ada apa-apa.” Iyad cepat-cepat menutup laptopnya kemudian dia merebahkan dirinya di atas katil Mamat. Tangannya digunakan untuk mengalas kepala.

Mamat duduk bersila di atas lantai. Merenung Iyad yang sedang baring itu. “Kalau kau suka kat adik aku tu, cakap jelah terus-terang,” kata Mamat tiba-tiba. Iyad mendiamkan diri. Tidak membalas.

“Adik aku tu pernah kecewa. Dah pernah nak berkahwin dah pun. Tapi tunang dia pula buat hal. Kahwin lari dengan perempuan lain. Teman rapat dia pula tu yang khianat dia.” Cerita Mamat tanpa berselindung. Iyad merenung sahabatnya itu. Agak berminat juga dia dengan sejarah hidup Siti.

Mamat
“Aku nasihatkan kau. Kalau kau nak kat adik aku tu, terus-terang jelah. Tapi kau janganlah kecewakan hati dia. Aku sebagai abang pun tak sanggup tengok dia merana sekali lagi. Siang malam aku tengok dia mengurung diri dalam bilik. Tak keluar-keluar. Lepas tu, tengah malam pula asyik mengigau meraung menangis dalam bilik. Mak aku juga kena teman dia setiap malam. Nasib baiklah dia tak buat kerja gila macam sesetengah orang tu sampai sanggup bunuh diri. Sekarang ni aje dia nampak dah semakin baik. Tak macam dulu lagi dah.” Panjang lebar Mamat menceritakan tentang adiknya.

Iyad merenung ke luar tingkap. Hatinya terdetik rasa belas kasihan terhadap Siti. Tak sangka sampai begitu tragis sekali sejarah hidup Siti. Dikhianati oleh sahabat sendiri pula tu.

Beberapa hari kemudiannya, mereka berdua pulang ke Kuala Lumpur. Iyad kembali sibuk dengan kerjanya. Sepanjang minggu itu dia perlu berada di PWTC untuk pameran fotografinya. Penat lelahnya bekerja selama ini berjaya juga membuahkan hasil  akhirnya. Iyad tersenyum puas dengan kejayaan yang dicapainya. Pameran ini telah membuatkan namanya terkenal di mata dunia.

“Hei, Siti. Buat apa kat sini?” Iyad terserempak dengan Siti ketika gadis itu sedang memerhati gambar-gambar yang sedang dipamerkan. Pameran ini juga menempatkan gambar-gambar daripada para photographer yang terkenal di dunia.  Siti juga terkejut melihat Iyad berada di situ.

“Eh, awak... Siti saja aje datang sini. Itupun kawan yang ajak.” Siti memperkenalkan gadis yang berada di sebelahnya. Iyad menghadiahkan senyuman sebagai salam perkenalan. Kawan Siti itu tertunduk malu memandang Iyad.

“Iyad...” Tiba-tiba muncul Shazlin Mariah entah dari mana. Yang lebih mengejutkan Iyad, gadis seksi yang memakai mini skirt itu memaut lengannya erat. Iyad serba-salah dengan Siti yang memerhatikan kelakuan Shazlin Mariah itu. Sedaya upaya juga dia cuba melepaskan pautan Shazlin Mariah darinya. Tetapi gadis seksi itu tetap berdegil.

“Siapa ni? You kenal dia ke Iyad?” Shazlin Mariah memandang Siti yang memakai baju kurung itu dengan pandangan yang jelik. Sesekali mulutnya mengherot tersenyum.

“Kenalkan ni Siti, adik kawan I. And Siti, ni Shazlin Mariah...”

“...girlfriend Iyad.” Laju Shazlin Mariah menyambung. Dia langsung tidak menyambut salam yang dihulurkan Siti. Iyad terpaku mendengar kata-kata Shazlin Mariah. Dia memandang Siti yang memberikannya senyuman pahit.

“Nama you Siti. Eee... macam nama budak kampung. And pakaian you pun tak up-to-date langsung.” Shazlin Mariah ketawa kuat. Iyad dapat rasa banyak mata yang memandang ke arah mereka. Shazlin Mariah telah menarik perhatian orang ramai dengan ketawanya itu.

Siti tertunduk memandang lantai. Kawan yang ada di sisinya memegang bahunya. Cuba untuk menenangkan dirinya. “Err... saya ada hal lain nak buat lagi ni. Kita borak lain kali ajelah. Saya minta diri dulu,” ujar Siti. Suaranya serak. Iyad dapat lihat mata gadis itu berkaca walaupun cuba diselindungkan.

Kemudian Siti berjalan laju meninggalkan mereka. Kawan Siti terkejar-kejar untuk mendapatkan dirinya. Iyad terpaku. Hatinya terasa sakit ketika itu. Rasa marah juga ada dalam dirinya.

“You ni dah melampau tahu tak?” Iyad mencengkam lengan Shazlin Mariah kuat. Gadis itu terjerit kecil kerana kesakitan.

“I tak nak tengok muka you lagi lepas ni.” Iyad memberi amaran. Kemudian dia menghempas lengan gadis itu dan beredar untuk mengejar Siti. Shazlin Mariah jatuh terduduk kerana hempasan Iyad tadi. Berkali-kali juga dia memanggil Iyad tetapi lelaki itu tidak menghiraukannya lagi.

***

Siti berhenti di tengah-tengah orang ramai. Dia mengesat air matanya dengan lengan baju kurungnya. Langsung tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Hatinya sungguh sakit ketika itu bagaikan dihiris sembilu. Tidak pernah dia merasa begitu terhina selama ini. Lagi-lagi di hadapan Iyad yang sudah mula mengisi ruang kosong di dalam hatinya ini.

“Itu bukan dia ke?” Siti dapat dengar bisikan suara dari sisinya. Agak pelik juga dia. Kemudian tiba-tiba makin ramai pula orang mengerumuninya. Siti yang sedang menangis terasa menggelabah. Dia tak tahu kenapa dirinya dikerumuni.

“Tumpang tanya. Boleh tak awak tanggalkan getah rambut awak tu? Err... lepaskan rambut awak.” Seorang wanita tua menegurnya. Siti teragak-agak mahu menurut kata-kata wanita itu. Tapi akhirnya dia ikutkan juga.

“Hah, memang dialah!” ujar wanita tua itu tiba-tiba. Dia menepuk tangannya kuat. Orang di sekeliling Siti pun turut melakukan perbuatan yang sama. Siti bertambah pelik. Jarinya menolak rambut yang jatuh di dahi ke belakang telinga. Mukanya terasa panas ketika itu. Mungkin menahan malu.

“Awaklah gadis dalam gambar tu kan?” tanya wanita itu kepada Siti. Jarinya menunjuk ke belakang Siti. Siti menoleh untuk melihat gambar yang dimaksudkan. Alangkah terperanjatnya dia melihat gambar besar yang dirantai sekelilingnya yang berada di tengah-tengah dewan pameran. Itu gambar dirinya. Gambar dia sedang melukis di bawah pohon kelapa di tepi pantai. Tetapi siapa yang menangkap gambar dia secara curi-curi itu?

“Cantik, kan?” Siti dapat dengar suara seseorang di belakangnya. Dia menoleh. Siti nampak Iyad berjalan perlahan-lahan menghampiri dirinya. Gadis tinggi lampai itu merenung Iyad dengan pandangan yang penuh persoalan.

“Gambar ni siap dapat award lagi tau. The best picture in Asian. Nombor satu lagi.” Iyad menerangkannya. Lelaki muda itu tersenyum melihat gambar besar di depannya.

“Awak curi-curi tangkap gambar saya?” tanya Siti. Matanya turut memandang gambar dirinya juga. Sesekali dia memandang Iyad yang sudah berada di sisinya.

“Taklah. Saya curi-curi tangkap gambar pokok kelapa tu je. Pokok tu tinggi sangat dan nampak fotogenik. Tu yang saya berminat tu,” jawab Iyad selamba. Dia tersengih.

Siti tertunduk malu. Air matanya sudah kering. Tapi hidungnya masih lagi terasa berair. Dia tak tahu apa yang harus diucapkan pada Iyad. Nak marah lelaki itu ke ataupun mengucapkan terima kasih. Siti bingung.

“Err... mana girlfriend awak tadi tu? Nanti dia mengamuk pula kalau awak bercakap dengan saya kat sini,” ujar Siti. Mukanya agak masam ketika itu. Iyad tertawa kecil.

“Girlfriend mana pula ni?” Sengaja Iyad buat-buat tidak tahu.

“Alah, yang peluk-peluk lengan awak tadi tulah. Yang pakai seksi tu.” Muncung mulut Siti berkata. Kali ini Iyad tertawa besar melihat muka Siti yang tampak comel apabila dia memuncungkan mulutnya itu.

“Itu bukan girlfriend saya. Itu bakal menjadi nenek kerepot. Girlfriend saya ni hah... yang ada kat depan saya ni,” bisik Iyad. Matanya merenung mata Siti penuh makna.

Siti tersipu malu mendengar kata-kata Iyad. “Siapa nak jadi girlfriend awak?”

“Habis tu, awak tak nak jadi girlfriend saya?” Iyad mengangkat kedua-dua keningnya.

“Tak nak,” jawab Siti pendek. Mukanya merah ketika itu.

“Kalau saya nak awak jadi isteri saya macam mana pula?” Iyad bertanya. Suaranya amat perlahan ketika menuturkan pertanyaan itu. Hatinya terasa berdebar-debar. Menanti jawapan daripada mulut gadis tinggi lampai yang berada di sisinya itu.

“Masuklah meminang.” Siti menjawab. Kemudian dia berlari beredar dari situ.

Iyad terpaku. “Betul ke dia suruh aku masuk meminang ni?” Iyad memandang Siti yang sudah jauh meninggalkan dirinya. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Kemudian dia mencubit pipi kirinya untuk memastikan yang dia tidak bermimpi.

Bakal anak Iyad dan Siti. ^^
“Aduh, sakit! Maknanya betullah tu. Err... Siti tunggu! Hari ni juga saya suruh mak bapak saya pergi hantar rombongan meminang.” Iyad menjerit. Dia mengejar Siti. Dari jauh dia dapat mendengar ketawa Siti. Hati Iyad ketika itu  berasa sungguh bahagia. Dia mengharapkan kebahagiaannya ini akan terus berkekalan sampai bila-bila.

“Nak dapatkan anak-anak dan cucu-cucu yang comel. Lagi-lagi yang fotogenik.” Angan Iyad. Dia tersenyum lebar.  

P.S. Cerpen inilah paling excited sekali nak karang sebab ada kena mengena dengan model dan bidang fotografi. Biasalah...zaman sekarang ni kan anak2 muda amat minat dalam bidang ni. (Termasuklah saya juga! >.<) Comel tak baby tu? ^^ Hihi...

3 comments: