Nuffnang Ads

Monday 23 April 2012

Sajak: Sedihnya Hati Ini, Sayang


Sedihnya hati ini, sayang
Pabila kau enggan tersenyum
Sedihnya hati ini, sayang
Pabila kau menjeling marah
Sedihnya hati ini, sayang
Pabila kau berpaling arah
Pergi kepada si dia
Tinggalkan aku sendirian


Mengapa? Kenapa?
Tidakkah aku cukup sempurna buatmu?
Ya, mungkin aku masokistik
Tak kisah apapun yang telah kau lakukan
Walaupun hati ini terluka dalam
Walaupun hati ini dirobek kejam


Biarlah aku sendirian
Melayan lara batin nurani
Mengimbas memori kita bersama
Memori yang penuh duka sengsara
Memori yang perit dan menyakitkan


Sedihnya hati ini, sayang
Sedihnya sukar diungkapkan
Tak terluah dengan kata-kata
Kata-kata nista pun tak terlakar
kerana aku bukan seorang pembohong
Pembohong yang kononnya hidup bahagia
Melimpahkan nista ceria dan gembira
Tidak, itu bukan aku!


Biarlah aku hidup dalam khayalan
Mengangankan perkara indah mengenaimu
Biarlah, biarlah...



Tuesday 17 April 2012

Sajak: Keliru



Kulihat di jendela
Angin kencang di luar
Hujan mulai turun
Membasahi muka bumi


Diriku tertanya-tanya
Apakah fenomena itu
bak isi hatiku?
Rintihan sanubari
Tak siapa pun yang tahu


Kenapa, bagaimana dan apa?
Tidak diketahui jawapannya
Sedih atau gembira?
Tidak terjawab persoalannya
Yang ada hanyalah
Keliru yang menjadi teman.

Sajak: Sayonara, Aii...



Cinta tak sentiasa indah
Rindu tak sentiasa kekal
Sayang tak sentiasa manis
Kasih tak sentiasa teguh

Tatkala semuanya sudah terjadi
Alam maya kembali nyata
Tiada lagi cinta suci
Merana, meratap berair mata
Ikhlas hati tiada murni
Pulang sahaja hidup melata

Selamat tinggal, cinta...
Selamat tinggal, rindu...
Selamat tinggal, sayang...
Selamat tinggal, kasih...

Sayonara, aii...

Sajak: Empat



Empat kali dicintai
Empat kali dilukai
Empat kali disayangi
Empat kali ditinggali


Ya, semuanya empat!
Sial sangatkah si empat?
Kasihan pada si empat...
Selalu sahaja disumpah seranah
Si empat tiada salah
Semuanya takdir tentukan
Redha, tawakal itulah acuannya.

Friday 13 April 2012

Sajak: Menatap Matanya




Menatap matanya
Hati terus terpaut
Degupan pantas tidak henti, kencang
Menatap bayangnya
Hati ikut berlalu
Terikat menjadi refleksi bayangnya.


Ingin sekali diri ini
Menatap wajahnya lama
Sayang... sekadar khayalan


Dari kejauhan
Senyuman indah diukirnya
Akan disimpan dalam
Hati dan memori
Tidak akan dibuangi.


Thursday 12 April 2012

Sajak: Berhentilah Menangis




Berhentilah menangis, wahai intan pujangga...
Kerana air matamu begitu berharga
Bak titisan mutiara yang jatuh dari langit
Bak titisan embun pada dingin pagi

Berhentilah menangis, wahai permata hati...
Jangan biarkan air mata disia-sia
Jangan biarkan hati diremuk redam pilu
Kerana kelak dirimu terguris berbisa

Menangislah dikau kerana Allah...
Kerana Allah Maha Mendengar
segala rintihan sayu hamba-Nya
segala luahan hati daripada hamba-Nya
Sayangilah air matamu itu.

Wednesday 11 April 2012

Cerpen: Lola De' Cafe (sequel Diari Milik Teddy)



“Kopi apa ni? Tak sedap langsung tahu tak? Saya nak kopi yang lain, dengar tak?”

Lola terdengar teriakan seseorang. Ketika itu dia sedang membancuh kopi permintaan pelanggannya. Dia yang berada di dapur berasa tidak selesa mendengar teriakan itu. Yalah, nanti pelanggan-pelanggannya lari pula. Pasti mereka menganggap kedai Lola De’Cafe ini bukan tempat yang aman dan tenteram untuk menikmati secawan kopi ataupun  untuk bersantai.

Lola menghela nafas perlahan. Dia cuba mencari kekuatan untuk menangani pelanggan Mulut-Macam-VIP-Lah-Sangat-Tu...

Lola melangkah ke meja pelanggan tersebut. Oh, lelaki rupanya! Patutlah mulut macam tak ada insurans. Nanti kau... monolog Lola. Hatinya yang panas cuba disejukkan dengan senyuman manis di bibirnya.

“Nurin... awak boleh pergi ke belakang. Biar saya uruskan perkara ni.” Lola meminta pekerjanya yang dimarahi tadi supaya beredar. Nurin mengangguk perlahan. Sugul. Gadis itu kemudiannya berlalu. Meninggalkan Lola dengan pelanggan yang Mulut-Macam-VIP-Lah-Sangat-Tu.

“Ya, encik. Ada apa yang boleh saya bantu?” Lola bertanya lembut walhal di dalam hatinya rasa macam seratus biji bom yang bila-bila masa sahaja akan meletup.

Lelaki tinggi lampai yang berdiri di hadapannya terdiam kaku. Tidak berkata apa-apa. Lola pelik melihat reaksi lelaki itu. Padahal tadi dialah makhluk yang paling bising sekali di dalam kedai milik Lola itu. Lola menghadiahkan senyuman. Cuba menarik perhatian lelaki itu supaya membalas soalan yang ditanyanya tadi.

“Encik... hello, are you okay?” tanya Lola sekali lagi. Dia melambai-lambai tangannya di hadapan muka lelaki itu. Tak lama kemudian barulah lelaki itu memberi reaksi. Dia menggelengkan kepalanya perlahan.

“Er, maaf. Apa yang awak tanya tadi?” Soal lelaki itu pula.

“Saya tanya, ada apa-apa ke yang boleh saya bantu? Sebab tadi awak bising-bising. Saya pengurus Lola De’Cafe ini.” Lola bersuara tenang. Dia cuba bersikap profesional. Kalau ikutkan hati, memang dia mahu terajang aje pelanggan Mulut-Macam-VIP-Lah-Sangat-Tu.

“Kopi ni ada masalah. Saya minta Caramel Machiatto bukannya Cappuccino. Memanglah nampak sama. Tapi rasanya lain,” ujar lelaki itu perlahan. Matanya tidak henti-henti merenung Lola. Lola berasa tidak selesa pula ditenung sebegitu. Dia terasa seperti ada sang harimau yang bila-bila masa sahaja hendak membaham dirinya. Meremang pula bulu roma Lola apabila dia terfikir sedemikian.

“Kalau begitu, saya akan buatkan untuk encik, Caramel Machiatto. Maafkanlah atas kesilapan pekerja saya tadi. Mungkin dia tersilap hantar ke meja encik. Mungkin Cappuccino ini untuk pelanggan yang lain. Kopi yang ini encik tak payah bayar. Free of charge. Encik tunggu sebentar. Sekejap lagi Caramel Machiatto yang encik pesan akan sampai.” Lola meminta diri selepas itu. Lelaki itu kemudiannya terduduk di kerusinya. Tersenyum perlahan sambil matanya tidak lekang memerhatikan gerak-geri Lola.

Lola
Cantiknya! Macam minah Arab. Tinggi lampai pula tu. Rambutnya dipotong pendek ala gaya supermodel gitu. Hish, bergetar jantung ni ketika berhadapan dengan dia tadi. Kenapa, ya? Adakah aku sudah jatuh cinta pandang pertama? Hish, mengarutlah! Lelaki itu kemudiannya duduk bersilang kaki. Dia menunggu dengan sabar kopi yang dipesannya tadi. Tidak lama kemudian, kopi yang dipesan tiba. Yang menghantarnya ialah Minah Arab itu sendiri.

“Ini dia Caramel Machiatto yang encik pesan. Silalah nikmatinya.” Lola memberikan senyuman manisnya. Lelaki itu terpana. Kemudiannya mengucapkan terima kasih dengan suara perlahan. Lola beredar. Memberikan privasi kepada lelaki itu supaya dapat menikmati kopi yang dipesannya tadi.

Lelaki itu masih memerhatikan gerak-geri Lola. Kemudian barulah matanya beralih untuk menikmati Caramel Machiatto kesukaannya. Dia tersenyum apabila melihat lukisan buih yang terbentuk di dalam cawan kopi di hadapannya. Lukisan buih smiley terbentuk cantik dan kemas. Ah, macam-macam! Lelaki itu tersenyum lagi. Kemudian dia pun menghirup air kopi kesukaannya itu.

***

“Aunty Lola.” Lola menoleh ketika namanya dipanggil. Di pintu hadapan kedai dia terpandang dua anak kecil yang comel. Itulah anak-anak saudaranya. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Yang lelakinya ialah abang bernama Tariq. Adiknya pula bernama Jasmin. Kedua-duanya berumur lima tahun dan tiga tahun.

Tariq dan Jasmin berlari mendapatkan Lola. Mereka memeluk kaki Lola sebaik sahaja dekat dengan ibu saudara mereka itu. Lola tersenyum. Terhibur dengan keletah anak-anak saudaranya itu. Tak lama kemudian dia terpandang akan abang sulungnya masuk ke dalam kedai miliknya itu. Abangnya yang bernama Afiq terus duduk di salah sebuah kerusi yang berada di hadapan kaunter tempat membancuh kopi. Lelaki itu meletakkan kedua tangannya ke atas meja kaunter lalu mendagu. Nampak comel pula apabila abangnya berkelakuan seperti itu.

“Sibuk ke?” tanya abangnya. Lelaki itu kemudiannya senyum. Lola terasa seperti ada sesuatu yang abang sulungnya hendak kenakannya. Abangnya itu memang pantang kalau ada masa lapang. Ada sahaja idea hendak mengenakan adik perempuannya yang seorang sahaja itu.

“Kenapa? Hah, adalah tu benda nak kenakan orang. Tengok senyuman tu aje orang dah tau,” ujar Lola sinis. Dia menjeling abangnya yang automatik tersengih sebaik sahaja dia membalas kata abangnya itu.

“Lah, setiap kali tengok muka abang je mesti kata abang nak kenakan dia. Padahal mood orang tengah baik hari ni. Senyum itukan sedekah. Tak boleh ke abang senyum pada adik abang ni?”

“Apa-apalah,” balas Lola pendek. Malas mahu melayan abangnya. Walau bagaimanapun timbul pula rasa simpati apabila terkenangkan kisah hidup abangnya itu. Yalah, isteri abangnya telah meninggal dunia sebaik sahaja melahirkan Jasmin. Pada waktu itu hidup abangnya bergolak kerana syarikat tempat abangnya bekerja dahulu banyak membuang pekerja termasuklah abangnya sendiri. Hidup abangnya ketika itu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula. Berturut-turut kesusahan datang melanda abangnya. Namun demikian abangnya tabah menghadapi dugaan. Dia langsung tidak merungut mahupun mengeluh dengan badai ujian yang melanda dirinya.

“Eh, itu Aunty Teddy kan? Yay, Aunty Teddy datang.” Tariq dan Jasmin meloncat-loncat kegembiraan ketika melihat kelibat kawan baik Lola masuk ke dalam kedai Lola De’Cafe. Kedua-dua anak kecil itu terus memeluk kaki Teddy sama seperti yang dilakukan oleh mereka pada Lola tadi.

“Hei, Tariq dan Jasmin. Patut ucap apa apabila bertemu dengan orang lain?” tanya Teddy dengan lembut. Gadis yang bertudung ala Wardina itu menghadiahkan senyuman ketika berhadapan dengan anak-anak saudara Lola itu.

“Assalamualaikum, Aunty Teddy.” Kedua-dua anak kecil itu mengucapkan salam serentak. Teddy menjawab salam mereka lalu duduk berlutut dan memeluk kedua-dua anak kecil itu dengan penuh kasih sayang.

“Aunty Teddy ada hadiah untuk kamu berdua. Cuba teka apa hadiah tu?”

“Coklat,” jawab kedua-dua anak kecil itu serentak. Mereka masih lagi berada dalam pelukan Teddy.

“Betul. Pandailah anak-anak Encik Afiq ni,” kata Teddy. Matanya sempat menjeling abang sulung Lola. Abang sulung Lola hanya tersenyum. Dia langsung tidak berkata apa-apa.

“Nah, coklat untuk kamu berdua.” Lola memberikan dua bar coklat jenama Cadbury kepada Tariq dan Jasmin. Mereka mengucapkan terima kasih lalu menghadiahkan ciuman di pipi Teddy. Teddy tertawa dengan telatah mereka itu.

“Amboi, bukan main lagi ya dengan Aunty Teddy tu! Dengan Aunty Lola tak ada pun sampai cium-cium pipi. Ni yang buat Aunty Lola jealous ni.” Lola mencebik. Dia melirik manja kepada kedua-dua anak saudaranya itu. Mereka tersengih menunjukkan gigi-gigi mereka yang kecil dan tersusun rapi itu.

“Aunty Lola tak bagi coklat. Macam mana kami nak bagi kiss?” balas mereka.

“Eee, dah pandai sekarang ni ek!” Lola mencubit geram kedua-dua pipi Tariq dan Jasmin. Mereka mengaduh kesakitan walaupun sebenarnya Lola hanya mencubit manja.

“Teddy... duduklah dulu. Kau nak air apa? Aku boleh tolong buatkan tapi kena bayarlah.” Lola tersengih.

“Lah... dengan kawan pun nak berkira ke?” balas Teddy.

“Eh, mestilah! Kalau tak, business aku tak jalan mak cik oi.”

“Apalah adik ni. Bagilah free air kat kawan tu. Tak apalah, Teddy. Biar Abang Fiq belanja. Kalau harapkan Lola ni, memang kedekut tahi hidung masin.” Afiq mengutuk adiknya sendiri. Lola mencebik. Malas mahu membalas kata-kata abangnya.

Okaylah kalau macam tu. Cik Lola, tolong buatkan saya teh tarik panas. Buat sedap-sedap tau,” ujar Teddy. Mukanya serius walhal sebenarnya dia nak tergelak. Tapi gelaknya cuba ditahan.

“Amboi, banyak cantik! Kau ingat ni kedai mamak ke, nak tarik-tarik. Kalau nak, tarik sendirilah,” balas Lola sambil bercekak pinggang. Teddy terkukik-kukik ketawa. Afiq dan anak-anaknya pun turut serta. Mereka tahu Lola hanya pura-pura marah sahaja. Lagipun memang susah sebenarnya hendak melihat Lola marah kecuali kalau memang dah penuh sangat isi bom dalam kemarahannya itu, ha... memang meletup habislah jawabnya!

“Alah, kau macam tak tahu pula favourite air aku... tolonglah buatkan, Cik Lola sayang.” Teddy memeluk bahu Lola manja. Muka Lola yang masam tadi, kini berubah manis.

“Yalah, yalah... nasib baik kau ni bestfriend aku tau tak? Kalau tak, heh... malas aku nak layan kau!” Lola terus mengambil beberapa cawan bersih, mahu menyiapkan pesanan air yang diminta oleh kawannya itu juga abang dan anak-anak saudaranya.

Sambil menyiapkan pesanan air, mata Lola sempat juga mengerling keletah anak-anak saudaranya yang dilayan baik oleh Teddy. Abang Afiq pun turut sama melayan anak-anaknya, sekali-sekala lelaki itu berbalas senyuman dengan Teddy. Hmm... ada apa-apa ke mereka berdua ni? Semacam aje senyuman mereka yang saling berbalas tu... Mulut Lola muncung. Cuba berteka-teki di dalam hatinya. Manalah tau kut-kut mereka berdua memang ada apa-apa... hehe, alamatnya dapat rasa nasi minyaklah aku nanti. Lola tersenyum kecil dengan angan-angannya sendiri.

“Hei, Lola... siapa lelaki yang duduk kat ceruk tu? Sejak dari tadi dia asyik pandang kau aje. Stalker kau ke tu?” Tiba-tiba Teddy datang berbisik ke telinga Lola.

Lola terkejut. “Hish, kau ni! Terkejut aku tau. Cubalah bagi salam ke apa ke? Ini tak... main terjah aje. Nasib baiklah aku ni tak ada heart attack tau. Kalau tak, hah... kaku aku kat sini. Tak gerak-gerak.” Lola memukul bahu kawannya itu kuat. Saja... mahu balas dendam! Lola mengetap bibirnya yang mungil itu. Geram dengan Teddy yang suka sangat mengusiknya kalau ada masa lapang. Sama ajelah dengan perangai Abang Afiqnya itu. Hmm... memang sepadanlah pun kalau dinikahkan. Bagai pinang dibelah dua... bagai cincin dengan permata... bagai irama dan lagu... bagaiii... hmm, banyak sangat perumpamaan untuk mereka berdua ni! Boleh sampai beribu-ribu kalau nak difikirkan. ( Hiperbolanya!)

Teddy tersengih mendengar bebelan Lola. “Tak adalah. Kau ni pun khusyuk sangat buat kerja tu. Fikiran menerawang entah ke mana-mana, sampai tak sedar orang lain tenung dia semacam.”

Fikirkan kaulah, mak cik! Getus hati kecil Lola. Sempat juga dia mengukir senyuman kecil. Tak boleh nak senyum lebar-lebar, nanti mak cik ni perasan pula. Apa pula aku nak jawab nanti?

Lola mengerling lelaki yang disebut Teddy tadi. Ah, mamat ni lagi! Apa lagi yang dia buat kat sini? Boleh dikatakan tiap-tiap hari dia datang ke kafe aku ni. Memanglah dia tu boleh dikira pelanggan tetap tapi kalau dapat pelanggan tetap yang stalker, siapa yang nak? Aku? Lagilah tak nak...

“Entah. Aku pun tak kenal siapa dia tu... memang tiap-tiap hari datang sini tapi asal-usulnya aku tak tau. Lagipun apa kena-mengena dia dengan aku?” Lola menjawab endah tak endah. Malas mahu berkata apa-apa mengenai lelaki itu. Bosan. Bengang pun ada. Rimas pun ada. Semua perasaan itu bercampur-baur menjadi segumpalan perasaan BENCI. Huh...

“Pergilah ambil pesanan dia. Aku tengok semua pekerja kau ni sibuk belaka. Kau aje yang free sekarang ni. Sambil-sambil tu, kau tanyalah dia kenapa datang sini tiap-tiap hari dan kenapa dia tenung kau macam nak ‘ngap’ kau aje?” Teddy membuat gaya harimau mahu menerkam mangsanya. Lola merengus perlahan. Hendak tak hendak, akhirnya dia melangkah juga menghampiri meja lelaki ‘stalker’ itu.

“Assalamualaikum, encik. Ada apa yang encik mahu pesan?” tanya Lola bersahaja. Nada suaranya cuba dilembutkan. Melayan pelangganlah katakan...

“Waalaikumusalam. Err... saya nak pesan yang macam  biasa. Lagipun awak dah tau favourite air saya, kan?”

“Okay...” Lola menjulingkan matanya. Tanda menyampahlah tu... “Lagi?”

“Saya nak awak boleh?”

“Hei, apa ni? Melampau tau tak. Awak ingat saya ni perempuan murahan ke nak beli senang-senang macam tu aje.” Lola mulai berang. Panas di hatinya semakin meruap-ruap. Gejolak berapi di jiwanya cuba ditahan agar tidak terlepas begitu sahaja.

“Sebab itulah saya nak awak. Sebab saya tahu awak bukan perempuan murahan.”

Pang!

Lelaki yang telah ditampar oleh Lola itu memegang pipi kanannya. Riak mukanya pada waktu itu kelihatan begitu terkejut. Mungkin dia tidak menyangka Lola akan bertindak di luar jangkaannya.

“Saya minta awak keluar dari kedai ini...” Lola cuba menahan suaranya dari melantun tinggi. Suaranya yang bergetar perlahan dan berbunyi seakan-akan marah itu menandakan kesabarannya sudah semakin menipis. “...kalau awak tak nak tengok saya naik hantu.”

Teddy dan Abang Afiq yang melihat kejadian yang tidak disangkakan itu, perlahan-lahan menghampiri Lola. Mereka berdua berdiri di belakang Lola. Bersiap siaga. Manalah tahu kalau-kalau Lola akan mengamuk macam gorilla ke nanti, boleh juga mereka cuba tenangkan wanita yang berumur pertengahan 20-an itu. Lagipun semua orang yang berada di Lola De’Cafe ini sudah memberi tumpuan kepada ‘drama sebabak’ yang ‘dilakonkan’ oleh Lola dan lelaki yang kena tampar itu. Free show pula tu. Tak payah bayar satu sen pun.

“Terima kasih.” Itu sahaja ucapan yang diberikan oleh lelaki itu kemudian perlahan-lahan dia pun bangkit dari kerusi dan beredar dari Lola De’Cafe.

Lola terpana. Mana tidaknya... orang dah tampar dia, dia boleh ucap terima kasih? Tak ke pelik bin ajaib? Tiba-tiba sekelumit perasaan bersalah terbit di hati Lola. Dia tak pasti kenapa, tapi apa yang pasti hatinya betul-betul berasa sakit pada waktu itu. Terasa sukar bernafas pun ada juga. Alahai... Lola hanya mampu mengeluh berat sahaja. Teddy pula menepuk perlahan bahu Lola. Cuba melembutkan hati sahabatnya itu dari api kemarahan. Abang Afiq hanya menggelengkan kepalanya. Seperti biasa dia tidak berkata apa-apa.

***

Hello! Awak apa khabar? Saya harap awak sihat hari ini dan juga hari-hari yang mendatang. Kalau awak tanya saya sihat ke tak hari ini, saya nak minta maaf dululah. Sebab saya tak sihat hari ini... rindukan awak! Ah, cinta! Saya rasa saya demam rindulah. Macam mana nak ubatkan demam saya ni ek? Kena jumpa awak kut baru dapat sihat. Apa-apa pun semoga hari ini awak lebih ceria dan bersemangat! Smile always.

From Mr.Z

Lola menutup kad ucapan yang dihantar kepadanya. Kad itu diiringi sejambak bunga ros merah. Dia tersenyum dalam kekeliruannya yang tersendiri. Entah kenapa setiap kali dia membaca kad ucapan yang dihantar setiap hari itu, dia pasti akan tersenyum malah moodnya juga akan bertambah ceria tiba-tiba. Kenapa ek? Ah, dia sendiri pun tidak pasti dengan perasaannya sendiri.

“Dapat lagi kad ucapan daripada Mr. Z tu?” Teddy yang entah dari mana muncul menegur Lola yang berdiri di hadapan kaunter tempat membancuh air. Wanita bertudung itu tersengih apabila Lola menghadiahkannya dengan jelingan tajam.

“Hmm...” Itu sahaja jawapan Lola. Malas mahu melayan sahabatnya itu. Lola kemudiannya menyimpan kad ucapan itu di dalam poket apron yang dipakainya. Teddy tersengih lagi apabila melihat Lola bertindak sedemikian.

“Benci pun simpan juga kad tu. Cakap ajelah awak suka kat Mr. Z tu. Tak payah nak malu-malulah dengan sahabat baik awak ni.” Teddy menyindir. Keningnya beberapa kali terangkat menandakan dia tengah mengusik Lola.

“Suka hatilah orang nak simpan macam mana pun. Sibuk ajelah. Pergi main jauh-jauh. Orang banyak kerja ni nak buat.” Lola menolak belakang kawannya itu ibarat menyuruh kawannya cepat-cepat beredar daripada situ.

“Alah... baru ingat nak kacau. Tapi tak apalah. Lagipun aku ada date lepas ni.” Teddy tersengih lagi. Lola pelik dengan sikap kawannya itu. Entah kenapa hari ini kawannya itu asyik tersenyum aje. Kalau tak tersenyum, dia mesti tersengih. Hmm... sebiji macam kerang busuk!

Date? Dengan siapa pula ni? Setahu aku, kau ni mana ada boyfriend. Hah... kau dah ada boyfriend ke? Asal aku tak tahu ni? Cer citer...cer citer...” Lola bersuara teruja. Melompat-lompat dia kerana ingin tahu perkembangan terbaru kawannya itu.

“Eh, tadi kata ada banyak kerja! Ah, malas nak cakap dengan kau dah! Okay... aku pergi dulu. Muahh...” Sempat Teddy mencium pipi Lola sebelum dia beredar. Lola pula terpinga-pinga. Apahal minah ni? Tiba-tiba jadi romantik ni. Sejak bila pula ni?

Lola hanya mampu menggelengkan kepalanya. Tak tahu lagi mahu kata apa-apa...

“Cik Lola, ada seorang lelaki nak jumpa Cik Lola. Dia cakap nama dia Altaf,” beritahu Nurin, pekerja Lola sambil menunjuk ke arah pintu masuk Lola De’Cafe.

“Altaf?” Lola pelik. Yalah, mana dia ada kawan yang bernama Altaf. Lelaki pula tu...

Lola mengikut arah yang ditunjukkan oleh Nurin tadi. Sesampai sahaja di situ, dia terkejut kerana lelaki yang ingin berjumpa dengannya itu membawa sejambak bunga ros dan satu bar coklat yang terletak cantik di tengah jambangan bunga itu.

Lelaki yang bernama Altaf itu tersenyum apabila ternampak Lola menghampiri dirinya. Kemudian tangannya menghulur jambangan bunga yang dibawanya kepada Lola.

“Untuk saya?” tanya Lola.

“Ya.” Altaf masih tersenyum.

Lola mengambil jambangan bunga di hadapannya itu teragak-agak. Tapi apabila matanya dapat menangkap sekeping kad yang terselit kemas di dalam jambangan bunga itu, cepat-cepat dia ambil dan membukanya untuk dibaca.

Saya nak datang jumpa awak hari ini. Rindukan awak sangat-sangat!

Mr.Z

“Saya suka pada awak. Sejak kali pertama saya tengok awak lagi,” bicara Altaf.

Lola memejamkan matanya. Tiba-tiba tanpa dia sedar, air matanya mula mengalir laju di pipinya. Dan kemudian, tangisan perlahannya berubah menjadi teresak-esak pula. Semua orang yang ada di kafe itu memandang Lola yang sudah duduk mencangkung sambil menangis teresak-esak. Altaf serba-salah. Dia sendiri tak tahu punca Lola menangis tiba-tiba.

“Kenapa awak menangis?” Pertanyaan Altaf ini membuatkan tangisan Lola semakin kuat. Bertambah serba-salahlah Altaf lagi. Apahal minah ni? Nangis kuat pula tu. Aduhai...

“Lola?”

Lola merenung ke atas. Eh, stalker aku? Apa dia buat kat sini? Lola mengesat air matanya di pipi. Persis anak kecil apabila dia berbuat sebegitu.

“Bukan awak ke?” tanya Lola tiba-tiba. Dia masih lagi duduk mencangkung.

“Bukan apa?” tanya lelaki stalker itu kembali.

“Yalah, orang yang bagi bunga, kad dan coklat ni?” tanya Lola lagi.

Lelaki stalker itu tersenyum. Baru sahaja hendak jawab, Lola memintas dahulu percakapannya, “Altaf yang kasi ke selama ni?”

Lelaki stalker itu dan Altaf saling berpandangan. Kemudian mereka berbalas senyuman tiba-tiba. Lola pelik.

Dengan riak innocentnya Altaf menjawab, “Saya tak kata semua benda ni dari saya. Saya cuma cakap saya suka akan awak aje.”

“Habis tu, siapa yang bagi?”

Altaf menunjuk ke arah lelaki stalker yang berada di sebelahnya. Lelaki itu pula buat muka innocent macam Altaf tadi.

Lola bangun perlahan-lahan dari cangkungnya. Dia berlalu ke belakang dapur meninggalkan kedua-dua lelaki itu terpinga-pinga. Kemudian dia kembali semula membawa banyak bunga, kad dan coklat yang tersusun rapi dalam sebuah kotak besar. Lola hampir hendak tergelak ketika matanya terpandang kedua-dua lelaki itu terlopong.

“Awak tak makan ke coklat-coklat tu?” soal lelaki stalker itu. Mukanya ketika itu memang betul-betul terkejut. Macam nampak hantu pula.

“Tak. Nanti saya gemuk.”

Lelaki stalker itu ketawa.

“Sebenarnya saya sayang nak makan coklat-coklat tu,” ujar Lola tentang perkara sebenar.

“Sayang sampai tak nak makan?” Lelaki stalker itu tersengih dengan pertanyaannya sendiri. Agak-agaknya dia sudah tahu apa isi hati Lola.

“Lola, Lola, Lola!” Teddy datang tiba-tiba. Gadis itu tidak henti-henti memanggil Lola. Sesampai sahaja di hadapan Lola, dia terus memeluk Lola sambil ketawa dengan riangnya.

“Ni kenapa ni? Terloncat-loncat...” soal Lola. Pelik dengan sikap kawannya itu. Tiba-tiba datang, happy-happy... panggil nama aku. Dahlah orang tengah ada problem besar ni. Hish, mengganggu betul! Tak kena timinglah beb!

“Abang Afiq lamar aku!” ucap Teddy. Mukanya nampak bercahaya ketika itu. Menandakan excited sangatlah tu.

“Betul ke?” Lola tak percaya dengan berita yang baru didengarnya. Dia menekup mulutnya.

“Yup.” Teddy mengangguk laju. Terloncat-loncat gadis itu di hadapan Lola. Langsung tidak kisah akan orang sekeliling yang memandangnya.

“Congrats, dear.” Lola memeluk sahabatnya erat. Dia turut tumpang kegembiraan Teddy itu. Yalah, kan kawannya itu nak kahwin dengan abangnya juga? Mestilah gembira oit... hmm, memang betullah tekaan aku selama ni. Memang mereka ni ada ‘apa-apalah’. Hihi...

“Ehem-ehem...”

Lola berhenti memeluk kawannya itu. Opss, terlupa pula! Ada dua orang mamat yang tengah tercongok kat depan dia ni. Haish... macam mana boleh lupa ni?

Sorry... terlupa pula ada orang lain lagi kat sini.” Lola tersengih.

Zikri
“Err... nama saya Zikri.” Lelaki stalker itu akhirnya memberitahu nama sebenarnya. Dia menghulurkan salam dan salamnya disambut oleh Lola.

“Lola...” Lola menghadiahkan senyuman.

“Tahniah,” ucap Zikri pada Teddy pula. Teddy mengucapkan terima kasih. Tersipu-sipu dia di sebelah Lola.

“Err... how about you and me?” soal Zikri tiba-tiba.

“How about us?”

“Yalah... kita...” Jari telunjuk Zikri menunjuk ke arah Lola dan dia. Kemudian kedua-kedua jari telunjuknya disatukan.

Berkerut muka Lola hendak menganalis signal yang diberikan oleh Zikri itu. Dia menoleh ke arah Teddy yang berada di sebelahnya. Kawannya itupun sama juga seperti dia. Tercongok tak faham.

“Kahwin?” beritahu Zikri akhirnya apabila Lola tak faham signal yang diberi.

“What? Are you proposing me now?”

Zikri menggaru kepala yang tidak gatal. Perlahan-lahan lelaki itu mengangguk.

“Biar betul? Kita bukan baru kenal ke?” Mulut Lola terlopong tidak percaya. Teddy pun sama.

“Tak salah kan?” Zikri berbalas pandang dengan Altaf. Altaf mengangguk tanda bersetuju dengan pandangan Zikri. Tapi kemudiannya dia mendepakan tangannya di hadapan Zikri.

“Eh, tapi aku pun suka dia juga!” Altaf berkata tidak puas hati. Dia menoleh ke belakangnya. Sempat dia memberi senyuman kepada Lola kemudian mukanya dipalingkan semula menghadap Zikri.

“Mana boleh? Aku jumpa dia dulu.” Zikri menolak tubuh Altaf ke tepi. Mahu berdepan dengan Lola tapi dihalang oleh Altaf sekali lagi.

“Aku dulu yang cakap aku suka dengan dia.” Altaf masih lagi tidak mahu beralah.

“Eh, bukan aku ke?”

“Tu kau tulis dalam kad aje. Aku cakap face to face.”

“Wait, wait... apa yang kau orang merepek ni?” Lola bengang. Dia berdiri di tengah-tengah kedua lelaki itu. Menghalang mereka daripada bergaduh.

Teddy yang tidak tahan dengan adegan ‘drama pergaduhan budak kecik’ itu akhirnya ketawa tiba-tiba. Sampai keluar air mata pula tu. Tak tahan sangatlah tu...

“Lola...haha, biar betul wei. Ramai betul peminat kau ni. Mana satu yang kau nak?” kata Teddy sambil diselangi tawanya.

“Haish, entahlah! Bagi aku fikir dululah. Aku pun dah pening kepala ni.” Lola beredar ke kaunter. Dia menyambung kerjanya kembali. Langsung tidak melayan Altaf dan Zikri lagi dah. Kedua-dua lelaki itu mengekori Lola. Tidak henti-henti berperang mulut hendak menentukan siapa yang boleh mendapatkan Lola.

Teddy dari jauh masih lagi ketawa. Seronok melihat perkara yang tidak disangkakan itu. Ini kalau nak buat drama pun boleh ni. Drama petang-petang tu...macam kat TV3 tu...

“Teddy...” Teddy menoleh apabila namanya dipanggil.

Opss, buah hati dah sampai!

Teddy tersenyum gembira menghampiri Abang Afiq. Setelah sekian lama menanti... akhirnya dia dapat juga kebahagiaan yang dicarinya selama ini. Sengsara yang dirasai dahulu kini diubati dengan kebahagiaan sekarang. Dia juga berharap Lola akan mendapat kebahagiaannya sendiri. Walaupun dikejar oleh dua jejaka... hihi... Teddy terkukik-kukik ketawa.


Doakan kebahagiaan kami di Lola De’Cafe ya?




********************************************************************************
p/s : Selesai juga akhirnya! Yay...hehe so at the end, ending untuk Teddy membahagiakan bukan? Walaupun dia sengsara dulu pada mulanya. And Lola pula...well dia dah dapat 2 stalker dah tu...hehe terpulanglah pada dia nak pilih yang mana satu.. ;)

Tuesday 3 April 2012

Cerpen: April Tinggal Kenangan



“Janji dengan abang yang Tiffa akan jaga diri?” Dubeis meminta kepastian daripada isterinya. Isterinya mengangguk perlahan. Wajahnya yang bujur sirih itu tampak tenang. Senyuman manis juga dihadiahkan buat si suami. Dubeis mencium belakang tapak tangan isterinya. Kemudian dia mencium dahi isterinya pula dengan penuh syahdu. Tiffa memejamkan matanya. Menghayati perasaan si suami yang baru dikahwininya seminggu lepas.

“Abang pun jaga diri,” ucap Tiffa lembut. Wanita itu merenung mata suaminya lama. Suaminya menjawab dengan anggukkan kepala saja. Kemudian lelaki berumur lewat 30-an itu beredar. Meninggalkan trak yang dinaiki mereka. Dubeis yang berpakaian lengkap serba hitam dan bersenjata raifal di tangan gagah bergerak bersama skuad khas pasukan polis.

Tiffa bersiap sedia untuk menjalankan misinya pula. Walaupun dia baru saja berkahwin seminggu yang lepas, tugas yang menuntut perkhidmatannya tetap digalas. Misi mereka pada hari ini amat berbahaya dan mencabar. Mereka bertanggungjawab untuk menyelamatkan ratusan nyawa kanak-kanak dan guru di sebuah sekolah rendah di kawasan Lembah Kelang. Sekolah itu telah ditawan oleh sekumpulan penjahat yang seramai hampir 30 orang ataupun mungkin lebih. Pihak polis sendiri tidak pasti kerana informasi yang mereka dapati tidak tepat sepenuhnya. Malah punca tawanan juga mereka tidak tahu. Apa yang pasti, penjahat itu telah menyatakan yang mereka ada memasang bom yang akan meletup dalam masa empat jam lagi dari sekarang.

Tiffa menarik nafas panjang. Dia perlu menenangkan dirinya. Dalam keadaan getir seperti ini, dia perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Tak lama selepas itu, dia pun bergerak keluar dari trak polis. Dia memakai baju kurung sutera berwarna coklat muda. Rambutnya yang panjang diikat tinggi seperti ekor kuda. Dia juga bercermin mata. Ini semua adalah penyamarannya untuk masuk ke kawasan sekolah.

Tiffa diiringi oleh sepasukan polis yang lengkap berpakaian serba hitam dan bersenjata. Mereka masuk ke kawasan sekolah melalui pintu belakang. Di situ kawalannya tidak ketat. Mereka berjaya menyusup secara senyap-senyap dan menumpaskan penjahat yang mengawal pintu belakang itu.

Tiffa
“Tunggu di sini hingga saya beri isyarat.” Tiffa mengarahkan pasukan yang berada di bawah arahannya. Anak-anak buahnya mengangguk sekali tanda mereka faham. Semuanya sudah bersiap siaga untuk bertindak pada bila-bila masa.

Perlahan-lahan Tiffa bergerak ke tandas guru perempuan di bangunan yang berdekatan. Dia pura-pura bercermin dalam tandas guru itu. Memang sengaja dia berbuat demikian. Misinya adalah untuk merelakan diri ditawan oleh penjahat supaya dia dapat mengetahui segala aktiviti penjahat itu dan menyerahkan info kepada pihak atasan yang menunggu di luar kawasan sekolah. Dirinya sudah dilengkapi dengan alat pendengaran yang tersorok kemas pada pakaiannya. Alat itu hanya kecil sahaja dan sukar untuk dilihat oleh sesiapa pun.

“Hei, keluar! Tak ada sesiapa yang boleh berlegar sesuka hati.” Seorang lelaki yang bertopeng ski mengacukan pistol ke arah Tiffa. Dia juga mempunyai tiga orang teman. Tiffa menyembunyikan senyumannya. Agenda pertama misinya telah berjaya.

“Gerak cepat.” Tiffa terasa acuan pistol di belakang pinggangnya. Malah hembusan nafas juga terasa dekat di telinganya. Dalam hatinya rasa panas mulai menyirap. Kalau tak difikirkan kerana tugas, memang sudah lama dia bunuh lelaki itu. Sesuka hati je nak peluk-peluk pinggang orang! Kalaulah Dubeis tau... nahas lelaki ini dikerjakan.

Tiffa terpaksa menahan emosinya. Perlahan-lahan dia bergerak mengikut arahan penjahat itu. Dia dibawa ke dewan sekolah yang menempatkan semua tawanan. Mata Tiffa melilau melihat keadaan sekeliling. Rasa terkejut menghinggap dirinya. Rupa-rupanya penjahat yang ada bukan seramai 30 orang tetapi lebih daripada 60 orang. Itu baru yang mengawal dewan. Belum lagi yang mengawal di tempat-tempat lain.

Tiffa memerhati lagi. Semua penjahat ini lengkap bersenjata dan bertopeng ski. Guru-guru ditempatkan di hadapan pentas dewan. Dan murid-murid pula berkerumun di tengah dewan membentuk bulatan yang dikawal oleh para penjahat di sekeliling mereka.

“Bos, kami jumpa guru perempuan ini di tandas. Dia nampak mencurigakan.” Beritahu lelaki yang menjumpai Tiffa tadi. Dia sedang bercakap dengan seorang lelaki berketinggian tujuh kaki. Lelaki itu kemudiannya merapati Tiffa. Dia merenung tanda nama yang terselit di dada Tiffa.

“Cikgu Jessica? Jessica Alba?” Lelaki itu ketawa dengan gurauannya. Walhal tanda nama di dada Tiffa hanya bertulis ‘Jessica’ saja. Tiffa ikut tersenyum apabila lelaki-lelaki yang berada di depannya gelak. Ooo... gelak-gelak ek? Tak apa... gelaklah sepuas hati kau orang. Kau orang tak tau apa yang menanti kau orang kat luar sana tu. Monolog Tiffa di dalam hatinya. Rasa geram bercampur-baur dengan perasaan negatif yang lain.

“Cantik Cikgu Jessica ni bila dia senyum. Err... boleh saya panggil Jessy aje? Nampak lebih mesra sikit.” Lelaki yang dipanggil bos itu mencuit dagu Tiffa. Tiffa menepis laju.

“Uuuih... garangnya Cik Jessy kita ni.” Semua penjahat itu ketawa mendengar luahan bos mereka. “Macam harimau. Aumm...” Dia membuat gaya harimau mengaum lagi. Tiffa menjeling tajam. Dia cuba mengawal emosinya supaya bertenang.

“Hmm... letak dia di sana bersama-sama guru yang lain.” Bos itu memberi arahan. Tiffa ditolak ke arah kerumunan guru oleh salah seorang penjahat itu. Hampir terjatuh dia kerana tidak dapat mengimbangi badan dari ditolak.

“Bos! Kita dalam bahaya. Pihak polis dah berjaya menumpaskan anggota kita di pagar belakang. Malah di timur dan barat tempat ini pun sudah dikepung oleh pasukan polis.” Datang seorang lelaki yang tercungap-cungap memberitahu bos itu. Si bos terangguk-angguk. Tiffa tidak pasti sama ada dia tersenyum ataupun tidak kerana mukanya dilitupi oleh topeng ski.

“Cakap dengan polis keparat tu, kalau mereka bertindak, sepuluh orang pelajar akan ditembak!” Bos itu berkata dengan suara yang tinggi. Kanak-kanak yang berada di depannya menjerit ketakutan. Ada yang menjerit memanggil ibu dan bapa lagi. Suara tangisan semakin kuat kedengaran walhal tadi mereka berdiam diri.

Tiffa menggeleng kepala perlahan. Dia tidak sangka penjahat itu akan bertindak sedemikian. Memang tiada perikemanusiaan langsung! Malah lebih teruk daripada perangai binatang. Tiffa mengeluh. Guru perempuan yang berada di sebelahnya tertoleh kerana mendengar keluhannya.

“Siapa awak?” tanya guru itu perlahan. Riak mukanya seperti mencari jawapan daripada Tiffa. Tiffa mendiamkan diri. Soalan itu mungkin akan menjerat nyawanya sendiri. Dia tidak akan dapat menyelamatkan tawanan jika dia menjawab soalan itu. Oleh itu,  berdiam diri lebih baik buat masa ini.

“Tiffa...” Tiffa tertoleh ketika terdengar namanya dipanggil. Agak terkejut juga dia kerana di situ tiada seorang pun yang tahu nama sebenarnya.

“Abang?” Tiffa berbisik. Dia pasti suara yang didengarinya tadi adalah suara suaminya. Tetapi tiada sahutan selepas itu. Tiffa mengeluh. Ah, mungkin permainan mindanya aje! Tiffa berdoa di dalam hati agar suaminya sentiasa dalam keadaan selamat.

Kring!!!

Bunyi loceng kedengaran panjang. Tiba-tiba air terpancut keluar dari atas. Tiffa dapat lihat air itu keluar dari sistem pengairan yang menjadi alat pengesan kebakaran. Tiffa tersenyum kecil. Dia tahu ini angkara siapa. Kemudiannya dia menjerit kuat menyuruh semua tawanan meniarap ke lantai. Mereka mengikut arahannya dengan pantas. Keadaan di dalam dewan ketika itu kelam-kabut. Penjahat-penjahat yang mengawal mereka banyak yang terpinga-pinga. Tiffa merampas pistol daripada penjahat yang berdekatan dengannya. Dia mencekup leher lelaki itu dan dipusingkan ke depannya untuk dijadikan perisai. Tiffa dapat lihat banyak pistol diacukan ke arahnya.

“Jangan!” jerit lelaki yang menjadi tawanan Tiffa. Dia mengangkat kedua tangannya tinggi. Berharap rakan-rakannya tidak menembaknya. Tiffa mengemaskan lagi pautannya. Lelaki itu terbatuk. Mungkin tercekik agaknya kerana pautan Tiffa yang kuat.

“Cik Jessica... saya dah agak. Kamu ni memang mencurigakan.” Bos mereka ketawa. Tiffa memusatkan pandangannya pada lelaki yang ketawa itu. Tangannya yang memegang pistol diacukan ke kepala lelaki yang berada dalam pautannya. Tiffa dapat rasa badan lelaki itu menggigil. Mungkin ketakutan.

“Sedangkan kanak-kanak pun kami sanggup bunuh, inikan pula orang bawahan takkan kami tak sanggup bunuh juga,” kata si bos. “Tembak!” arahnya.

“Jangan!!!” Lelaki di depan Tiffa menjerit kuat. Dan pada masa yang sama itulah Tiffa dapat dengar tembakan yang bertalu-talu. Matanya tidak sempat berkelip pun melihat kejadian yang berlaku di depan matanya. Adrenalinnya mengalir deras menyebabkan dia berefleksi pantas. Dia tunduk ke bawah untuk berlindung. Lelaki di depannya tadi sudah mati ditembak. Malah penjahat-penjahat yang mengelilinginya tadi juga sudah mati. Tiffa dapat lihat pasukan polis sudah mengerumuni dewan itu.

Dubeis
“Letakkan senjata ke bawah dan angkat kedua tangan ke atas!” Tiffa dapat dengar suara suaminya. Dia menoleh ke arah suara itu. Dubeis dari jauh menghadiahkan senyuman kepadanya. Hati Tiffa sedikit tenang ketika itu.

Si bos ketawa kuat tiba-tiba. Tiffa meluat. Apa lagi yang melucukan lelaki itu?

“Bukankah dah dikata tadi. Kalau pihak polis bertindak, sepuluh orang kanak-kanak akan ditembak. Nampaknya ‘tawaran’ ini tak diterima,” ujar si bos tenang. Tangannya memegang erat sepucuk pistol. Dia langsung tidak kelihatan gentar dengan pihak polis. Dubeis cuba merapati bos itu perlahan-lahan. Langkahnya diatur dengan penuh berhati-hati. Jantung Tiffa pula semakin berdegup kencang. Risau akan suaminya.

“Apa yang kau nak sebenarnya? Siapa yang menjadi dalang dalam perkara ni?” tanya Dubeis penuh diplomasi. Matanya difokuskan kepada bos itu. Langsung tidak memandang ke tempat lain.

Bos itu ketawa besar. “Kalau kau tembak aku sampai mati pun aku takkan cakap. Apa yang pasti, aku dah pun selesaikan tugas aku. Semua orang yang ada di sini akan mati. Bom yang kami pasang akan meletup dalam masa beberapa minit aje lagi. Dan semua orang aku memang dah sanggup nak berkorban nyawa pun. Kami tak takut mati!” jerit bos itu kuat.

Tiffa terpana. Dia tak menyangka bahawa masa sudah berlalu begitu pantas. Walhal dia rasa baru saja dia masuk ke dewan itu dan menjadi tawanan. Bom yang dijangka meletup lagi empat jam rupa-rupanya sudah semakin menghampiri had waktunya.

“Kau semua gila! Apa kebaikan yang kau semua dapat? Dan di mana bom itu diletakkan?” Dubeis bertanya. Suaranya juga semakin meninggi. Tiffa dapat lihat suaminya itu sudah mula hilang kesabaran.

“Huh, aku takkan cakap. Matilah kau!” Bos itu menembak Dubeis tiba-tiba. Nasib baik Dubeis bertindak pantas mengelak. Dia membalas tembakan bos itu tetapi bos itu juga tidak kurang hebatnya. Dia berjaya mengelak semua peluru yang mengejarnya. Dia menyorok di sebalik tiang yang ada di dewan itu. Suasana dalam dewan kabut. Kanak-kanak dan guru-guru yang menjadi tawanan dilindungi oleh pihak polis. Lebih separuh daripada mereka berjaya dibawa keluar dari dewan dengan selamat. Hanya beberapa orang saja yang tinggal kerana takut ditembak peluru sesat jika bergerak.

Tiffa bangkit. Dia juga tidak melepaskan peluang untuk terlibat dengan adegan tembak-menembak itu. Matanya tidak sekalipun silap untuk membidik musuh. Ada saja yang menjadi mangsa tembakannya. Dubeis pula masih lagi bertarung dengan si bos. Pertempuran di dalam dewan itu memang sengit. Darah merah bersemburan di merata tempat. Mayat pula banyak bergelimpangan.

Kini tinggal Dubeis, Tiffa dan beberapa orang anggota polis saja yang bertarung. Penjahat-penjahat itu semua kebanyakkannya sudah mati ditembak. Yang tinggal hanyalah si bos. Liat betul nyawanya untuk mati.

“Serah diri dan kau akan hidup.” Dubeis cuba berdiplomasi. Si bos terdiam. Dia kemudiannya mencampakkan pistol yang ada di tangannya ke lantai. Perlahan-lahan dia mencabut topeng ski yang dipakainya. Terserlahlah wajahnya yang sebenar.

“Darwisy?” Dubeis terpaku. Tiffa dan anggota polis yang lain juga begitu.

“Tak mungkin,” ucap Tiffa perlahan. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Muka lelaki yang dipanggil Darwisy itu serupa dengan muka Dubeis. Apa makna ini semua? Apa hubungan suaminya dengan lelaki itu? Tiffa keliru.

“Ya, abang. Ni Darwisy. Adik kembar abang yang disangka dah mati dalam kebakaran. Huh, nampaknya memang betul-betul akan mati dalam kebakaran pun lepas ni. Tapi dengan abang sekali!” suara Darwisy tinggi.

Dubeis menggeleng. “Tapi kau dah mati empat tahun yang lalu. Macam mana kau boleh hidup semula? Ini semua tak logik.”

“Aku hidup semula kerana dendam. Dendam yang dah lama tersemat di dalam hati hitam ni.”

“Dendam apa? Apa semua ni? Abang tak faham. Apa salah abang sebenarnya?” Dubeis terpinga.

“Memang kau salah. Kau rampas semua hak aku. Semua orang puja kau. Semua orang kata kau hebat. Sedangkan aku... aku merempat pun kau langsung tak ambil kisah. Aku yang orang lain tuduh jahat. Aku yang orang kata langsung tak bermoral. Semua orang beza-bezakan aku dengan kau walaupun wajah kita sama.” Tengking Darwisy. Mukanya merah. Matanya terbeliak besar ketika berkata-kata. Rupanya sungguh menakutkan seperti orang yang sudah hilang akal.

Tiffa kaku di tempatnya ketika mendengar luahan Darwisy itu. Selama ini dia tak tahu pun yang suaminya mempunyai kembar. Suaminya langsung tidak pernah bercerita tentang kembarnya itu.

“Dan kita akan mati bersama-sama di tempat ni.” Darwisy menanggalkan bajunya. Semua yang ada di dalam dewan itu tergamam. Masakan tidak... badan Darwisy dipenuhi dengan wayar dan bom yang dililitkan di badannya. Dan jam di bom itu menunjukkan ia akan meletup dalam masa empat minit sahaja lagi.

“Darwisy... jangan buat kerja gila.” Dubeis cuba menenangkan kembarnya. “Beritahu abang macam mana nak matikan bom tu.”

“Haha... aku sendiri pun tak tahu. Bukan aku yang cipta bom ni.” Darwisy ketawa kuat. Tiffa rasa lelaki itu sudah tak siuman lagi.

“Semua keluar! Selamatkan diri.” Dubeis memberi arahan.

“Tapi tuan...” Anggota polis yang berada di bawah arahan Dubeis teragak-agak.

“Saya kata keluar, keluarlah!” jerit Dubeis. “Jangan buang masa lagi!”

“Dubeis...” Tiffa memanggil nama suaminya perlahan. Semua orang yang ada di dalam dewan itu sudah keluar menyelamatkan diri. Kini tinggal mereka bertiga saja. Tiffa, Dubeis dan Darwisy...

“Keluar, Tiffa. Tiffa dah janji akan jaga diri, kan?” Suara Dubeis tenang.

“Tak... Tiffa takkan tinggalkan abang. Kalau kita nak mati pun biarlah bersama,” kata Tiffa tanpa ragu. Air matanya sudah bercucuran di pipi.

“Ahahaha... jangan nak berdramalah kat sini. Bom ni akan meletup dalam masa dua minit aje lagi. Siap sedialah untuk mati!” Ketika Darwisy ketawa itulah Dubeis cepat-cepat memeluk lelaki itu. Berlakulah pergelutan di antara mereka. Tiffa cemas melihat keadaan itu. Tiba-tiba kedengaran satu bunyi tembakan. Tiffa menjerit memanggil nama suaminya. Perlahan-lahan dia menghampiri kedua-dua lelaki yang sudah tidak bergerak lagi itu. Dia tidak pasti siapa yang masih hidup. Apa yang pasti dia mesti mendapatkan suaminya.

“Abang...” Tiffa terduduk dan memeluk suaminya yang terkulai layu. Kembar suaminya tidak dipedulikan. Lelaki itu terlentang di sisi suaminya. Lumuran darah membasahi tubuh lelaki itu. Tiffa dapat lihat jam digital di bom yang ada di tubuh lelaki itu sudah berhenti pada masa empat belas saat. Tidak bergerak-gerak. Tiffa mengucapkan syukur di dalam hati. Dia tidak pasti bagaimana bom itu boleh terhenti. Apa yang dia tahu, mereka semua dah selamat.

“Tiffa...” Dubeis masih hidup lagi rupanya. Tangannya mencari wajah isterinya.

“Tiffa kat sini, bang.” Tiffa meletakkan tangan suaminya ke pipi kirinya. Dia juga tidak henti-henti mencium tangan suaminya. Air mata yang kering sekejap tadi kini kembali bercucuran laju.

“Jom balik,” ucap suaminya pendek. Tiffa mengangguk. Dia mengukir senyuman. Perlahan-lahan dia membantu suaminya bangun. Lelaki itu berdiri tetapi tidaklah seberapa stabil. Tiffa meletakkan tangan kanan suaminya di bahunya. Mereka kemudiannya bergerak keluar dari dewan itu. Langsung tidak menoleh ke belakang lagi. Langsung tidak mengambil tahu keadaan kembar Dubeis lagi.

Keluar saja dari dewan tiba-tiba mereka terdengar suatu bunyi yang aneh. Bunyinya agak nyaring. Seperti bunyi jam digital. Mereka berpandangan sesama sendiri. Masing-masing sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku.

“Lari!” jerit Dubeis. Tangan kirinya pantas menarik tangan isterinya. Mereka berlari sepantas yang mungkin untuk menyelamatkan diri.

Kababoom! Letupan berlaku.

Tiffa membuka matanya perlahan-lahan. Dia tercari-cari suaminya di sisi. “Abang?” Suara Tiffa serak. Dia cari Dubeis tetapi tidak ketemu. Timbunan batu dan kayu penuh di sekelilingnya. Keadaan Tiffa ketika itu juga agak teruk. Baju kurungnya berdebu dan mukanya juga comot. Dengan sepenuh daya yang ada, dia menolak timbunan kayu dan batu yang berat untuk mencari suaminya. Manalah tahu kalau-kalau suaminya terperangkap.

Beberapa minit berlalu tetapi Tiffa tetap tidak menemui suaminya. Dia terduduk. Air matanya kini mengalir semakin deras. Di situ dia menangis sepuas-puas hatinya. Sesekali dia juga meraung. Dia tak peduli dengan keadaan di sekelilingnya.

“Tiffa...” Tiffa menoleh pantas ketika terdengar namanya dipanggil. Dia terpandang ibunya yang berada di depannya kini.

“Mama? Apa mama buat kat sini?” tanya Tiffa pelik. Ibunya tersenyum. Wanita tua itu cuba menarik Tiffa bangun tetapi Tiffa pantas memeluk ibunya. Dia menangis di bahu ibunya.

“Abang Is... mama. Tiffa tak jumpa Abang Is,” ujarnya teresak-esak. Ibunya menenangkan dirinya dengan mengusap belakangnya. Dia memujuk anak perempuannya dengan kata-kata yang lembut.

“Jangan nangis, sayang...” Tiffa pelik. Itu bukan suara ibunya. Itu seperti suara...

“Abang?”

“Ya, sayang. Abang kat sini.” Tiffa merenung ke atas. Dia dapat lihat muka Dubeis yang tersenyum di belakang ibunya. Tiffa memandang ibunya. Ibunya mengangguk seperti menyuruh dia pergi kepada suaminya. Dengan pantas dia bangun memeluk suaminya. Dubeis tertawa melihat telatah isterinya.

“Jom balik?” Dubeis mengajak. Tiffa mengangguk sekali namun tindakan suaminya selepas itu mengejutkan dirinya.

Dubeis tiba-tiba sahaja mendukung Tiffa seperti puteri diraja dalam cerita dongeng Inggeris itu. Tiffa meronta kecil minta diturunkan tapi tidak diendahkan oleh suaminya. Akhirnya Tiffa mengalah. Dia membiarkan saja suaminya mendukung dirinya. Kepalanya juga dilentokkan ke dada suaminya. Dia terasa tenang dan selamat pula apabila suaminya mendukungnya seperti itu. Lagipun dia sememangnya penat untuk berfikir atau bertindak apa-apa pun. Letih.

Mereka menuju ke trak polis. Meninggalkan si ibu di belakang selepas mengucapkan selamat tinggal. Tiffa sempat memandang sekeliling. Salah satu bangunan di sekolah itu terbakar teruk. Pihak bomba berusaha memadam api yang marak. Situasi ketika itu agak kelam-kabut.

Di dalam trak polis, mereka berdua mendiamkan diri. Tiada seorang pun anggota polis yang berada di situ menegur mereka. Agak pelik juga Tiffa dengan keadaaan itu. Tetapi lama-kelamaan dia melupakan perkara itu kerana matanya sudah tertutup dan dirinya dibuai lena.


Tiffa membuka matanya sedikit kerana terasa seperti ada pancaran cahaya matahari di mukanya. Dia sempat menguap. Begitu lena sekali dia tidur hingga tak sedar hari sudah siang dan dia sudah pun berada di rumah. Dia bangkit dari katil lalu menuju ke ruang tamu. Dubeis tidak ada di sisinya ketika dia bangun tadi.

Loceng di pintu rumahnya berbunyi. Tiffa dapat lihat ada suratkhabar yang dicampak masuk ke bawah pintu rumahnya. Memang setiap hari ada orang yang menghantar suratkhabar ke rumah pangsa mereka itu. Suaminya Dubeis telah melanggan perkhidmatan yang disediakan oleh rukun tetangga. Pelbagai kemudahan yang mereka dapati.

Tiffa mahu mengambil suratkhabar itu tetapi tangannya seakan-akan tidak dapat menyentuh suratkhabar itu. Tiffa pelik. Dia kemudiannya mencangkung untuk melihat berita di muka depan suratkhabar itu. Mulutnya terlopong. Dia tidak percaya dengan apa yang telah dibacanya.


LEMBAH KELANG, 30 APRIL – Berlakunya letupan di salah sebuah sekolah rendah di sini semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira pada pukul 4.00 petang. 14 orang anggota polis maut di tempat kejadian. Nama-nama mangsa ialah ASP Dubeis Darman, 37 tahun, Inspektor Tiffany Darman, 29 tahun...


Tiffa menggeleng kepala. Air matanya mengalir laju. “Tak mungkin. Tak mungkin... aku dan Dubeis dah mati?” bisiknya perlahan. “Habis kenapa aku ada di sini?” Dia pelik. “Apa yang telah terjadi sebenarnya? Ini semua mimpi. Ya, pasti mimpi!”



********************************************************************************
P.S. : Ah, mimpi! Yup... cerita ini saya dapat inspirasi dari mimpi saya sendiri. Tapi saya rasa mimpi saya lagi dasyat. Huhu... serius! Menyeramkan, menakutkan dan macam-macam lagilah benda yang mengerikan. Nak  diceritakan lagi, apabila dah bangun dari tidur tu boleh kata saya menjeritlah juga. Tapi perlahan ajelah. Hehe...hah, part yang Dubeis dukung Tiffa tu memang ada dalam mimpi saya. (Ehehe...wink2) Tapi dalam mimpi saya tu saya tak nampak muka orang yang dukung saya tu. (Opss, kantoi! Cakap diri sendiri yang jadi watak utama dalam mimpi tu. Huhu...) Apa-apa pun, saya suka sangat karang cerita ni sebab cerita ni berdasarkan mimpi saya. Huhu... sweet tak, sweet tak? Teehee... ^_^