Nuffnang Ads

Wednesday 23 May 2012

Cerpen: Hello! (sequel Cinta?)



Nota daripada Penulis: Baca cerpen "Cinta?" dahulu sebelum baca cerpen ini. Sekian... klik [sini] untuk baca "Cinta?".

*** 

H.E.L.L.O! Hello... apakah maksud ‘Hello’ sebenarnya? Hmm... bagi aku perkataan ‘Hello’ ini ialah perkataan pertama yang perlu kita ucap apabila kita bertemu buat kali pertamanya dengan seseorang. Itu bagi akulah... tak tahulah pula pandangan orang lain macam mana.

Hello! Ingat aku lagi tak? Hehehe... akulah, Nana yang ceritakan tentang kisah cinta pertama dia tu. Alah... yang dengan Airil tu... hah, dah ingat dah? Okay... sekarang ni aku nak bagitahu kisah cinta aku dengan budak lelaki yang langgar bahu aku tu. Kekasih pertamaku. Hmm... dahlah dia sombong waktu tu. Langsung tidak minta maaf dengan aku. Tapi selepas beberapa hari kejadian itu berlaku, detik demi detik aku sudah mula dekat dengannya. Nak tahu macam mana? Hah, nilah nak cerita ni! Tapi jangan bagitahu orang lain tau. Cerita ini hanya kita sahaja yang kongsi. Shhhhhhh...

Nur Jannah
Aku duduk di atas sebuah kerusi yang tersedia di taman permainan yang berdekatan dengan rumahku. Pada waktu itu aku sedang membaca buku. Biasalah... pada waktu-waktu petang begitu, aku memang suka membaca buku di taman. Pelik ke? Ada jugalah orang panggil aku pelik. Huhu... tapi nak buat bagaimana? Itu hobi aku. Lagipun aku suka baca buku kat taman tu pun sebab nak tengok anak-anak kecil bermain di situ. Muka mereka comel sangat! Chubby-chubby belaka. Rasa macam nak culik mereka pun ada. Bawa balik rumah. Hehehe... tapi tak boleh. Itu sudah melanggar undang-undang.

Aku melihat jam di tangan. Jarum di jam aku sudah menunjukkan pukul 6.45 petang. Sudah hampir menginjak ke waktu senja dah. Tak perasan pula aku sebab khusyuk sangat membaca buku. Aku mula bergerak untuk pulang ke rumah. Baru sahaja dua tapak melangkah, tiba-tiba ada sebiji bola meluru ke arah kakiku. Tak sempat aku menahannya, aku pun jatuh terjelepok. Aduh, malunya! Tak payah cakaplah... dah macam buah nangka busuk jatuh ke tanah dah gayanya.

Aku mendesis perlahan. Haih... siapalah malaun yang berani menendang bola ke arah aku ni? Tak belajar sivik ke oit? Aku geram. Yalah... punyalah besar padang bola yang ada di situ, boleh pula tendang bola ke arah aku yang berada di pinggir padang tu. Tak cukup luas lagi ke padang bola tu?

Aku menepuk-nepuk seluar yang aku pakai. Habis kotor kerana terkena debu tanah. Aku yang masih terduduk di atas tanah itu pantas menggapai bola yang meluru ke arahku tadi.. Dalam hati memang rasa nak campak aje bola tu pada muka orang yang menyepaknya tadi. Tapi niatku terbantut. Seorang budak lelaki yang lebih kurang sebaya denganku datang menghampiri aku. Dia berlari-lari anak. Budak lelaki itu memakai topi berwarna merah yang dipusingkannya ke belakang. Gayanya agak cool juga!

Dia berhenti betul-betul di hadapanku. Kemudian dia menghulurkan tangannya kepadaku. Pada mulanya aku fikir dia hendak membantu aku bangun dari jatuhku tapi rupa-rupanya dia mahu meminta bola yang aku pegang itu. Amboi, tak gentlemannya. Dahlah langsung tidak bercakap. Hanya beri isyarat sahaja. Bisu ke mamat ni? Aku tertanya-tanya. Pada mulanya aku enggan beri bola itu kepada dia tapi dia bertindak pantas dengan merampas bola tersebut dari tanganku. Aku terpaku. Eh-eh... sesuka hati dia aje! Dahlah tak minta maaf lepas tu minta bola tak reti nak cakap.

“Jazmi! Cepatlah!” Kedengaran kawan-kawannya memanggil dia dari jauh. Aku lihat ada sekumpulan budak lelaki yang lebih kurang sebayaku juga berada tidak jauh dari kami. Budak-budak lelaki itu melambai-lambai memanggil budak lelaki yang bernama Jazmi di hadapanku ini supaya bergegas kepada mereka.

Aku memandang Jazmi dengan pandangan tidak puas hati. Jazmi membuat muka innocent. Tiada perasaan. Dengan selambanya dia berlari pergi kepada kawan-kawannya yang sedang menunggu. Meninggalkan aku tanpa meminta maaf atau membantu aku bangun dari jatuhku. Hish, serius aku mula berasa benci akan dia! Tapi ada juga sekali dia menoleh ke belakang memandangku lama. Kenapa ni? Kenapa dia pandang aku macam tu? Dup-dap... dup-dap... eh, jantung aku ni! Boleh pula bergetar hebat. Adakah aku sudah jatuh cinta pandang pertama? Tapikan... kenapa aku rasa macam pernah lihat ek muka dia ni? Aku pernah jumpa dia di mana-mana ke? Arghh... lupakan ajelah!

Malas mahu berfikir panjang aku berjalan keluar dari taman permainan itu. Sebelum sempat aku menyeberang jalan, aku terpandang akan seorang kanak-kanak perempuan di bawah sepohon pokok yang ada di tepi taman permainan. Kanak-kanak itu sedang duduk mencangkung sambil melukis sesuatu di atas tanah dengan sebatang ranting kayu. Dia keseorangan sahaja di situ. Aku pelik kerana ramai lagi kanak-kanak lain yang bermain di taman itu dan kenapa dia tidak turut bermain bersama-sama mereka?

Perlahan-lahan aku menghampiri dia lalu bertanya, “Hello adik, kenapa duduk di sini? Kenapa tak main dengan budak-budak yang lain?”

Kanak-kanak perempuan itu memandangku tatkala aku menegurnya. Dia diam. Tidak menjawab soalanku. Pandangannya ke arahku bagaikan ingin memberitahuku sesuatu tetapi dia tidak meluahkannya.

Aku pun duduk mencangkung di sebelahnya dan sekali lagi bertanya akan soalan yang sama. Walau bagaimanapun, reaksinya masih sama seperti tadi. Diam. Aku mengeluh perlahan. Tidak puas hati kerana kanak-kanak itu langsung tidak memberi riak balas kepadaku.

“Jangan risau adik. Kakak bukan orang jahat. Kakak orang baik,” ujarku sambil itu aku cuba menggapai tangannya bagi menunjukkan keikhlasan hatiku yang begitu mengambil berat akan dirinya.

Dia menjauhkan dirinya dariku sebelum sempat aku memegang tangannya. Mukanya nampak takut-takut. Aku merenung matanya lembut. Cuba untuk memujuknya supaya bercakap dengan aku. Aku tahu aku bukanlah pandai melayan kanak-kanak sangat tetapi sedikit sebanyak aku mencuba kerana risau akan dirinya yang duduk seorang diri di bawah pohon yang tersorok itu.

“Adik...” Kali ini aku cuba mendekatinya lagi. Mungkin terkejut, kanak-kanak perempuan itu terus bangun, berlari jauh dariku. Sebelum dia menghilang, dia merenungku dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Apa yang dia hendak beritahu kepadaku sebenarnya?

Aku melihat sekeliling. Senja sudah semakin melabuhkan tirainya. Hari juga sudah semakin gelap. Aku melangkah pulang ke rumah. Meninggalkan taman permainan yang pada hari itu sudah mula mencipta sejarah buat diriku. Sejarah yang tidak mungkin akan aku lupakan.

**********

Aku duduk bermain di atas buaian. Cahaya bulan menemani diriku pada malam yang gelap dan sunyi sepi itu. Taman permainan pada waktu itu sunyi. Tiada seorang manusia pun berada di situ. Aku melihat tapak tanganku. Nampak kecil sahaja di mataku.

Hmm... ibu mana? Ayah mana? Eh, kenapa aku bersoal sedemikian? Kenapa ya? Ah, tak apalah... sunyinya malam ni. Rindunya pada ibu dan ayah. Kenapa mereka tinggalkan aku seorang diri?

“Hello adik, jom ikut pak cik. Pak cik nak bawa adik jalan-jalan ni.” Tiba-tiba ada seorang lelaki berbadan besar dan tegap mendekati aku. Aku menggeleng perlahan. Tidak mahu mengikutnya. Tali buaian aku pegang kuat. Bersedia untuk bertahan kalau-kalau lelaki itu akan berbuat sesuatu kepadaku.

“Jomlah, adik...,” pujuk lelaki itu lagi.

Saya tak mahulah pak cik! Pak cik tak faham-faham lagi ke? Eh, kenapa suara aku tak keluar ni?

“Hish, budak ni!” Mungkin berang kerana aku tidak mahu mengikutnya, lelaki itu terus menarik aku dan memikul aku di bahunya. Aku meronta-meronta meminta diri dilepaskan tetapi dengan dayaku yang selemah ini pastinya aku tidak mampu berlawan dengannya.

Lepaskan aku! Lepaskan aku! Itulah yang cuba aku jeritkan tetapi suaraku langsung tidak keluar. Kenapa ni? Aku seolah-olah menjadi orang bisu. Tiada langsung bunyi yang terkeluar.

Tolong! Tolong! Aku tak mahu ikut lelaki ini. Aku pasti sesuatu yang buruk akan berlaku kepada aku jikalau aku mengikutnya.

Lelaki itu memasukkan aku ke dalam sebuah kereta berwarna hitam di tempat duduk belakang. Dia mengikat kaki dan tanganku tetapi mulutku langsung tidak ditutupi dengan apa-apa. Mungkin dia tahu aku bisu disebabkan itulah dia tidak ambil kisah.

Sepanjang berada di dalam kereta hitam itu, aku tidak henti-henti meronta. Aku cuba menendang kerusi pemandu di mana lelaki itu duduk. Memberontak minta dilepaskan. Sesekali mata aku memandang juga suasana gelap di luar cermin kereta. Walaupun nampak gelap, aku masih lagi dapat lihat pokok-pokok yang ditanam di sepanjang tepi jalan. Kelihatan seperti kami melalui hutan.

Ke manakah dia hendak bawa aku pergi ni? Aku mula menangis perlahan. Air mata kini berjujuran di pipiku. Setitis demi setitis. Ketakutan memang sudah lama menguasai aku sejak dibawa lari oleh lelaki tersebut.

Beberapa minit kemudiannya kereta berhenti. Enjin dimatikan. Lelaki itu keluar lalu membuka pintu penumpang di belakang. Dia menarik aku keluar dan meletakkan aku ke atas bahu kirinya. Dia membawa aku ke sebuah rumah usang. Rumah itu gelap gelita. Sedikit cahaya pun tidak ada.

Aku memukul belakang lelaki itu beberapa kali. Lelaki itu bengang mungkin kerana kesakitan. Dia memegang kuat tubuh badanku, cuba menghentikan aku dari terus memukulnya. Selepas itu, dia membawa aku masuk ke sebuah bilik. Di tengah bilik itu ada sebuah meja panjang. Nampak seperti meja pembedahan yang kebiasaannya ada di hospital.  Di sebelah meja panjang tersebut ada sebuah meja kecil yang di atasnya terletak beberapa peralatan pembedahan seperti gunting, pisau dan lain-lain lagi.

Aku gerun. Apa yang dia nak buat kepada aku ni? Tolonglah... ada sesiapa tak yang boleh selamatkan aku? Aku merayu di dalam hati.

Lelaki itu menekan punat lampu yang ada di atas meja pembedahan itu kemudiannya dia membaringkan aku di atas meja tersebut. Cahaya yang suram mula menerangi bilik yang gelap itu tadi. Kaki dan tanganku yang diikat tadi dilepaskan ikatannya. Aku fikirkan itulah peluang aku untuk melepaskan diri tetapi harapan hanyalah harapan. Lelaki itu cepat-cepat menarik tubuhku dan mengikat aku dengan tali yang bersambung dengan meja pembedahan tersebut. Dia mengikat tali itu kuat membuatkan perutku terasa senak dan badanku langsung tidak boleh bergerak.

Aku kembali menangis teresak-esak. Kenapa ni? Apa yang dia nak buat ni? Ibu, ayah... adik takut...

“Adik duduk diam-diam ya? Pak cik nak check adik ni sihat ke tidak. Okay... jadi budak baik ya?” ucap lelaki itu dengan lemah-lembutnya. Dia mengambil sebilah pisau yang panjang yang ada di atas meja kecil di sebelahku. Matanya kelihatan besar dan merah memandang aku. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Senyuman yang amat mengerikan bagi diriku. Senyuman yang mungkin aku akan lihat buat kali terakhirnya dalam hidupku.

Tidak! Aku tak suka senyuman tu! Ayah, ibu... tolong adik! Adik takut...

Perlahan-lahan lelaki itu meletakkan pisau yang panjang itu ke leherku. Nafasnya mendesah. Bagaikan pemangsa yang taksub kerana dapat menangkap mangsanya. Aku merenung mata lelaki itu dalam-dalam. Merayu agar diri ini dilepaskan. Merayu agar pisau panjang itu tidak terus diletakkan atau dihiriskan ke leherku. Berharap yang dia tidak akan melakukan perkara kejam yang aku fikirkan ini.

“Ahahahaha...” Lelaki itu ketawa besar. Ketawanya kedengaran jahat di telingaku. Tak lama kemudiannya aku terasa pisau panjang itu perlahan-lahan mula memotong leherku.

“Tidak! Aku tak mahu mati! Tidak, lepaskan aku! Jangan bunuh aku! Argghhhhhh...” 

Pang!

Aku terdiam. Pipiku yang kebas aku gosok perlahan. Badanku terasa menggigil. Seram sejuk. Ketakutan dan kegerunan masih lagi aku rasai. Apa yang telah terjadi sebenarnya ni?

“Kenapa ni, Nur Jannah? Kenapa awak menjerit-jerit macam orang terkena histeria ni?” Guru kelasku, Puan Ainul Mardhiah bertanya cemas. Di sebelahnya berdiri seorang budak lelaki. Memandang aku dengan wajah berkerut.

Aku membalas pandangan budak lelaki itu. Terasa seperti pernah bertemu dengannya sebelum ini. Kemudiannya aku memandang sekeliling pula. Rupa-rupanya aku berada di dalam kelas. Kejadian tadi itu hanyalah semata-mata dalam mimpiku. Tapi pisau panjang yang lelaki itu letakkan di leherku terasa seakan-akan betul terjadi. Kesakitannya bagaikan betul-betul aku rasai. Mengingatkan mimpi ngeriku tadi, membuatkan aku memeluk tubuhku kuat. Badanku yang menggigil masih lagi dirasai. Bibirku pula seakan-akan berketar.

 “Nur Jannah, awak okay ke?” Sekali lagi Puan Ainul Mardhiah bertanya kepadaku. Mungkin cemas melihat aku yang masih menggigil.

“Saya okay, cikgu. Cuma mimpi buruk aje,” ujarku dengan suara perlahan seakan-akan berbisik. Aku menyentuh pipiku. Terasa basah. Adakah aku menangis? Aku fikirkan aku hanya menangis dalam mimpi sahaja tadi.

“Nah, tisu.” Budak lelaki yang berdiri di sebelah Puan Ainul Mardhiah memberikan sehelai tisu kepadaku. Aku memandang mukanya lama. Bukan ke dia ini Jazmi? Budak lelaki yang aku jumpa di padang semalam? Dia satu kelas dengan aku ke selama ni? Kenapa aku tak pernah perasan akan kewujudan dia ya?

“Terima kasih,” ucapku perlahan. Kepala aku tunduk ke bawah. Mengelak dari bertentangan mata dengan dia. Aku terasa malu apabila ada orang lain meihat aku menangis. Segan.

“Awak nak berehat di bilik kesihatan ke? Kalau nak, saya boleh suruh kawan sekelas awak temankan awak ke sana,” kata Puan Ainul Mardiah. Dia merenungku lembut, berusaha menenangkan aku yang masih menggigil ketakutan ini.

Aku mengangguk perlahan, bersetuju dengan saranan guru kelasku itu tetapi aku menolak dari ditemankan. Aku boleh pergi sendiri. Lagipun aku tidak suka menyusahkan orang lain dan aku sedar aku ini introvert dan bukan semua budak-budak sekelasku suka berkawan denganku.

Perlahan-lahan aku keluar dari kelas menuju ke bilik kesihatan. Sebelum itu aku sempat menoleh ke belakang melihat Jazmi. Lelaki itu menghantar pandangan yang sukar dimengertikan kepadaku. Sama seperti semalam juga.

Waktu tengah hari. Loceng tamat persekolahan berbunyi. Aku turun dari katil yang ada dalam bilik kesihatan. Sudah puas berehat di situ, aku mengucapkan terima kasih kepada guru yang bertugas di dalam bilik kesihatan itu. Kemudian aku mengorak langkah untuk pulang.

Sesampai sahaja di perhentian bas, aku duduk di bangku panjang yang kosong. Menunggu bas yang selalu aku naiki untuk pulang ke rumah. Tak lama kemudiannya aku terdengar bunyi derap kasut seseorang.

Jazmi. Ucapku perlahan di dalam hati. Hatiku berdegup kian pantas tatkala ternampak wajahnya. Jazmi memandangku sekejap sebelum dia duduk di sebelahku. Bukan betul-betul di sebelah. Dia dudukdi hujung kiri bangku itu manakala aku duduk di hujung kanan bangku itu. Kira-kiranya jarak kami masih jauh lagi.

Jazmi Damian
Jazmi mendengar MP3. Dia nampak agak cool juga apabila berbuat sebegitu. Aku tersenyum sendiri. Terhibur dengan kata-kata yang terucap di dalam hatiku ini.

“Maafkan saya sebab tampar awak tadi.” Tiba-tiba Jazmi bersuara. Dia berkata tanpa memandangku.

Aku memegang pipiku. Baru sedar bahawa ketika aku terjaga dari tidur tadi sebenarnya aku terasa pipiku perit. Oh, rupa-rupanya dia telah menampar pipiku!

“Tak apalah. Lagipun awak dah selamatkan saya dari terus tenggelam dalam mimpi ngeri saya tu. Kalau awak tak buat macam tu, saya tak pasti saya boleh terus hidup ke tidak...”

“Kenapa awak cakap macam tu? Dasyat sangat ke mimpi awak tu?” Jazmi bertanya pelik.

“Hmm, dasyat jugalah... terasa macam nyawa saya ini ibarat telur di hujung tanduk sahaja,” kataku dengan suara perlahan. Tiba-tiba terasa seriau pula apabila mengingatkan mimpi ngeriku tadi itu kembali. Aku memeluk tubuhku erat. Berharap perasaan itu akan hilang nanti.

Jazmi diam. Tidak membalas kata-kataku. Tidak lama kemudiannya dia bangkit. Aku tertanya-tanya dengan tindakannya itu.

“Bas dah sampai,” ujarnya pendek lalu melangkah naik ke anak tangga bas. Meninggalkan aku yang terpinga-pinga.

Oh, patutlah dia bangun tadi! Buat aku saspens aje... omelku di dalam hati. Aku menurut langkah Jazmi. Ketika berada di dalam bas aku duduk di kerusi belakang drebar manakala Jazmi pula duduk di kerusi yang paling belakang sekali. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku duduk berdekatan dengan Jazmi tetapi nilai-nilai ketimuran masih lagi menebal dalam diriku ini. Takkanlah aku mahu terhegeh-hegeh pergi kepadanya pula.

Suasana di dalam bas sunyi. Yang kedengaran hanya bunyi enjin bas yang sesekali seakan-akan mengah apabila berhenti di setiap stesen perhentiannya untuk menjemput para penumpang. Di saat itu fikiran aku mula melayang. Bersoal jawab di dalam hati sendiri mengenai Jazmi yang duduk di belakang. Sifat-sifat lelaki itu kelihatan misteri buat diriku. Yalah, kenapa aku tidak sedar langsung akan kewujudannya selama ini? Mungkinkah dia sebenarnya sudah lama sekelas denganku? Mungkin sejak aku di tingkatan satu lagi? Peliknya... kenapa aku tak pernah tahu ya? Kosong sangat ke fikiranku selama empat tahun berada di sekolah menengah ini? Kronik betul hidup aku selama ini...

Aku menarik nafas panjang. Bertekad di dalam hati bahawa selepas ini aku akan cuba membuka pintu hati ini untuk menerima orang lain. Tidak kiralah rakan sekelasku, atau rakan-rakan sebelah kelasku, atau mungkin pelajar-pelajar yang satu sekolah denganku. Aku sedar aku tidak seharusnya terus-terusan hidup dalam duniaku sendiri dan menjadi gadis introvert. Itu semua bakal membuatkan masa hadapanku suram tanpa ditemani sesiapa pun.

Tettt... bunyi loceng bas ditekan. Aku rasa Jazmi yang menekannya kerana aku perasan yang bas kami naiki ini sudah berhenti di kawasan perumahan kami. Aku turun dari bas diikuti Jazmi.

Kami bersama-sama jalan menuju ke rumah masing-masing. Aku di hadapan, dia di belakang. Memang betullah tekaan aku bahawa dia juga satu kawasan perumahan denganku. Hatiku terasa berbunga-bunga ceria kerana selepas ini pasti kami akan selalu bertembung.

Kami melalui taman permainan. Tiada langsung perbualan yang menghiasi suasana kami. Tatkala mahu beredar dari kawasan itu, aku terpandang budak perempuan yang aku jumpa semalam. Budak perempuan itu menggamit aku dari jauh. Aku sudah mula berperasaan pelik. Walhal semalam budak perempuan itu menjauh dari aku tapi hari ini dia mahu aku mendekatinya pula.

Perlahan-lahan aku pergi kepada budak perempuan itu. Jazmi yang mengekori aku dari belakang terpaku. Mungkin pelik melihat aku pergi ke taman permainan. Lagipun jam baru menunjukkan pukul 2.50 petang. Tiada orang lain pun yang datang bermain di situ.

“Adik... kenapa panggil akak?” laungku dari jauh sebelum datang menghampiri budak perempuan itu. Budak perempuan itu masih diam tapi ketika aku semakin menghampiri dia, dia lari pula dariku.

“Nana... awak nak pergi mana tu?” Jazmi menegur aku.

Aku memandang dia pelik. “Macam mana awak tahu nama panggilan saya?” soalku hairan. Stalker ke dia ni? Hinggakan tahu nama panggilanku.

Jazmi terdiam. Apabila dia mahu menjawab soalanku itu, aku berpaling daripadanya. Mengekori budak perempuan yang sejak dari tadi asyik menggamitku seolah-olah mahu aku mengekorinya.

“Awak nak pergi mana tu, Nana?” Banyak kali juga Jazmi bertanya kepadaku tapi satu soalannya pun tidak aku balas.

Aku mengekori budak perempuan itu. Kami melalui jalan raya kecil yang kanan dan kiri jalannya dihiasi hutan Jantung aku yang tadinya berdegup perlahan kini semakin pantas degupannya. Tiba-tiba sahaja aku berasa tidak sedap hati kerana seingat aku, jalan yang kami lalui ini hampir sama seperti dalam mimpi yang aku alami di dalam kelas pagi tadi.

“Ya, Allah...,” ucapku perlahan. Aku menekup mulut. Menahan perasaan seriau yang mula menguasai diriku. Mana tidaknya... di depan mataku kini, tersergam rumah usang yang aku lihat di dalam mimpi ngeriku itu. Budak perempuan itu berhenti di hadapan pintu rumah usang tersebut, melambai-lambai ke arahku dari jauh. Bagaikan mengajak aku masuk ke rumah usang tersebut. Aku yang pada mulanya takut, cuba memberanikan diri. Entah kenapa kakiku bertindak tanpa mengikut akal fikiranku, melangkah menuju ke rumah usang tersebut.

“Nana, awak nak pergi mana tu? Bahayalah...” Jazmi cuba menahan aku dari terus melangkah. Aku tidak mempedulikannya. Seakan-akan dipukau, aku terus berjalan ke pintu rumah usang tersebut yang sudah sedia terbuka. Budak perempuan itu kini sudah hilang masuk ke dalam rumah itu.

Aku melangkah setapak demi setapak dengan penuh berhati-hati. Bunyi tapak kasutku cuba dikawal, agar ia tidak mengeluarkan bunyi bergema yang kuat kerana suasana di dalam rumah usang itu begitu sunyi. Jantung aku yang kini berdetak laju, aku cuba tahankan agar aku tidak begitu gemuruh.

Jazmi di belakangku juga turut melangkah dengan penuh berhati-hati. Dia mengekori aku dengan rapat. Mungkin cuba untuk melindungi aku. Sikapnya yang berwaspada itu, sedikit sebanyak membuatkan aku terasa selamat buat ketika itu.

Aku terpandang akan budak perempuan itu yang kini berdiri di hadapan sebuah bilik yang pintunya terbuka renggang. Kelihatan ada sedikit cahaya dari bilik tersebut. Cahaya yang sedikit itu membuatkan suasana rumah yang suram itu kelihatan agak menyeramkan. Aku memeluk tubuhku. Rasa takut bagaikan cuba untuk memujukku, menyuruh aku terus-terusan berperasaan begitu. Aku menoleh ke arah Jazmi di belakang. Wajahnya kelihatan tenang tetapi aku tahu dia juga berperasaan seperti aku cuma dia tidak mahu menunjukkannya kepadaku. Bukankah dia lelaki? Pastinya dia juga ada egonya yang tersendiri.

Budak perempuan itu masuk ke dalam. Aku mengekorinya perlahan-lahan. Tatkala aku menolak pintu bilik itu sedikit, aku ternampak ada sebuah meja panjang yang rupanya betul-betul sama dalam mimpiku. Budak perempuan tadi sudah tiada. Hilang entah ke mana...

“Tak mungkin...,” ucapku perlahan. Aku terduduk. Nafasku terasa tersekat. Di kala itulah, aku terasa ada tangan yang memegang bahuku. Cepat-cepat aku menepisnya tetapi rupa-rupanya itu adalah tangan Jazmi. Dia memberikan pandangan risau. Mungkin gusar melihat keadaan aku yang bagaikan sudah tidak berdaya untuk bangun lagi itu.

“Awak okay ke?” soal Jazmi. Aku diam. Tidak menjawab soalannya.

Ketika Jazmi mahu cuba menarik aku untuk bangun, di kala itulah kami terdengar bunyi tapak kaki yang semakin menghampiri bilik yang kami masuk ini. Jazmi cepat-cepat menarik aku, menyorok di belakang almari besar yang ada di sudut bilik tersebut.

Pintu bilik dibuka luas. Muncullah seorang lelaki berbadan tegap mengendong seorang budak perempuan yang meronta-ronta minta dilepaskan. Aku tergamam. Mulutku ditekup kuat. Lelaki itu... lelaki itulah yang ada dalam mimpi ngeriku. Aku memegang leher pula. Takut jikalau mimpiku nanti menjadi kenyataan pula. Sebelah tanganku menarik lengan baju Jazmi. Ingin memberitahunya mengenai mimpiku itu tetapi suaraku bagaikan tersekat di kerongkong. Tidak mampu meluahkan apa-apa.

Jazmi memandangku. Perasan yang lengan bajunya aku tarik. Dia memegang bahuku. Cuba menenangkan aku tetapi aku menggelengkan kepalaku laju. Aku tidak boleh bertenang dalam keadaaan sebegini. Kalau boleh, aku mahu lari keluar dari bilik tersebut. Tidak mahu berada berdekatan dengan lelaki berbadan tegap itu. Air mata mula perlahan-lahan jatuh ke pipiku. Perasaan takut, seriau, seram... bercampur-baur menjadi satu dalam diriku.

Jazmi tidak terkata apa-apa. Dia kembali memerhatikan lelaki berbadan tegap itu. Lelaki itu meletakkan budak perempuan yang dikendongnya ke atas meja panjang. Budak perempuan yang memang menangis teresak-esak itu diikat menggunakan tali yang bersambung dengan meja panjang tersebut. Kemudiannya lelaki itu mengambil sebilah pisau yang ada di atas meja kecil bersebelahan budak perempuan itu. Aku mula risau. Kali ini aku menarik lengan baju Jazmi lebih kuat dari tadi. “Jazmi...”

“Tidak!!!” Budak perempuan itu menjerit tatkala pisau mencecah lehernya. Aku terperanjat. Jazmi sudah meluru ke hadapan, menendang tangan lelaki itu yang memegang pisau. Pisau tercampak jauh. Lelaki itu jatuh tersungkur.

“Nana, selamatkan budak perempuan tu dulu.” Jazmi memberi arahan kepadaku. Aku yang masih menggeletar cepat-cepat meluru ke arah budak perempuan yang terikat itu. Aku melepaskan ikatan yang dililit ke badan budak perempuan itu. Budak perempuan itu terus memeluk aku erat selepas ikatan di badannya diuraikan. Dia menangis dalam pelukan aku. Aku berusaha menenangkan dia walaupun aku sendiri pun takut dengan situasi yang melanda kami sekarang.

Jazmi membuka langkah kuda-kuda. Kedua tangannya digenggam ke hadapan. Gayanya ibarat petinju pula apabila aku lihat dari jauh. Dia bersiap siaga untuk menghadapi serangan lelaki berbadan tegap itu. Lelaki berbadan tegap itu perlahan-lahan bangun. Dia membetulkan sengal-sengal yang terasa di badannya. Berkeriut-keriut bunyinya kedengaran. Mukanya bengis. Matanya terbeliak besar.

Lelaki itu melakukan serangan. Dia meluru laju ke arah Jazmi. Jazmi mengelak sambil itu sikunya sempat menghentak belakang leher lelaki itu. Lelaki berbadan besar itu jatuh tetapi kaki kirinya cuba menguis kaki Jazmi bagi menjatuhkan Jazmi pula. Jazmi melompat tinggi ke belakang, mengelakkan dirinya dari terjatuh. Kemudiannya Jazmi kembali dalam langkah bertahan. Dia menggenggam kedua-dua penumbuknya ke hadapan.

Lelaki berbadan tegap itu tidak puas hati. Matanya melilau sekeliling. Tatkala matanya dapat menangkap benda yang dicari, dia terus meluru ke arah benda tersebut. Fikiran Jazmi dapat tangkap apa yang dicari oleh lelaki itu tetapi dia tidak sempat bertindak untuk merampas benda itu terlebih dahulu. Aku lihat Jazmi menarik nafas panjang tatkala lelaki berbadan tegap itu memegang pisau di tangannya. Aku mula cemas. Budak perempuan di dalam pelukan aku juga semakin kuat tangisannya, bagaikan tahu perkara yang lebih buruk akan terjadi kepadanya selepas itu.

Lelaki berbadan tegap itu menyeringai. Rupanya begitu menakutkan. Dia meluru ke arah Jazmi sekali lagi, kali ini dengan pisau di tangannya. Pisau itu diacu terus ke perut Jazmi. Jazmi cuba menepis tetapi hujung mata pisau itu terkena bahu  kiri Jazmi pula. Jazmi terundur ke belakang. Dia memegang bahunya yang tercedera.

“Jazmi!” Aku automatik menjerit namanya. Risau jikalau dia betul-betul tercedera parah. Baju sekolah Jazmi yang berwarna putih kini bercorakkan warna merah darah miliknya. Aku takut. Aku mahu bergerak menghampiri Jazmi tetapi Jazmi mengangkat tangan kanannya tinggi, menghalang aku dari terus merapatinya.

“Saya tak apa-apa,” ujarnya lembut tetapi aku masih dapat dengar suaranya mendesis kesakitan.

“Jazmi, depan awak!” Aku memberi amaran kepadanya kerana ketika itu lelaki berbadan tegap itu sudah mengorak langkah mahu menyerang Jazmi sekali lagi. Pisau terhunus di depan mata Jazmi. Jazmi berefleksi pantas. Dia memegang tangan lelaki itu yang memegang pisau. Mereka mula bergelut. Aku cemas. Sekejap pisau itu diacukan ke perut Jazmi, sekejap lagi pisau itu diacu ke perut lelaki itu pula. Tak lama kemudiannya mereka bergelut di lantai pula.

Jantungku bergetar hebat. Aku memerhatikan pergelutan mereka. Aku ingin membantu Jazmi tetapi aku sendiri pun takut. Bagaimana ni?

Selepas beberapa saat getir, mereka berdua berhenti bergelut. Kedua-duanya terbaring di atas lantai. Jazmi dihempap oleh lelaki berbadan tegap itu. Aku lihat mata Jazmi terpejam rapat. Nafasku mula terasa tersekat-sekat. Jazmi... Jazmi... Tak mungkin dia dah mati? Air mataku sudah merembes laju. Budak perempuan yang berada dalam pelukanku, aku peluk dengan lebih erat lagi.

“Errghh...” Aku terdengar suatu suara mengerang. Aku kembali menoleh ke arah Jazmi dan lelaki berbadan tegap itu. Kali ini aku lihat Jazmi sudah bergerak. Alhamdulillah... dia masih hidup lagi rupanya.

Perlahan-lahan aku merangkak ke arah Jazmi. Budak perempuan itu aku tinggalkan di sudut dinding. Dia takut mahu menghampiri lelaki berbadan tegap itu. Aku membantu Jazmi menolak tubuh lelaki itu yang menghempap Jazmi. Kami menelentangkan lelaki itu. Aku lihat perut lelaki itu kini berlumuran darah yang banyak dan ada pisau tercucuk tepat ke perutnya. Aku tidak pasti lelaki itu masih hidup ataupun tidak, apa yang aku tahu, aku perlu menarik Jazmi jauh daripada lelaki itu.

“Awak pergi hubungi polis. Saya akan cuba awasi lelaki itu. Mungkin dia hanya pengsan sahaja sebab kehilangan banyak darah. Lebih baik awak cepat.” Jazmi menggesa aku. Aku mengangguk sekali. Faham dengan arahan yang diberinya. Perlahan-lahan aku bangkit, mengumpul kekuatan untuk berlari keluar dari rumah usang tersebut dan mencari pertolongan secepat mungkin.
Beberapa minit kemudiannya pihak polis sampai di rumah usang tersebut. Aku sebagai penunjuk jalan turut menaiki kenderaan polis menuju ke rumah itu. Aku cepat-cepat masuk ke dalam rumah itu, mencari Jazmi. Sebaik sahaja aku ternampak Jazmi yang kini duduk bersandar di dinding, aku datang menghampirinya sambil itu meminta bantuan kecemasan daripada pasukan paramedik yang turut mengikuti pasukan polis tadi.

Jazmi tersenyum lemah tatkala matanya bertembung dengan mataku. Aku tahu dia sudah tidak larat menahan kesakitan yang dialaminya ketika itu. Dua orang paramedik berusaha memberikan rawatan kecemasan kepada Jazmi. Sesekali mereka bertanya keadaan Jazmi dan Jazmi hanya terdaya menjawab lemah sahaja.

Aku hanya mampu melihat dari jauh. Tidak berani mendekati Jazmi kerana takut mengganggu kerja-kerja paramedik itu pula. Sewaktu aku mahu beredar meninggalkan Jazmi dengan paramedik tersebut, aku terpandang akan budak perempuan yang aku temui di taman permainan semalam. Budak perempuan itu kini tersenyum gembira, berdiri di sudut tepi tingkap yang ada dalam bilik tersebut. Mukanya tidak lagi seperti semalam. Kaku atau tidak berperasaan. Aku mahu menghampiri dia tetapi dia menggeleng perlahan seolah-olah tidak membenarkan aku pergi kepadanya. Aku pelik. Hati aku berbisik supaya biarkan sahaja budak perempuan itu.

“Tuan, kami jumpa banyak tengkorak dan tulang manusia di satu bilik bawah tanah malah ada satu mayat budak perempuan yang nampaknya baru sahaja dibunuh tiga hari yang lepas.” Seorang anggota polis memberitahu kepada inspektor yang bertugas di lokasi itu. Inspektor itu mengangguk, kemudiannya mengorak langkah mengikut anak buahnya.

Aku menekup mulut. Rasa mual mula terasa mendengar akan perkataan tengkorak, tulang dan mayat. Tak lama kemudiannya mayat budak perempuan yang disebutkan itu dinaikkan ke atas dari bilik bawah tanah. Inspektor itu sempat menyelak plastik hitam yang menutup muka budak perempuan itu dan alangkah terkejutnya aku muka mayat itu sama seperti muka budak perempuan yang aku temui di taman permainan semalam. Aku tergamam. Mindaku berusaha untuk menguraikan simpulan misteri yang aku alami. Ini bermakna budak perempuan yang aku temui itu sebenarnya sudah tiga hari mati? Dan apabila aku fikir-fikirkan lagi, mimpi ngeri yang aku alami itu mungkinkah kejadian yang betul-betul terjadi? Mungkin mimpi itu adalah kejadian budak perempuan itu dibunuh.

Aku mengucap panjang. Kuasa Allah mahu menunjukkan aku keadilan yang sepatut dimiliki oleh budak perempuan yang dibunuh dan teraniaya itu. Aku mula menangis dan berasa simpati terhadap nasib budak perempuan yang mati dibunuh itu.

Jazmi dari jauh memandangku. Dia menghadiahkan senyuman. Mungkin dia cuba mahu memujuk aku supaya tidak terus-terusan menangis. Aku membalas senyumannya kembali. Air mata masih merembes lagi di pipiku. Tidak lama selepas itu, aku dan Jazmi di bawa ke hospital, menjalani pemeriksaaan dan diberi rawatan kecemasan. Kami berdua dapat pulang ke rumah setelah pihak polis mengucapkan jutaan terima kasih kerana membantu mereka dalam menyelesaikan kes siri penculikan dan pembunuhan kanak-kanak yang sudah tiga bulan berleluasa di sekitar Lembah Kelang. Lelaki yang melakukannya itu sebenarnya adalah salah seorang ahli sindiket gelap yang menculik dan membunuh kanak-kanak untuk mendapatkan organ dalaman dan dijual ke pasaran gelap. Ada juga manusia kejam seperti itu! Sanggup membunuh untuk kepentingan diri sendiri dan tamakkan harta dunia.

Keesokannya seperti biasa, kami hadir ke sekolah. Berita mengenai pertolongan kami terhadap pihak polis sudah tersebar di sekolah. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada kami dan ada juga yang bertanya lebih lanjut mengenai kes tersebut. Sekelip mata aku menjadi terkenal di sekolah. Sejak kejadian itu, ramai yang mula mendekati aku hinggakan anggapan mereka terhadapku juga sudah berubah. Pada mulanya mereka menganggap aku gadis yang sombong dan hanya suka bersendirian. Kali ini persepsi mereka berubah. Mereka tidak lagi membiarkan aku keseorangan. Malah ke mana-mana sahaja aku pergi, ramai rakan sekolahku menegur. Tidak kiralah yang sebaya denganku atau lebih tua dariku malah yang lebih muda juga.

Alhamdulillah. Kehidupanku juga sudah berubah dengan lebih baik selepas kejadian tersebut. Dan cuba teka apa hubungan aku dengan Jazmi selepas itu? Hmm... selepas beberapa hari kejadian itu berlaku, boleh dikatakan setiap hari aku pulang ke rumah bersama-sama dengan Jazmi. Alasan Jazmi, dia kata rumahnya dekat dengan rumahku. Lagipun kami sekelas dan pastinya waktu balik kami sama. Walhal aku sendiri tahu niat sebenarnya. Sebetulnya dia mahu mengawasi aku kerana bimbangkan keselamatan aku yang selalu balik seorang diri tanpa berteman.

Jazmi juga ada meluahkan perasaannya kepadaku. Sebenarnya dia sudah lama perhatikan aku. Sejak kami di tingkatan satu lagi. Cuma aku sahaja yang tidak perasan akan kewujudannya. Dia juga ada menyatakan yang dia suka kepadaku. Aku tersipu-sipu sewaktu mendengarkan luahan hatinya itu. Walau bagaimanapun, aku menolak perlahan perasaaan hatinya itu. Aku memberi kata putus supaya kami hanya berkawan sahaja. Kalau ada jodoh, mungkin hubungan kawan kami ini akan naik ke peringkat alam perkahwinan pula. Hihi...

Dan ya! Memang betul. Sekarang ini aku sudah tamat belajar di universiti dalam peringkat ijazah. Aku juga sudah bertunang dengan Jazmi dan kami hanya menunggu saat-saat detik pernikahan kami yang akan berlangsung tidak lama lagi. Aku bahagia dengan kehidupan aku sekarang. Sesekali aku teringat akan alam persekolahan aku dahulu. Dan sesekali aku teringat juga akan Airil yang pernah menjadi cinta ilusi pertamaku. Aku tidak pernah menceritakan perihal Airil kepada Jazmi. Ah, mungkin suatu hari nanti! Lagipun aku pasti dia mungkin tidak percaya dengan kejadian yang aku alami ini. Bukankah misteri? Hmm... aku baru perasan yang kehidupan yang aku jalani selama ini selalu berkait rapat dengan misteri. Adakah selepas ini aku akan alami kejadian misteri seperti ini juga? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Hmm... bagaimana? Suka dengan cerita aku ini? Jangan lupa tahu. Tak boleh beritahu sesiapa mengenai cerita aku ini. Hanya kepada kau sahaja aku bercerita. Janji?

Oh, ya! Doakan juga kebahagian aku dengan Jazmi Damian bin Saifullah (Nama betul Jazmi. Hehe...). Insyaallah... jika umur panjang kita akan bertemu lagi dan mungkin juga aku akan bercerita kepada kau lagi mengenai kehidupan aku.

Hello! Ucapan pertama apabila kita bertemu seseorang tetapi lebih indah jikalau ucapan itu ditukarkan kepada salam. Assalamualaikum... J



P.S. Akhirnya siap juga cerpen "Hello!" sambungan "Cinta?". Alhamdulillah... hehe, best tak? Cerpen ini inspirasinya dari anime Ghost Hunt yang saya minat gila tengok! Cuba try... seram cerita tu tapi watak utama lelakinya handsome! Hihik... suka tengok pun sebab lelaki tu handsome aje... tapi awas! Sesiapa yang ada sakit jantung atau lemah semangat, dilarang tengok cerita tu sebab seram sangat! Huhu...