Nuffnang Ads

Friday 24 February 2012

Cerpen: Cinta? (prequel Hello!)




Cinta... apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Hebat sangatkah cinta itu? Apa perasaan C.I.N.T.A itu? Gembira, sedih, takut, benci, marah atau cemburu? Itukah perasaannya? Hmm... persoalan itu semua tidak pernah aku dapat jawab sejak aku dilahirkan ke dunia fana ini. Adakah kau pernah rasa perasaan C.I.N.T.A itu? Kalau pernah, sila beritahu kepadaku. Ingin sekali aku mengetahui perasaannya. Ahh... cinta!

Apakah kau ingin tahu satu kisah? Kisah di mana hanya kita sahaja dapat berkongsi. Jangan pula kau beritahu kepada orang lain kerana kisah ini tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun melainkan aku dan dia. Ya, inilah kisahnya! Cinta yang tidak dapat kita bayangkan walaupun hanya ilusi.

Nur Jannah
Pagi itu perjalanan ke sekolah kurasa amat panjang. Perlahan-lahan kakiku mengatur langkah hinggalah sampai ke pintu pagar sekolah. Keadaan di sekeliling riuh-rendah. Ramai juga pelajar yang berjalan kaki ke sekolah secara berkumpulan. Aku saja yang berjalan seorang diri tanpa teman di sisi. Memang sikapku begini. Suka bersendirian dan seorang yang pendiam. Walau bagaimanapun keputusan peperiksaanku masih lagi memuaskan.

Tiba-tiba mataku tertangkap bayangan seseorang di tepi pohon beringin. Pohon itu terletak di tepi padang sekolah. Banyak juga ura-ura cerita yang aku dengari mengatakan yang pohon itu berpenghuni! Eee... terasa seram sejuk pula badanku! Walau bagaimanapun kesahihannya masih lagi belum terbukti. Entahlah...

Mataku masih lagi merenung bayangan di pohon itu. Adakalanya aku mengecilkan mata untuk mendapatkan pandangan yang jelas. Kelibat itu mula menghilang di sebalik pohon beringin. Apa yang aku dapat tangkap, kelibat itu memakai pakaian sekolah. Seorang lelaki... argh, mungkin budak-budak nakal! Entah apa yang dilakukan. Mungkin menghisap rokok? Biasalah... generasi muda sekarang memang tidak sayang akan nyawa sendiri.

Aku berlalu masuk ke kelas. Loceng sudah berbunyi menandakan waktu persekolahan sudah bermula. Pelajaran seperti biasa diteruskan sehinggalah masa berlalu. Waktu pulang dari sekolah pula tiba. Aku berjalan keluar dari kelas. Sampai sahaja di pintu kelas, seorang budak lelaki melanggar bahuku tanpa mengucapkan maaf. Aku bengang dengan sikapnya. Entah siapa namanya? Aku bukannya rapat dengan rakan sekelasku. Nama mereka semua pun tidak aku hafal. Aku hanya berada di dalam duniaku sendiri...

Aku berjalan sambil merungut tidak henti-henti. Tak puas hati dengan budak lelaki yang melanggarku tadi. Sampai di pintu pagar sekolah, mataku tertancap sekali lagi pada bayangan di pohon beringin itu. Hatiku berura-ura mahu ke sana. Ingin mengetahui siapakah yang berada di situ sebenarnya.

Perlahan-lahan kakiku melangkah. Kelibat itu kini jelas pada pandanganku. Seorang budak lelaki. Kacak juga. Tinggi lampai dan warna kulitnya putih pucat. Rambutnya pula hitam dan lurus. Gaya rambutnya seperti budak skema. Dibelah tepi. Aku cuba menahan tawa dalam hati. Budak lelaki itu menyambut kedatanganku dengan seulas senyuman di bibir merahnya. Hatiku tiba-tiba rasa berdebar. Berdegup kencang.

“Hai, awak buat apa di sini?” ujarku sambil membalas senyumannya. Mataku masih lagi menyoroti wajah budak lelaki di hadapanku ini.

“Tak buat apa-apa. Ambil angin saja,” jawab budak lelaki itu. Masih lagi tersenyum. Lesung pipitnya jelas kelihatan dikedua-dua belah pipi.

“Takkanlah. Pagi tadi pun saya lihat awak di sini. Orang lain tak berani berdekatan dengan pohon ini.” Aku cuba memberitahunya. “Awak pelajar baru ke? Tak pernah saya lihat awak sebelum ini,” tanyaku. Hatiku meronta-ronta ingin mengenali budak lelaki ini. Sebelum ini aku tak pernah menjadi seperamah ini. Entah kenapa dengan si dia, aku jadi peramah pula. Pelik-pelik...

“Ya, saya pelajar baru. Tapi awak tak pula takut berdekatan dengan pohon ini? Saya tak kisah berada di sini.” Budak lelaki itu menjawab selamba. Tangan kanannya dimasukkan ke dalam poket seluar.

Aku diam tanpa menjawab persoalannya. Budak lelaki itu kemudian duduk di salah sebuah batang pokok yang telah tumbang yang berada di hadapanku. Aku berdiri kaku merenungnya. Dia pula masih lagi tersenyum.

“Duduklah,” pelawanya sambil menepuk-nepuk tempat di sebelahnya. Aku menggeleng perlahan. Tidak suka berdekatan dengan lelaki. Lagi-lagi orang yang tidak dikenali.

“Nama saya Airil. Saya di Tingkatan Lima. Nama awak?”

“Panggil saya Nana sahaja,” jawabku perlahan.

“Nana? Nama penuh awak apa?”

“Perlu ke awak tahu?” Aku tak puas hati dengan pertanyaannya. Sedangkan aku tak mengenalinya tapi dia mahu mengetahui nama penuhku pula.

Airil
“Saya tak kisah. Tapi saya sukakan awak pada pandangan kali pertama.” Lelaki itu tersenyum setelah mengakhiri kata-katanya. Aku terkesima. Apa maksud dia suka pada pandangan kali pertama? Aku tak faham. Adakah itu bermakna cinta? Aku tidak pernah bercinta. Malah tidak mengetahui pun apa rasanya seperti yang disebut-sebut oleh orang.

“Nur Jannah.”

“Hmm... sedap nama itu. Cahaya syurgakan maknanya?”

“Ya.” Pendek jawapanku. Akhirnya kami berbual lama. Barulah aku tahu bahawa dia sebenarnya seorang yang lucu dan pandai mengambil hati. Tidak menyedari masa berlalu, sehinggalah waktu petang tiba. Aku meminta diri untuk pulang ke rumah. Kami mengucapkan selamat tinggal. Mungkin esok akan bertemu lagi.

Aku lihat wajahnya seperti tidak mahu melepaskan aku pergi sahaja. Tetapi hari sudah petang. Aku takut ibu dan bapaku akan marah kalau aku pulang lebih lewat. Apa pula aku mahu beri alasan nanti? Kalau beri alasan ada kelas tambahan tidak mengapa agaknya. Jam di tanganku menunjukkan pukul tiga petang.

“Nana...,” panggilnya perlahan. Aku menoleh melihat wajahnya. “Ya?”

“Err... tak ada apa-apalah. Selamat pulang, ya?” Wajahnya kelihatan seperti ingin memberitahuku sesuatu. Walau bagaimanapun aku tetap melangkah pulang. Tanganku melambai padanya. Dia membalas.

Pada malam harinya, dalam bilikku, mataku tidak boleh tutup lagi. Aku tak boleh berhenti memikirkan tentang Airil, lelaki yang baru kukenali. Tidak sabar rasanya ingin bertemu esok. Perasaan apa ini? Dalam tak sedar, akhirnya aku terlena juga.

Keesokan hari aku bertemu lagi dengannya. Masih lagi di bawah pohon beringin. Tempat itu seperti menjadi tempat untuk kami bertemu saja. Di situ kami berbual pelbagai perkara. Adakalanya kami belajar bersama. Dia bijak juga orangnya. Dia mengajarku subjek Kimia dan Fizik yang tidak aku fahami sangat. Aku berada di Tingkatan Empat dalam kelas sains tulen. Dia pun dalam kelas sains juga. Hubungan kami mulai rapat dari hari ke hari. Mungkin lebih dari seorang kawan?

Sehinggalah beberapa minggu kemudian, dalam perjalanan pulang dari sekolah, aku menemui sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung dalam pemikiranku. Kertas putih yang ditampalkan di sebatang pokok di tepi perhentian bas menarik perhatian aku. Gambar di kertas itu membuatkan aku tertanya. Apakah makna ini semua? Aku mula keliru. Tetapi apa yang pasti aku akan mendapatkan jawapannya esok.

Aku mencari Airil keesokan hari di kelasnya. Tetapi wajahnya tidak kutemui. Aku cuba memberanikan diri bertanya dengan rakan sekelasnya. Nasib baiklah tiada guru yang masuk mengajar.

“Airil?” Senior yang kutanya mengerutkan dahinya. “Siapa tu? Mana ada orang yang bernama Airil di kelas ini.”

Aku panik. Tiada? Aku meminta maaf kepada senior itu kerana menganggunya. Senior itu memandangku curiga. Cepat-cepat aku mengatur langkah beredar dari kelas itu. Pelbagai persoalan berlegar-legar di mindaku.

Siapa Airil sebenarnya? Kenapa pula dia tiada di kelas sains itu? Mengapa dia menipu aku? Soalan-soalan itu tidak dapat aku jawab sendiri. Tibalah waktu pulang. Aku melangkah perlahan menuju ke pohon beringin. Perasaan aku tidak menentu. Rasa marah pun ada menyelubungi diriku. Kelihatan Airil tersenyum menanti aku. Tangannya melambai tetapi aku tidak membalasnya. Mukaku masam mencuka. Dia pelik melihat sikap aku.

“Kenapa ni, Nana?” soalnya.

“Siapa awak sebenarnya, Airil?” Aku membalas soalannya dengan soalanku. Dia terdiam. Matanya merenung aku lembut. Akhirnya dia tersenyum.

“Airil, seorang pelajar.” Dia menjawab pendek.

Aku merengus kuat. “Awak tipu.”

“Kenapa pula awak berkata begitu?”

Aku kemudiannya menceritakan apa yang berlaku pagi tadi, di mana aku pergi ke kelasnya tetapi tidak bertemu dengannya. Malah aku memberitahu juga apa yang aku temui di perhentian bas semalam. Gambar dirinya.

Airil diam. Sepanjang aku bercerita dia tidak mencelah. Akhirnya dia menghembus nafas perlahan. Dingin sahaja aku rasa kerana aku duduk di sebelahnya.

“Awak tahu siapa saya, kan?” soalnya. Aku memandang wajahnya tanpa menjawab.

Kemudian dia menceritakan tentang dirinya yang selama ini tidak aku ketahui. Dia seorang pelajar yang cemerlang. Malah seorang yang rajin membantu guru juga. Sehinggalah suatu hari dia bertemu dengan beberapa orang pelajar lelaki yang sedang menghisap rokok di semak belakang kawasan sekolahnya. Pada mulanya dia buat tidak hirau kerana takut dirinya diapa-apakan tetapi kumpulan pelajar lelaki itu menghampiri dirinya. Mereka bertanya adakah dia mahu cuba apa yang mereka buat? Dia menolak dengan lembut. Kumpulan pelajar itu memujuknya mengatakan rokok yang mereka hisap ini lain dari yang lain. Airil lihat mereka seperti dalam keadaan khayal sahaja. Airil mula syak yang bahan di dalam rokok itu mungkin adalah dadah yang kuat.

Ketika dia hendak cuba beredar, kumpulan lelaki itu menarik lengan bajunya. Mereka mula bertindak ganas. Mereka membelasah Airil dengan teruk. Sehinggalah salah seorang daripada mereka memukul kepalanya dengan sebatang kayu tebal. Airil hampir pengsan tetapi dia separuh sedar sahaja ketika itu. Mereka pun beramai-ramai mengangkatnya hingga ke pohon beringin ini. Dia tidak kenal tempat ini pada mulanya. Mungkin ini sekolah mereka. Mereka mula mengorek lubang di tepi pohon beringin. Dia menunjukkan tempat itu padaku. Aku mampu merenung sahaja. Kemudian dia kembali menyambung cerita. Setelah selesai mengorek lubang, mereka mencampakkan dia ke dalam lubang itu. Airil masih ingat lagi ketawa yang didengari daripada mulut mereka. Benci sungguh Airil mendengarnya.

“Awak tahu apa yang jadi selepas itu?” Dia bertanya padaku. Jawapannya ada bermain-main di mindaku. Tidak mungkin jawapannya adalah apa yang aku fikirkan ini.

“Mereka tanam awak hidup-hidup.” Aku menjawab lambat-lambat. Jantungku berdebar kencang. Perasaanku mula tidak tentu hala. Dia merenungku lama.

“Ya, Nana. Mereka tanam saya hidup-hidup. Saya dah mati, Nana. Dah mati.”

Aku terkejut mendengarkan pengakuannya itu. Badanku menggigil. “Tapi awak ada di depan saya, Airil.”

“Saya roh yang tidak aman, Nana. Roh saya merayau-rayau kerana jasadnya tidak disemadikan dengan sempurna. Dah lama saya cari orang untuk membantu saya. Akhirnya saya bertemu dengan awak. Saya selalu lihat awak bersendirian tanpa teman. Saya kasihan melihat keadaan awak begitu. Kerana itulah saya cuba membuatkan awak dekat dengan saya.”

Aku terpaku mendengar penjelasannya. Apa makna ini semua? Airil sudah mati. Sudah mati... Aku berdiri. Merenung padang yang luas terbentang di hadapanku. Apa yang harus kulakukan?

“Boleh awak tolong saya, Nana? Semadikan jasad saya dengan sempurna,” pintanya. Aku menoleh pada wajah pucatnya. Sebab itukah? Kenapa tidak aku persoalkan tentang wajahnya yang pucat itu sebelum ini? Kenapa tidak aku terfikirkannya? Akhirnya aku mengangguk perlahan. Bersetuju untuk membantunya.

Nur Jannah memandang ke langit yang luas terbentang.

“Saya sukakan awak, Nana. Saya harap kita akan bertemu di alam lain nanti. Terima kasih kerana membantu saya. Jangan lupa kirimkan salam saya pada keluarga saya. Dan awak juga jangan lupa mendoakan saya.” Dia mengakhirkan kata-katanya dengan seulas senyuman. Aku pasti yang aku akan rindu dengan senyuman itu. Bila lagi aku boleh melihat senyuman yang sudah bertakhta di hatiku ini? Kami berpisah dengan berbalas lambaian. Dari kejauhan aku lihat dia menghilang di sebalik pohon beringin itu. Aku merenung ke langit. Awan putih berarak perlahan.

“Saya doakan awak sejahtera di sana, Airil,” bisikku perlahan.

Jadi, begitulah kisahnya. Bagaimana? Apa persepsi kau sekarang? Jangan beritahu pada orang lain tahu. Rasa-rasa kau apa patut aku namakan cinta ini? Pernahkah kau rasa cinta ilusi seperti ini? Sekarang baru aku sedar bahawa cintaku ini cinta ilusi. Mungkin ia benar dan mungkin juga tidak. Tetapi jawapannya apa yang kau tahu? Fikir-fikirkanlah...

Oh, iya! Terlupa pula nak beritahu. Mahu tahu siapa kekasih pertamaku? Lelaki yang melanggar bahuku yang tidak meminta maaf...

Mahu tahu kisah seterusnya?



P.S. Cerita ini ideanya dapat waktu tengah dok berangan kat dalam bilik sambil ditemani buku2 sekolah. Hehe...saya sebenarnya minat betul cerita misteri-misteri ni. Disebabkan idea kat dalam kepala ni sudah membuak-buak maka lahirlah cerpen "Cinta" ini... Best tak?? ^^ Opss, terlupa pula! Cerita ini ada sambungannya juga tau...tajuknya "Hello!"...tak sabar nak baca? Nantilah~~ tengah memerah otak ni macam mana nak karang. Idea sudah ada tapi nak mewacanakannya agak susah sikit...huhu x.x

*** 

Nota dari Penulis: Haik! Sambungannya "Hello" sudah siap. Klik [sini].

No comments:

Post a Comment