Nuffnang Ads

Friday 31 August 2012

Cerita Hari Ini: Alamak, Salah Masuklah!

Gambar Sekadar Hiasan. Comel Tak? Hehe...


Solat Asar telah lama masuk waktunya. Aku tergopoh-gapah mencari surau yang berdekatan untuk menunaikan tanggungjawabku sebagai hamba Allah SWT. Disebabkan tempat yang aku pergi ini aku tidak familiar, agak lama jugalah aku mencari surau di sekitar kawasan itu. Setelah bertemu surau yang dicari, kereta diparkir di luar  kawasan surau itu. Aku turun dari kereta, bergegas menuju ke dalam kawasan surau.

Di laman surau, dua orang budak lelaki (agak kacak juga...hehe ^^) sedang bermain ping pong. Meja ping pongnya pun ada tau! Seorang berbaju merah dan seorang lagi berbaju hijau. Permainan mereka disaksikan oleh beberapa orang lelaki tua yang berjubah labuh dan berkopiah putih. Aku masuk ke dalam surau, pura-pura tidak mahu menghiraukan mereka. Amboi, sombongnya! Sepatutnya apabila masuk ke dalam surau, haruslah memberi salam kepada orang yang ada di situ. Betul tak? Huhu... 

Di belakang belah kiri budak lelaki yang berbaju merah, aku lihat ada seseorang mengambil wuduk di situ. Aku lihat dari belakang orang itu berambut panjang lepas hingga ke bahu. Cantik rambutnya. Aku pelik. Aik, takkanlah perempuan itu tidak menutup aurat langsung sewaktu mengambil wuduk? Di tempat terbuka pula tu! Pak cik-pak cik ini  tidak perasankah? Aku berjalan menuju ke arah orang itu. Niatku mahu menegurnya tapi niatku itu kemudiannya terbatal. Salah seorang lelaki tua yang menyaksikan permainan ping pong tadi datang menegurku. 

"Adik cari tempat solat wanita ke?" tanya lelaki tua itu.

Aku mengangguk. "Ya, pak cik. Di mana ya?" tanyaku tersipu-sipu. Segan sebenarnya. Sepatutnya aku bertanya kepada pak cik itu sebaik sahaja melangkah ke dalam surau tadi. Ini tidak, sombong! Huhu...

"Oh, yang adik nak pergi ni tempat lelaki. Tempat solat wanita di belakang sana. Di sebelah kiri," terang lelaki tua itu. 

Aku termangu-mangu. Habis tu, orang yang ambil wuduk tu bukan perempuan ke? Kenapa dia ambil wuduk di tempat lelaki? Aku menoleh ke arah orang yang mengambil wuduk itu tadi. Orang itu mula memalingkan mukanya menghadap ke belakangnya, mungkin terganggu agaknya apabila ada orang berbicara di belakangnya. 

Aku terkejut. Ya, Allah! Lelaki rupanya... aku sangkakan perempuanlah tadi. Dari belakang kulihat seperti perempuan, dengan rambutnya yang panjang lepas hingga ke bahu dan mempunyai tubuh yang sederhana kurus. Ah, malunya! Kiranya aku hampir salah masuk tempatlah ni? Alhamdulillah... aku tak pergi menegur lelaki berambut panjang yang mengambil wuduk itu tadi. Kalau tidak, agaknya bertambah bertimbun-timbunlah perasaan malu aku ini. Dahlah lelaki tu agak kacak juga rupa parasnya. Hehehe... sempat lagi tu mengusha orang lain.

Lelaki itu menghadiahkan senyuman. Aku tersipu malu. Alahai, abang... kenapalah bela rambut panjang? Dahlah cantik rambut abang tu. Rambut saya pun tak cantik macam tu. Jealous saya tau! 

Aku tertunduk malu lagi. Lelaki tua yang menjelaskan tempat solat wanita di mana, aku ucapkan terima kasih. Aku perasan dua orang budak lelaki yang bermain ping pong itu tadi pun turut memandang ke arahku. Mungkin mereka pun tahu tentang kesilapan yang hampir aku lakukan. Alamak, malunya! Sudahlah salah tempat... lepas itu sombong pula tu mahu bertanya. Hah, itulah akibatnya! Malu bertanya sesat jalan. Jangan jadi manusia bodoh sombong. Aku mengingatkan diriku sendiri. 

Selepas meminta diri aku berlalu ke tempat solat wanita seperti yang diterangkan oleh lelaki tua itu tadi. Menunaikan solat yang menjadi tiang agama...

Moral of the story: Apabila masuk ke tempat yang kita tidak familiar, janganlah jadi bodoh sombong. Jadilah pandai berhemah. Hehehe... lepas tu, jikalau tempat yang kita pergi itu banyak orang muslim, berilah salam sejahtera. Dapat juga pahala. Tak salah jikalau kita memberi salam kepada orang yang tidak dikenali pun. Kitakan sesama Islam sesama saudara. Dan akhir sekali, jikalau tidak tahu ke mana arah tuju kita, janganlah jadi sombong dan malu hendak bertanya. Rendahkanlah tembok keegoan supaya mudah kita mencari jalan penyelesaian. Insya-Allah, dengan izin Allah... perjalanan kita akan dipermudahkan. 

Diharap sesiapa yang membaca entri ini turut mengambil iktibar atas apa yang terjadi pada saya ini. Saya pun manusia lemah. Semua yang baik itu datang dari Allah dan buruk itu datangnya dari diri kita sendiri. (Saya pun mengingatkan diri saya sendiri juga ini. Huhu...)

Sekian, wassalam. (^_^)


No comments:

Post a Comment