Nuffnang Ads

Tuesday 28 February 2012

Cerpen: Virus Putera Kaca



“Putra dah sampai! Cepat, cepat! Putra... saya cintakan awak!” Kedengaran jeritan salah seorang pelajar perempuan Sekolah Tinggi Aymour iaitu sebuah sekolah swasta yang terkenal dengan pelajar-pelajar yang kaya malah bijak pandai juga. Tetapi ada juga pelajar-pelajarnya yang datang daripada orang kebanyakan. Kebiasaannya pelajar-pelajar ini lebih bijak daripada pelajar-pelajar yang kaya di sekolah itu dan ada juga dalam kalangan mereka yang menerima bantuan biasiswa daripada pihak sekolah kerana yuran Sekolah Tinggi Aymour lebih tinggi daripada yuran sekolah-sekolah biasa.

“Putra! Putra! Putra!” Jeritan para pelajar perempuan semakin kuat ketika sebuah kereta limosin putih berhenti di hadapan pintu gerbang Sekolah Tinggi Aymour. Ada yang menjerit seperti orang terkena histeria. Ada yang memanggil seperti orang terkena sawan. Tidak ketinggalan juga banner yang dibawa oleh beberapa orang gadis. Di banner-banner itu tertulis ayat, ‘We love you, Putra!’, ‘Putra putera kami!’, ‘Tetap cintai awak, Putra!’ dan berbagai-bagai ayat lagi. Kesemuanya ditulis dengan kreatif. Bentuk hati pula seperti menjadi bentuk yang wajib dilukis di atas semua banner tersebut. Itulah rutin mereka setiap hari. Waktu pagi sebelum pembelajaran bermula ataupun waktu pulang dari sekolah, pastinya mereka akan berdiri menanti ketibaan dan kepulangan putera tersebut. Tidak pernah berasa jemu ataupun muak.

Tupp...

Pintu hadapan limosin putih dibuka oleh pemandunya yang segak memakai kot berwarna hitam. Pelajar-pelajar perempuan yang menjerit tadi terdiam. Semuanya tertunggu-tunggu menanti kemunculan putera idaman mereka. Ketika pemandu limosin putih itu berlalu untuk membuka pintu belakang, jeritan para pelajar perempuan kembali bergema. Malah ada yang berlanggar-langgar mahu mendekati limosin putih itu tetapi dihalang oleh beberapa orang pengawal yang mengawal di sekeliling limosin putih itu. Mereka adalah pengawal pemilik limosin putih itu. Menjaga dan mengawasi keselamatan pemilik limosin putih itu adalah tugas utama mereka.

Adiputra
“Putra!” Jeritan semakin nyaring. Putera idaman yang ditunggu-tunggu oleh para gadis itu keluar dari limosinnya. Rupanya sungguh kacak pada pandangan sesiapa sahaja. Kulitnya yang berwarna putih kemerahan mampu mencairkan ramai hati wanita. Alis matanya yang lentik mampu menawan hati sesiapa jua. Rambutnya yang berwarna coklat keperangan disikat rapi. Dan yang paling ditunggu-tunggu oleh gadis-gadis tersebut ialah senyuman milik putera itu kerana apabila putera itu tersenyum, lesung pipit yang ada di kedua belah pipinya akan kelihatan.

Tapi bukan mudah hendak melihat putera itu tersenyum. Wajahnya sentiasa tiada reaksi. Seperti tidak berperasaan sahaja. Walau bagaimanapun, gadis-gadis di sekolah tersebut masih tetap meminati putera itu. Yalah... siapa yang tak minat dengan putera itu? Rupanya sudahlah kacak. Anak orang berada. Ayahnya pula mempunyai beratus-ratus anak buah syarikat di serata dunia. Keuntungan perniagaannya mungkin mencecah berbilion-bilion jumlah wangnya. Bukan itu saja, keluarga putera itu juga tinggal di sebuah rumah agam yang seperti istana rupanya. Kebanyakan gadis pastinya berangan mahu menjadi puteri kepada putera tersebut.

Erina yang sedang duduk membaca buku di bawah pohon rendang terganggu konsentrasinya kerana mendengar jeritan para pelajar perempuan sekolahnya itu. Dia mengeluh perlahan. Buku di tangan ditutupnya rapat. Hilang terus semangatnya untuk membaca.

Erina
“Apalah perempuan-perempuan ni... tak ada kerja lain ke? Tiap-tiap hari menunggu si putera tu. Tak penat ke? Aku yang dengar mereka menjerit ni pun dah terasa penat. Hmm... al-maklumlah. Semuanya dah terkena virus putera kaca.” Erina bangkit dari duduknya. Sempat lagi dia mengibas skirt paras bawah lutut berwarna merah hati miliknya  kerana takut kotor diselubungi tanah. Dia yang memakai kemeja putih berlengan pendek dan bertali leher warna merah hati sama seperti warna skirtnya hanya berketinggian lima kaki sahaja. Rambutnya yang panjang selalu ditocang dua. Cermin mata berbingkai hitam tebal sentiasa terletak elok di atas hidungnya. Penampilannya tidak ubah seperti budak skema. (Memang itupun orang gelarkannya.)

Walau bagaimanapun, Erina tak pedulikan apa yang orang lain katakan tentang dirinya. Yang penting dia jadi dirinya sendiri. Tidak menjadi hantu, jembalang, alien atau apa-apa yang sama kategori dengannya. Huhu...

Erina mengatur langkahnya untuk masuk ke kelas. Sepanjang perjalanannya ke kelas dia memekakkan telinga dari mendengar jeritan pelajar-pelajar perempuan di belakangnya. Nak tahu kenapa? Kerana putera idaman mereka itu sekelas dengan Erina. Kelas elit iaitu kelas yang rata-rata pelajarnya terdiri daripada golongan orang kaya ataupun pelajar yang sangat bijak, pandai, genius dan apa-apa yang semakna dengannya. Erina dapat masuk kelas itupun kerana dia selalu dapat nombor tiga teratas dalam keputusan peperiksaan keseluruhan sekolahnya. Erina juga dapat masuk ke sekolah itu kerana menerima tawaran biasiswa dari pihak sekolah tersebut walaupun dia hanya berasal daripada orang kebanyakan.

Erina duduk di kerusinya. Beg sandangnya diletakkan di bawah meja. Buku teks mata pelajaran Matematik Tambahan dikeluarkan kerana jadual pertama pada pagi itu adalah mata pelajaran tersebut. Di sebelahnya masih lagi kedengaran jeritan para gadis (yang kronik). Dan nak tahu cerita yang lebih panas? Sepanjang Erina bersekolah di situ selama dua tahun, putera idaman itu atau nama penuhnya, Adiputra duduk di sebelahnya. Hmm... sepanjang itulah hidupnya merana dan terseksa mendengar jeritan pelajar perempuan yang sekelas dengannya. Malah dia juga pernah hampir sesak nafas kerana mereka selalu mengerumuni mejanya untuk berdekatan dengan Adiputra.

“Semua diam. Balik ke tempat asal kamu.” Mr. Yong, guru Matematik Tambahan sudah masuk ke kelas. Guru lelaki itu berdiri di hadapan kelas elit dengan tangannya memegang helaian kertas yang setebal tiga inci.

“Saya akan edarkan keputusan ujian Matematik Tambahan kamu yang minggu lepas. Saya mulakan dengan markah tertinggi dahulu.” Mr. Yong menyemak kertas yang ada di tangannya. “Erina... kamu dapat 100.”

Erina melangkah ke hadapan mengambil kertas ujiannya. Seperti biasa, tiada langsung bunyi tepukan walaupun Erina mendapat markah yang tinggi. Memang itulah kebiasaannya kerana para pelajar di dalam kelasnya langsung tidak pedulikan tentang dirinya. Diskriminasi terhadap orang yang tidak kaya amat kuat di Sekolah Tinggi Aymour itu. Tidak kiralah betapa aktif atau bijaknya pelajar tersebut mereka tidak peduli. Apa yang mereka peduli adalah kekuasaan dan kekayaan.

Satu-persatu nama dipanggil ke hadapan untuk mengambil kertas ujian sehinggalah nama Adiputra dipanggil. Mr. Yong tidak menyebut langsung markah ujian milik Adiputra. Ketika Adiputra melangkah hendak mengambil kertas ujiannya, Erina dapat menangkap mata-mata yang banyak terkelip di sekelilingnya. Aduhai... memang sudah tahap kronik penyakit mata pelajar perempuan di dalam kelasnya! Dasyat-dasyat... Erina menggeleng kepala.

“Usaha lagi sungguh-sungguh,” ujar Mr. Yong ketika memberi kertas ujian kepada Adiputra. Adiputra hanya berdiri kaku melihat kertas ujiannya. Riak wajahnya langsung tiada reaksi seperti kebiasaannya. Tapi belum sempat dia nak melangkah ke tempat duduknya, Mr. Yong memanggil namanya kembali. Erina dapat lihat muka Adiputra berkerut ketika mendengar Mr.Yong berkata sesuatu kepadanya. Adakalanya Erina perasan seperti putera itu memandang ke arahnya. Hati Erina sudah tertanya-tanya apakah sebenarnya inti perbualan Mr.Yong dan Adiputra itu? Dia gelisah sendiri di tempat duduknya.

Kemudian Adiputra melangkah ke tempat duduknya kembali (sebelah Erina) setelah selesai bercakap dengan Mr. Yong. Putera itu sempat menjeling kepadanya sebelum duduk. Erina seperti cacing kepanasan di tempatnya. Hatinya gementar. Jiwanya meronta-ronta mahu ketahui hal sebenar tapi dia cuba menenangkan dirinya.

Pelajaran mereka pada pagi itupun bermula seperti biasa. Di akhir kelas Mr. Yong memanggil Erina ke hadapan. Guru tersebut meminta dia pergi ke pejabatnya pada waktu rehat. Erina hanya mengangguk tanpa bertanya apa-apa. Ketika dia kembali ke tempat duduknya, Adiputra masih merenungnya tajam seperti tadi. Erina gerun. Dia cuba untuk tidak bertentang mata dengan putera tersebut. Kalau dia buat juga, alamatnya... erm, faham-faham sendirilah! Hehe...

Waktu rehat pun tiba. Erina segera melangkah  ke pejabat Mr. Yong. Dia tak mahu bermain teka-teki dengan mindanya lagi. Apabila berada di hadapan pejabat Mr. Yong, dia mengetuk pintu pejabat guru tersebut lalu memulas tombol pintu setelah mendengar jawapan kebenaran dari dalam. Mr. Yong menyuruhnya duduk di kerusi yang bertentangan dengan guru itu. Mereka hanya dipisahkan dengan sebuah meja kayu yang besar.

“Awak tahu kenapa saya suruh awak jumpa saya?” tanya Mr. Yong.

Erina menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu. Mukanya juga takut-takut ketika menentang mata Mr. Yong. Mr. Yong tersenyum kecil melihat Erina resah gelisah di hadapannya. Dia faham perasaan gadis itu.

“Saya nak awak jadi private tutor untuk Adiputra. Awak ajar dia sampai dia dapat result yang bagus dalam setiap mata pelajaran. Dan ganjarannya, awak akan dapat...” Mr. Yong memetik jarinya kuat mengejutkan Erina di hadapannya hinggakan gadis itu hampir terjatuh dari kerusi. “...wang.” Habis Mr. Yong.

“Wang?” Mulut Erina terlopong. Sebagai seorang gadis dari golongan kebanyakan sememangnya wang adalah perkara utama bagi hidupnya. Siapa yang tak cintakan wang dalam Sekolah Tinggi Aymour? Semua warga sekolah itu cintakan wang termasuklah Erina juga. Huhu... (semua mata duitan!)

“Ya, wang. Awak setuju atau tidak?” tanya Mr.Yong meminta kepastian.

“Kenapa mesti saya?”

“Sebab awak saja yang layak mengajar Adiputra. Dia tak mahu orang lain yang mengajarnya. Malah guru peribadi yang ayahnya gajikan pun dia tak mahu. Saya pun tak pasti sebab sebenar dia memilih awak.” Terang Mr. Yong. Mulut Erina bertambah besar lopongnya. Malah pada waktu yang sama, hati kecilnya menari kesukaan. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang Mr. Yong beritahu. Dia menampar pipinya perlahan untuk mengetahui sama ada dia sebenarnya bermimpi ataupun tidak. Sakitnya... rungut hatinya perlahan. Betullah... bukan mimpi tapi kenyataan! Memang putera kaca tu pilih aku untuk menjadi private tutornya. Yahooo...!!! Hihi...

“Saya setuju.” Erina memutuskan jawapan akhirnya. Mr.Yong mengangguk sambil ketawa besar.

“Bagus. Kalau macam itu, awak boleh mengajarnya mulai esok di rumahnya.”

“Rumah?” Erina terpana. Kemudian dia tersenyum perlahan. Rumah dia yang macam istana tu? Wah, bertuahnya aku dapat masuk rumah tu nanti! Mesti ramai yang cemburu dengan aku ni. Hahaha... (Erina ketawa jahat dalam hati.)

“Okey. Awak boleh pergi berehat sekarang. Waktu rehat pun tinggal beberapa minit lagi. Nanti perut awak lapar pula.” Mr. Yong memecahkan ketawa jahat di dalam hati Erina. Erina kembali berwajah serius. Dia meminta diri lalu mengucapkan terima kasih.

Haa... nilah bodyguard Putera Kaca kita tu~
Tough kan badan mereka?
“Cik Erina. Sila ikut kami.” Keesokannya Erina ditegur oleh salah seorang pengawal peribadi Adiputra selepas tamat waktu persekolahan pada hari itu. Dia kemudiannya dibawa masuk ke dalam limosin putih milik Adiputra. Dia perasan ada mata-mata yang curi-curi memandangnya ketika dia melangkah masuk ke dalam limosin tersebut tetapi dia sengaja buat tidak endah. Lantaklah... semua cemburu tu! Hehe... bertuahnya aku! Erina tersengih.

“Selesa?”

“Eh, mak kau meletup!” Erina terperanjat. Dia tak perasan bahawa dia sebenarnya sudah terduduk di atas riba Adiputra. Muka lelaki itu masih tiada apa-apa reaksi. Kaku. Erina gerun.

“Err... maafkan saya! Saya tak perasan awak ada di sini. Maaf, ya? Err... saya duduk di sana.” Erina cepat-cepat beralih tempat. Dia duduk di kusyen yang berhadapan dengan Adiputra. Kepalanya ditundukkan. Tidak mahu memandang wajah Adiputra. Rasa malu sudah menebal di dalam jiwanya.

Eee... malunya! Mesti dia dengar aku melatah tadi. Cakap mak dia meletup pula tu! Harap-harap dia tak bengang dengan aku. Huhu... ibu takutnya! Tolong, ibu... Erina merintih di dalam hatinya. Kalau dia tak berfikir panjang, mungkin dia dah buka pintu limosin itu dan terus terjun keluar kerana tak sanggup menahan malu dan rasa takut tetapi dia masih lagi berfikiran waras.

Sepanjang perjalanan ke rumah Adiputra suasana di dalam limosin itu senyap sunyi sahaja. Tiada langsung perbualan yang dapat memecahkan kesunyian itu. Kalau adapun hanya bunyi perlahan dari enjin limosin itu. Adakalanya Erina curi-curi memandang Adiputra. Lelaki itu tak pernah mengubah kedudukannya yang merenung ke luar tingkap kenderaan itu sejak dari sekolah lagi. Langsung tidak memandang Erina.

Wah, kacaknya! Ujar Erina di dalam hati. Dia terasa mindanya seperti sudah dikelilingi dengan bunga-bunga cinta. Eh, gila ke aku ni? Takkan dah terkena virus putera kaca tu, kut? Bertahan, Erina... bertahan. Jangan terkena virusnya. Nanti susah nak rawat. Erina cuba menenangkan dirinya sendiri.

Tup... pintu dibuka. Adiputra melangkah keluar dahulu barulah diikuti Erina. Gadis itu terlopong mulutnya selepas keluar dari limosin itu. Tampak seperti orang jakun pula. Mana taknya... memang rumah putera itu besar seperti istana. Siap ada taman yang besar lagi. Macam taman larangan je... bisik hati Erina. Gadis itu kemudian kelam-kabut mengekori Adiputra yang telah jauh meninggalkannya di belakang. Mereka melangkah masuk ke dalam rumah agam itu.

Erina dibawa ke sebuah bilik yang dipenuhi dengan pelbagai buku yang disusun atur di dalam rak. Rasa-rasanya kalau dianggar jumlah buku-buku itu mungkin mencecah beribu-ribu buah buku! Erina kagum sendirian. Di tengah-tengah bilik itu terletak sebuah meja kayu segi empat tepat yang besar buatan Itali. Lengkap dengan segala peralatan untuk belajar. Erina disuruh duduk sementara menanti Adiputra datang. Erina baru perasan bahawa putera itu tak masuk sekali ke bilik itu dengannya.

Bila masa pula putera kaca tu menghilang? Aku tak perasan pun... monolog Erina. Gadis itu kemudiannya memerhati seluruh isi bilik itu. Rasa kagumnya masih tidak hilang. Aku rasa bilik ini lagi besar dari rumah aku. Kalau ibu aku tengok mesti pengsan terus. Erina menggelengkan kepalanya. Dia juga tersenyum apabila teringatkan ibunya yang bermulut kepoh itu.

“Ehem...” Erina terdengar bunyi deheman seseorang. Dia tersentak. Matanya dapat menangkap kelibat Adiputra yang sudah berada di hadapannya.

Hantu malaun! Bila masa dia masuk? Aku tak dengar bunyi pintu pun. Macam hantulah dia ni! Erina mengurut dadanya. Cuba menahan getaran jantungnya yang semakin laju. Nasib baik dia tak melatah seperti dalam limosin tadi. Kalau tak, sekali lagi dia mendapat malu. Huhu...

“Boleh kita mulakan Cik Erina?” Adiputra bertanya dengan penuh sopan santun. Erina terbau minyak wangi yang dipakai oleh lelaki itu. Sudah semestinya minyak wangi yang berjenama mahal!

“Err... boleh!” Erina gugup. Dengan pantas tangannya mengeluarkan beberapa helaian kertas latih tubi yang setebal empat inci dari beg sekolahnya. Kertas itu merangkumi semua soalan latih tubi setiap mata pelajaran yang dibuatnya malam tadi. Bersengkang mata dia malam tadi. Rasanya dia hanya sempat tidur satu jam saja. Tiba-tiba mulutnya menguap besar seperti anak badak air menguap. Dia menekup mulutnya pantas. Matanya menjeling ke arah Adiputra. Lelaki itu memeluk tubuhnya sendiri lalu mengangkat sebelah keningnya. Erina tersengih. Menggelabah dia membetulkan cermin matanya.

“Err... saya nak awak jawab semua soalan ni dan habiskan hari ini juga. Saya nak tengok setakat mana kemampuan awak.” Erina memulakan mukadimahnya. Kali ini matanya jelas dapat menangkap mulut Adiputra melopong. Pertama kali dia melihat Adiputra terlopong. Hatinya berdetik, ‘Comelnya dia buat macam tu!’ Erina tersengih sendiri.

“Saya kena jawab semua soalan ni? Yang tebal ni?” Adiputra meminta kepastian. Matanya terkelip tidak percaya. Erina pula tersenyum lalu mengangguk perlahan.

“Ya. Boleh tak, Tuan Putera?” Erina bersuara sinis sambil itu kakinya melangkah untuk berdiri di sebelah Adiputra. Dia meletakkan helaian kertas yang ada di tangannya ke atas meja di depan Adiputra. Lelaki itu menelan air liurnya sendiri.

“Baiklah,” jawab Adiputra pendek tanpa membantah. Tangannya mengambil sebatang pen untuk menjawab kertas-kertas soalan yang berada di depannya itu. Erina menarik nafas lega. Takut juga kalau-kalau lelaki itu mengamuk. Manalah tahu... walaupun sebenarnya dia tak pernah sekalipun melihat lelaki itu marah atau mengamuk. Diakan putera kaca... mana ada perasaan.

“Eee... susahnya soalan ni. Macam mana nak jawab ni?” Erina terdengar lelaki itu membebel perlahan di depannya. Bukan itu saja bebelannya malah banyak lagi. Ada yang dia kata, “Thomas Edison pun belum tentu boleh jawab soalan ni,” “Mr. Yong confirm surrender tak nak jawab. Angkat bendera putih terus...” dan pelbagai lagi. Erina tersenyum kecil di tempatnya. Dia cuba menahan ketawa daripada meletus. Sumpah... dia tak pernah menyangka putera itu akan membebel sedemikian. Barulah dia tahu perangai sebenar putera itu. Tetapi kenapa ya? Kenapa di hadapan dia putera itu berperangai seperti itu? Erina pelik. Ingin ditanya terasa segan pula.

“Tak tahulah nak jawab soalan ni.” Akhirnya Adiputra duduk menyandar ke kerusinya yang empuk itu. Pennya diletakkan di atas meja seperti orang putus asa. Erina tersenyum. Dia bangun menghampiri putera itu. Tangannya mencapai pen yang dipegang putera itu tadi.

Erina tekun mengajar Putera Kaca.
“Takkan dah putus asa. Sinilah. Saya tolong ajar macam mana nak jawab soalan tu.” Erina dengan tekunnya mengajar cara menjawab soalan-soalan itu satu-persatu. Adiputra pula adakalanya mengangguk faham dan apabila ada soalan yang dia kurang faham, dia akan bertanya kepada Erina. Sesekali apabila mereka bertentang mata, hati Erina terasa berdegup kencang. Risau juga dia jikalau putera kaca itu dapat mendengar getaran hatinya. Huhu...

“Mata awak macam warna coklat hazel nut.” Tiba-tiba Adiputra berkata. Erina terkedu tak membalas. Dia sendiri terpana ketika Adiputra menuturkan kata-kata tersebut. Entah apa masalah fiil lelaki itu sekarang?

Dan tanpa Erina duga, putera itu menarik cermin matanya perlahan-lahan. Erina terpaku tak bergerak. Seperti patung sahaja lagaknya. Dia sendiri tak tahu apa yang harus dia lakukan. Mukanya sudah pucat seperti ternampak hantu. Adiputra pula seperti biasa menunjukkan reaksi innocentnya. Lurus bendul sahaja dia menarik cermin mata Erina dan meletakkannya di atas meja. Matanya menatap mata Erina lama. Merenung mata Erina sepuas-puasnya seperti mencari sesuatu di sebalik mata gadis itu. Erina sudah tak keruan. Dia menundukkan wajahnya. Tidak berani bertentang mata.

“Hei, jangan tunduk. Saya nak tengok mata awak ni. Cantiklah. Saya suka tengok.” Terus-terang Adiputra memuji. Erina terasa mukanya merah kepanasan. Pertama kali ada lelaki lain yang memuji matanya cantik selain daripada ayah kandungnya. Nafasnya terasa sesak di dada. Putera kaca ni sedang menguji aku ke? Soal Erina pada dirinya sendiri.

“Err... rasanya hari dah nak malam ni. Saya tak boleh balik lambat. Nanti ibu saya marah.” Erina cuba melarikan dirinya. Nasib baik pada saat-saat kritikal seperti ini dia mendapat idea. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan terjadi kepada dirinya nanti. (Saspens... saspens...)

“Oh, okey.” Pendek sahaja jawapan putera itu. Dia kemudiannya berdiri dan mula melangkah ke pintu. Tangannya memulas tombol pintu tersebut untuk membukanya. Erina pula tergopoh-gapah memakai cermin matanya. Tangannya pantas mengemas buku-buku dan barang miliknya yang lain.

“Terima kasih,” ujar Adiputra. “Pengawal saya akan hantar awak sampai ke rumah awak. Dan esok masanya seperti hari ini juga.” Adiputra mengingatkan Erina. Gadis itu mengangguk faham.

Sesudah sampai ke rumah dengan dihantar kereta limosin, Erina mengucapkan terima kasih kepada pengawal Adiputra. Lelaki yang segak itu hanya menganggukkan kepalanya tidak membalas. Erina dengan kekoknya keluar dari kereta mewah itu. Dan matanya dapat menangkap kelibat ibunya yang terjenguk-jenguk di muka pintu rumah mereka. Erina mengeluh perlahan. Bersedialah untuk mendengar bunyi peluru... ujar Erina di dalam hatinya.

“Siapa tu, Erin? Kereta besar pula tu. Uiihh... pakwe kamu ke, Erin? Tak bagitahu ibu pun, ya? Nampak gaya macam orang kaya. Setakat mana hubungan kamu dengan dia, Erin? Eee... seronoknya kalau dapat menantu kaya macam tu! Bolehlah aku berlagak sikit dengan mak cik jiran kamu tu, Mak Esah. Biar diam sikit mulut dia tu. Asyik nak berlagak aje dengan aku. Huh...” Ibu Erina meluahkan rasa hatinya. Erina mengeluh perlahan lagi. Ibu, ibu...

“Bukan sesiapa pun, ibu. Tu cuma pengawal je. Erin penatlah, ibu. Erin masuk bilik dulu ya, ibu?” Erina melarikan dirinya. Tak tahan nak mendengar serangan si ibu yang seterusnya. Cepat-cepat dia mengucup tangan ibunya dan berlalu masuk ke biliknya. Cuba mengambil hati. Karang merajuk pula orang tua ini kalau tak dilayan!

“Eh, nanti dulu Erin. Ibu tak habis tanya lagi ni. Uihh... gosip hangat ni! Erin, Erina... esh, budak ni!” Ibu Erina memeluk tubuhnya tidak berpuas hati.

Di dalam bilik, Erina terkukik-kukik ketawa di atas katilnya. Seronok dapat melarikan diri dari ibunya yang kepoh itu. Kepalanya terletak elok beralaskan lengannya. Fikirannya mula menerawang jauh mengingati perkara yang terjadi pada lewat petang tadi.

Apa motif sebenar putera kaca itu menarik cermin matanya? Apa yang lelaki itu mahu sebenarnya? Erina tertanya-tanya. Sarang fikirannya kembali mengingati renungan dan tatapan mata putera itu. Ah, kacaknya! Erina tersengih sendiri. Adakalanya dia gelak seorang diri. Jikalau orang lain lihat, pasti menganggap diri Erina ini dah gila. Ah, pedulikan! Erina tersengih lagi seperti kerang busuk.

Apa yang pasti, esok aku akan bertemu dengannya lagi. Aku akan menjalankan tugasku sebagai private tutornya yang terbaik! Ya... private tutor yang terbaik! Erina menggenggam kedua tangannya bersungguh-sungguh. Bersemangat betul dirinya ketika itu.

Dan... aku juga akan dapat melihat wajahnya yang kacak itu! Senyumannya, ketawanya, suaranya... ah, Putra! Alamak... jangan cakap aku pun dah terkena virus putera kaca tu macam budak-budak perempuan yang lain? Uh-oh...habislah! Somebody... please help me! Erina menutup mukanya dengan bantal tidur miliknya...


P/S : Arghhh... suka sangat karang cerita ni! Hehe... well saya tahu cerita ini ada unsur ala-ala korea sikit. (mata berkelip banyak kali..hihi). Cerita ini memang tamat begitu saja. Akhirnya si heroin terkena juga virus putera kaca itu. Hah, tulah penamatnya! Opss, jangan marah tau... tapi jangan risau. Saya pasti akan cuba untuk membuat cerita-cerita seperti ini pada masa akan datang nanti. FIGHTING! (>.<)

8 comments:

  1. hehehhehe... akhirnya heroin y x ambik tau apa2 sal hero..nak jugak tatap wajah hero :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yup..akhirnya dia juga terkena virus si putera kaca tu. Hee.. :D

      Delete
  2. Haha senyum sorang2 lepas habis baca :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...terima kasih kerana membaca cerpen ni Lystra Lily.

      (sengih sorang-sorang baca komen ni)

      Delete
  3. cerita nya cukup asik dan menarik sekali :D Salam persahabatan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. :)
      Salam persahabatan juga.

      Delete
  4. wah... best cte nih... hensem hero tu.. hehehe.. sy pun trkena virus dia.. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aik? Ada lagi yang terkena virus si putera kaca ni? Hehe... terima kasih kerana sudi baca cerpen ini. Hemohemohemo~~ :3

      Delete