Nuffnang Ads

Friday 24 February 2012

Cerpen: Perginya Luna



“Hei, Nick... nak pergi mana tu?” Zafran menepuk bahuku ketika aku mahu bergerak keluar dari kelas. Loceng tamat waktu persekolahan baru sahaja berbunyi beberapa saat yang lalu. Aku terpaksa berhenti di tepi koridor supaya Zafran dapat bercakap denganku. Pelajar-pelajar yang lain pula lalu-lalang di sebelah kami.
                                                                          
“Pustaka Awam.” Pendek sahaja jawapanku sambil itu aku membetulkan cermin mata berbingkai hitam milikku. Zafran tersenyum ketika mendengar jawapanku.

“Oh, tempat biasalah ya? Ingatkan nak ajak kau pergi Sunway Piramid. Kita lepak di sana ramai-ramai. Jomlah, Nick. Kau dah lama tak lepak dengan kami. Ji Hoo, Ganesh, Ejam dan lain-lain semua suruh aku ajak kau sekali tapi mereka dah gerak dulu ke sana.” Zafran cuba memujuk aku. Aku mengeluh perlahan.

“Aku tak boleh pergi. Nak pulangkan buku sains fiksyen yang aku pinjam ni.” Aku menunjukkan buku yang aku pegang kepada Zafran. Dia mengangguk perlahan. Mungkin sudah faham dengan maksudku.

“Hem... tak apalah kalau begitu. Okeylah, Nick... aku pergi dulu. Jumpa esok.” Zafran terus berlalu selepas menepuk bahuku perlahan. Dia juga sempat menghadiahkan senyumannya yang mampu mencairkan ramai hati gadis-gadis di sekolah ini. Aku membalas senyumannya tetapi kurasa bibirku seperti mengukir senyuman sumbing sahaja. Sekali lagi aku mengeluh perlahan. Kemudian aku mengatur langkah keluar dari kawasan sekolah dan menuju ke Pustaka Awam yang berdekatan dengan sekolahku.

Aku memulangkan buku di kaunter perpustakaan tersebut. Selesai sahaja urusan aku bergerak ke tempat biasa yang selalu aku duduk. Tempat ini agak tersorok dan hanya mempunyai dua buah meja yang dijarakkan. Malah kedua-dua meja tersebut dihadapkan ke muka tingkap. Aku suka duduk di situ kerana sambil membaca buku aku juga boleh memerhatikan suasana di luar tingkap. Aku meletakkan beg aku di atas meja kemudian berlalu ke rak buku untuk mencari buku yang aku mahu baca. Rak buku sains fiksyen menjadi pilihanku.

Ketika mencari buku yang disusun atur di rak, aku terpandang sepasang mata yang berwarna hijau cair di celahan ratusan buku di hadapanku. Aku terpaku lama ketika mata itu bertentangan dengan mataku. Malah bukan itu sahaja, senyuman yang diukir oleh pemilik mata tersebut juga membuatkan aku nanar seketika. Rambut yang berwarna hitam dan panjang mengurai nampak berkilauan di mataku. Tak semena-mena aku terasa seperti bertemu dengan bidadari yang turun dari kayangan pula. Tak pernah sekalipun aku membayangkan perkara seperti ini tetapi entah kenapa kali ini bayangan sedemikian bermain-main di fikiranku.

Aku terdengar ketawa kecil di sebalik rak di hadapanku. Hatiku kuat mengatakan bahawa pemilik mata berwarna hijau cair itulah yang ketawa kecil. Ketika aku menoleh untuk mencari wajah pemilik mata tersebut, kulihat dia sudah berlalu pergi dari rak di sebelah sana. Aku mengeluh. Tak mungkin aku akan mengejar gadis tersebut. Aku bukan jenis lelaki yang peramah malah rakan perempuan yang sekelas denganku pun tidak pernah aku tegur. Jika mereka tidak menegur aku dahulu, jangan haraplah aku nak bercakap dengan mereka. Sedangkan ibu dan adik-beradik perempuanku yang lain pun jarang sekali aku berbual dengan mereka.

Nick
Aku mengambil beberapa buah buku sains fiksyen yang menjadi pilihanku. Fikiranku masih lagi tidak henti-henti memikirkan gadis yang baru kutemu tadi. Adakah aku sudah jatuh cinta pandang pertama? Tak mungkin perkara itu berlaku. Nak bercakap dengan kaum hawa pun aku tidak mahu apatah lagi mahu bercinta dengan seorang gadis yang cantik seperti tadi. Walaupun ramai yang mengatakan wajahku kacak tetapi aku masih terasa rendah diri kerana tiada keyakinan diri. Aku menghela nafas panjang. ‘Jangan beranganlah, Nick...’ aku berkata pada diriku sendiri.

Aku berjalan kembali ke tempat dudukku semula. Tiba-tiba jantung aku berdegup pantas kerana terpandangkan gadis yang kutemu tadi sudah mengisi tempat yang selama ini kosong di sebelah tempatku. Tak pernah lagi ada orang lain yang duduk di situ selama aku membaca buku di perpustakaan ini. Aku mengandaikan mungkin gadis ini baru pertama kali datang ke perpustakaan ini.

Aku menarik kerusi untuk duduk tetapi insiden yang terjadi selepas itu memang pengalaman yang amat memalukan bagiku. Ketika aku hendak duduk di kerusi, entah bagaimana tiba-tiba sahaja kerusi yang aku mahu duduki patah kakinya. Hanya tinggal tiga kaki sahaja. Aku pula jatuh terduduk di atas lantai. Kurasa mukaku sudah merah kepanasan menahan malu. Gadis bermata hijau cair yang berada di sebelahku terkejut mendengar bunyi jatuhku yang seperti buah nangka busuk jatuh ke tanah. Pada mulanya gadis itu teragak-agak sama ada hendak membantuku ataupun tidak. Tetapi kemudiannya dia memutuskan untuk membantuku. Tangannya menarik tanganku untuk berdiri.

‘Lembutnya...’ Aku tak tahu kenapa aku berfikiran sedemikian. Tetapi memang benar. Tangannya begitu lembut seperti memegang tangan bayi sahaja. Dan senyumannya....ya, senyumannya! Sungguh cantik... kurasa tak dapat diungkap dengan bahasa puitis pun.

“Awak, okey?” Gadis itu bertanya kepadaku. Aku kembali ke alam nyata semula.

“Err... ya. Saya okey. Terima kasih.” Aku melarikan mataku dari menjengah matanya yang memang sejak dari mula pertemuan kami lagi menjadi tarikan utama pada diriku.

“Auch...” Aku mengaduh tanpa aku sedari. Kulihat tanganku sudah terluka.

“Kenapa?” Gadis itu berkerut mukanya ketika bertanya. “Tangan awak luka.” Tindakan drastiknya memegang tapak tanganku yang luka memeranjatkan aku. Aku terkedu seketika.

“Duduk sini.” Gadis itu mendudukkan aku di atas kerusi yang didudukinya sebentar tadi. Kemudian dia mencari sesuatu di dalam beg sandangnya. Ketika dia sedang tercari-cari itu aku sempat memerhatikan dirinya secara senyap. Baru aku perasan yang dia memakai pakaian sekolah tetapi pakaian sekolah antarabangsa. Mungkin dia bukan warganegara ini. Walau bagaimanapun aku kagum dengan pertuturannya yang lancar berbahasa Melayu itu.

“Okey, dah jumpa.” Dia mengeluarkan plaster dari beg sandangnya. “Sini, saya tolong plasterkan untuk awak.” Dia memegang tanganku kembali. Dengan berhati-hati dia membalut plaster miliknya ke tapak tanganku yang luka. Sepanjang dia membantuku itu, aku curi-curi memandang wajahnya. Masih seperti yang pertama kali kulihat. Cantik seperti bidadari. Setelah dia selesai, aku terus merenung ke lantai. Takut dia perasan bahawa aku sedang memerhatikan dirinya. Nanti apalah pula yang difikirkannya nanti.

“Okey, dah siap. Macam mana? Sakit lagi tak?” Dia bertanya kepadaku. Matanya merenung wajahku. Aku tiba-tiba berasa gemuruh pula.

“Err... tidak. Tak sakit dah. Terima kasih,” ujarku perlahan. Mataku masih merenung ke lantai. Tidak berani bertentangan mata dengannya.

“Baguslah kalau macam itu.” Aku dapat melihat senyuman kecilnya ketika aku cuba menoleh melihat wajahnya yang berada di hadapanku. Kemudiannya dia bergerak mengemas beg sandangnya seperti mahu beredar dari situ. Aku duduk memerhati. Hatiku pula was-was sama ada mahu bertanya namanya ataupun tidak. Ketika dia berjalan mahu beredar, mulutku dengan pantasnya bertanya tanpa otakku membuat keputusannya lagi.

“Nama awak siapa?”

Gadis itu terhenti perjalanannya lalu tersenyum manis sebelum menjawab pertanyaanku. “Luna Bella.”

“Luna Bella...” Aku mengulang menyebut namanya perlahan. “Err... saya Nick. N.I.C.K. Nick...” Aku mengeja namaku. Gadis yang bernama Luna Bella itu menekup mulutnya. Aku terdengar dia ketawa kecil. Aku pula menggaru kepala yang tidak gatal. Cuba menahan malu dengan percakapan drastikku tadi.

“Selamat berkenalan, Nick. Semoga jumpa lagi.” Dia berkata sebelum meninggalkan aku. Tangannya juga melambai padaku. Senyumannya masih tidak lekang dari bibirnya yang merah mungil itu. Aku membalas lambaiannya teragak-agak. Kemudian aku terduduk di kerusi yang diduduki oleh Luna tadi. Aku mendagu sambil tanganku diletakkan di atas meja. Mataku merenung ke luar tingkap.

“Luna Bella...” Aku menyebut namanya sekali lagi. “Semoga jumpa lagi...” Aku menghela nafas perlahan-lahan, berat.

Keesokannya aku datang ke Pustaka Awam lagi. Berharap dapat bertemu dengan Luna Bella lagi. Ketika aku mendekati meja yang kebiasaannya aku duduk, aku terpandang susuk tubuh seseorang di sebelah meja itu. Luna Bella... aku menyebut nama itu di dalam hati. Hatiku sudah berbunga riang dapat bertemu dengannya lagi. Perlahan-lahan aku menarik kerusi yang sudah berganti baru lalu duduk di sebelahnya.

Luna Bella
“Hai, Nick...” Dia menegurku dahulu. Aku tersenyum.

“Hai..,” balasku pula. “Dah lama di sini?” soalku.

“Taklah. Baru sampai selepas itu terus duduk baca di sini.” Terangnya padaku. Aku terangguk mendengar terangannya.

“Awak baca buku apa tu?” soalku lagi. Cuba untuk berbual dengannya. Kalau mamaku lihat aku sedang berbual dengan gadis ini pasti dia akan terkejut. Aku ni kan pemalu?

“Saya baca sajak. Bahasa Melayu. Saya minat dengan sajak Bahasa Melayu ini. Pengarangnya tidaklah terkenal sangat. Masih muda lagi. Namanya Nira Karmila. Tetapi kebanyakan sajaknya semua indah dan berpuitis. Saya sukakannya.” Bibirnya sentiasa mengukir senyuman sepanjang dia berkata-kata. Aku juga ikut tersenyum melihat dia senyum sebegitu manis rupanya.

“Cuba awak bacakan. Saya mahu dengar.”

“Tak naklah. Saya bukannya pandai bersajak pun. Malulah.” Dia menolak.

“Tak apalah. Awak baca macam biasa sahaja. Saya pun nak hayati sajak pengarang muda tersebut sepertimana awak menghayati sajak-sajaknya,” pujukku dengan diplomasi. Dia mengangguk perlahan. Mungkin bersetuju dengan permintaanku. Dia menghela nafasnya sebelum membaca sajak yang berada di dalam buku di tangannya. Dia membaca sajak itu dengan penuh perasaan. Sepanjang waktu itu, aku tidak henti-henti merenung matanya yang berwarna hijau cair itu.


Menatap matanya
Hati terus terpaut
Degupan pantas tidak henti, kencang
Menatap bayangnya
Hati ikut berlalu
Terikat menjadi refleksi bayangnya

Ingin sekali diri ini
Menatap wajahnya lama
Sayang... sekadar khayalan

Dari kejauhan
Senyuman indah diukirnya
Akan disimpan dalam
Hati dan memori
Tidak akan dibuangi


Begitu jugalah apa yang saya rasa sekarang ini, Luna... ucapku di dalam hati. Indahnya suaramu, bidadariku. Aku masih lagi merenung wajahnya. Hmm... aku dah tahap kronik ni. Aku terfikir sendiri. Kemudian aku tersengih tanpa aku sedari.

“Bagaimana, bagus tak sajak ini?” soalnya meminta pandanganku.

“Bagus. Saya pun sukakannya.” Lagi bagus apabila awak yang bacakannya... sambungku di dalam hati.

Kemudian kami pun berborak lama. Ada juga kami bincangkan maksud sajak yang Luna bacakan tadi. Kami juga berbual mengenai keluarganya dan juga keluargaku. Hal di sekolah masing-masing malah isu-isu semasa juga. Luna Bella rupa-rupanya berasal dari Sepanyol. Keluarganya sudah bermastautin lima tahun di Malaysia ini. Daddynya bekerja kontrak selama 10 tahun di sebuah syarikat antarabangsa. Daddynya tidak mahu berpisah dengan keluarganya. Sebab itulah mereka sekeluarga terpaksa mengikut Daddy tinggal di Malaysia ini. Mummy Luna hanyalah suri rumah. Luna mempunyai seorang abang. Abangnya tua lima tahun darinya dan bernama Leonardo. Itulah hal mengenai Luna yang aku ketahui serba-sedikit darinya. Dan hari-hari kemudiannya kami selalu bertemu di perpustakaan ini selepas tamat waktu persekolahan ataupun ketika cuti hujung minggu. Kami semakin lama semakin rapat. Dan mungkin juga ada perasaan yang berbunga-bunga tumbuh mekar di hati kami ini.

Tibalah suatu hari ketika aku mahu ke perpustakaan seperti biasa, Zafran telah menahan memanggilku. Sebelum itu aku berbual dengan seorang gadis yang juga rakan sekelasku. Dia meminta tolong kepadaku untuk memulangkan buku yang dipinjamnya dari Pustaka Awam. Aku bersetuju. Aku perasan Zafran dan Ejam berdiri di sebelahku ketika aku berbual dengan gadis tersebut. Aku bertanya apa yang mereka mahu dariku.

“Kau sudah makin berubah, Nick. Dah berani bercakap dengan perempuan. Ada apa-apa ke ni? Kau dah ada kekasih, ya?” Ejam menyiku lenganku. Bibirnya tersengih. Cuba mengorek rahsia dariku mungkin. Aku tertawa kecil.

“Adalah.” Pendek sahaja jawapanku. “Erm... aku ada hal ni. Nak pergi Pustaka Awam. Jumpa kamu semua esok, ya? Bye...” Aku cepat-cepat beredar dari situ. Sebenarnya mahu lari daripada pertanyaan yang bakal menjadi seperti serangan peluru itu. Aku kenal sangat dengan teman-temanku itu. Dari jauh aku dapat mendengar Zafran dan Ejam memanggil namaku. Mungkin tidak berpuas hati denganku. Aku tersenyum sendiri. Kemudiannya aku berlari untuk cepat sampai ke Pustaka Awam. Mahu cepat bertemu dengan Luna.

Aku memulangkan buku yang disuruh oleh rakan sekelasku tadi. Selepas itu aku berlalu ke tempat biasa. Aku lihat Luna masih tiada lagi di situ. Aku duduk membaca sementara menunggu Luna datang. Kadangkala fikiranku melayang memikirkan tentang dirinya. Setelah hampir satu jam setengah menunggu, kelibat Luna masih lagi tidak kelihatan. Aku sudah bertambah risau. Hendak menghubungi Luna, dia tidak mempunyai telefon bimbit. Jikalau aku menghubungi telefon rumahnya, aku terasa segan pula dengan mummynya. Aku gelisah sendirian. Akhirnya aku beredar dari Pustaka Awam itu apabila senja menjelang.

Keesokan harinya dan juga hari-hari yang seterusnya aku masih tidak bertemu dengan Luna. Sehinggalah dua minggu berlalu, aku masih lagi tidak bertemu dengannya. Zafran dan Ejam mengatakan muka aku sudah seperti mayat hidup. Tak bermaya dan jarang tersenyum. Lebih teruk daripada perangaiku yang dahulu. Aku tahu mereka risau dengan perubahanku yang mendadak ini. Tetapi aku tidak mampu menahan perasaan rinduku pada Luna ini. Sudah lama aku tidak bertemu dengannya. Aku juga tertanya-tanya sama ada Luna pun rasa seperti apa yang aku rasai...

“Nick...” Aku terdengar suara seseorang yang amat aku rindui. Ketika itu aku berada di perpustakaan. Merenung ke tingkap mengingati dirinya. Aku menoleh ke belakang. Pada mulanya aku fikir aku hanya berkhayal. Yalah... memang aku sedang berkhayalkan tentang dirinya. Tetapi aku tak sangka dia memang betul-betul berada di hadapanku sekarang.

“Luna...” Aku terpaku melihat perubahan dirinya yang sungguh ketara. Mukanya pucat seperti tiada darah merah langsung melalui mukanya yang dahulu putih kemerahan. Dia juga kelihatan lebih kurus dari Luna yang aku kenal dahulu. Rambutnya yang panjang mengurai dahulu kini sudah dipotong pendek hingga ke paras bahu. Dia berpakaian biasa pada hari itu. Pelik juga aku. Dia tidak bersekolah ke hari ini?

“Hai..,” ujarku perlahan.

“Hai...” Dia pula menjawab gugup. Mata kami tidak lepas memandang antara satu sama lain. Mungkin rasa rindu juga membuak-buak di dalam dada kami.

Setelah lama berdiam diri Luna pun berkata, memecahkan kesunyian di antara kami. “Saya datang ni nak cakap sesuatu dengan awak.” Dia terdiam sebentar sebelum menyambung kembali percakapannya. Aku hanya diam mendengar luahannya yang seterusnya. “Saya minta kita jangan jumpa lagi selepas ini.”

Aku terkejut. “Kenapa? Kenapa kita tak boleh jumpa?” Bergetar suaraku ketika meluahkan soalan itu.

“Saya tak nak jumpa awak. Saya... saya akan balik ke Sepanyol semula.” Dia menjawab pantas. Wajahnya gelisah. Matanya meliar langsung tidak memandangku. Aku menggeleng tidak percaya.

“Awak bohong. Saya tahu awak bohong. Ini mesti ada sebab lain. Ke mana awak selama ini? Saya tunggu awak di sini tapi awak tak datang-datang pun. Lebih baik awak cakap perkara yang sebenarnya.” Suaraku sudah semakin meninggi. Aku perasan ada mata-mata lain yang memandang ke arah kami. Tetapi aku buat tidak peduli sahaja. Apa yang penting bagiku waktu ini, aku mahu jawapan sebenar dari mulut gadis di hadapanku ini.

Luna terdiam lama. Aku lihat ada sebutir air jernih jatuh ke pipinya. Dia menangis ke? Aku serba salah. Aku tidak berniat mahu meninggikan suara padanya. Aku cuba menghampirinya untuk menyapu air mata yang jatuh ke pipinya itu tetapi dia menolak tanganku sebelum sempat menyentuh pipinya.

Luna menangis.
“Jangan sentuh saya.” Keluar suaranya yang sudah mulai serak. Air matanya semakin laju menuruni pipinya.

“Luna..,” ucapku perlahan.

“Saya sakit, Nick. Sakit yang kronik dan sudah terlambat untuk dirawat. Saya ada leukemia, awak tahu tak? Saya tak boleh hidup lama lagi. Itu yang awak nak dengar dari saya, kan?” Dia pula meninggikan suaranya padaku. Aku terpaku. Semua orang sudah memandang ke arah kami. Suara berbisik mendengung-dengung di telingaku. Aku tidak dapat berkata apa-apa. Luna sudah menangis terjelepok ke lantai. Teresak-esak.

“Luna...” Aku berlutut di hadapannya. Menyentuh bahunya untuk cuba menenangkan dirinya. “Saya tak tahu. Saya tak tahu pun semua tu.”

“Sebab itulah saya tak nak jumpa awak. Saya tak nak awak merana sebab saya. Awak pergilah. Tinggalkan saya sendirian. Kita jangan jumpa lagi selepas ini.” Dia tersedu-sedu ketika meluahkan kata-katanya.

“Tak. Saya tak mahu. Saya akan sentiasa temani awak selepas ini. Saya takkan tinggalkan awak, Luna. Walau apapun yang terjadi. Saya akan temani awak hingga ke nafas awak yang terakhir. Sebab... saya mencintai awak.” Aku terasa ada air mata mengalir di pipiku. Buat pertama kalinya aku menangis kerana seorang perempuan yang bukan ahli keluargaku. Tetapi seorang perempuan yang aku pasti hatiku ini telah menjadi miliknya. Pada hari itu kami ditemani dengan air mata dan aku takkan melupakan hari aku meluahkan perasaan cinta kepada orang yang aku cintai. Luna Bella...

Hari-hari yang mendatang aku penuhi dengan menemani Luna di hospital. Keluarganya sudah mengenali aku dengan lebih rapat. Keluargaku pun begitu. Walaupun pada mulanya keluargaku tidak bersetuju, tetapi akhirnya hati mereka cair dengan pujukanku. Mereka tabah menerima keputusanku yang mahu menjaga Luna di hospital. Cuma mereka mahu aku tidak melupakan pelajaran sahaja.

Keajaiban berlaku. Ramalan doktor yang mengatakan Luna hanya boleh hidup tiga bulan sahaja sama sekali tidak tepat. Luna dapat hidup dua bulan lebih dari ramalan doktor tersebut. Walaupun dia nampak seperti sudah sihat tetapi mukanya masih lagi kelihatan pucat.

“Nick...” Luna memanggilku pada suatu awal pagi. Waktu itu jam menunjukkan pukul 4.00 pagi. Aku menjaganya seorang diri kerana aku menyuruh keluarganya berehat di rumah sahaja dahulu. Lagipun cuti sekolah telah bermula. Masaku banyak terluang.

“Ya...” Suaraku serak menjawab. Aku tidak sedar bahawa aku rupa-rupanya tertidur ketika menjaganya. Mulutku yang menguap kututup dengan tapak tangan kananku.

“Nick...” Sekali lagi Luna memanggil namaku. Tangan kanannya cuba mencari tanganku yang berada di sebelah katilnya. Aku tanpa berlengah terus mencapai tangannya. Aku sedikit terpana apabila merasakan tangannya dingin seperti ais. Rasa panik mula menguasaiku.

“Luna... tangan awak sejuk. Awak tak apa-apa ke? Saya panggilkan nurse, ya?”

“Tak... tak payah, Nick. Saya... saya tak apa-apa.” Berat mulutnya ketika bertutur waktu itu. Aku perasan bahawa nafasnya juga semakin lemah.

“Saya cuma nak cakap yang... awak mesti cari perempuan yang lebih baik dari saya selepas saya pergi nanti. Dan...”

“Apa yang awak merepek ni? Awak takkan pergi ke mana-mana selagi saya ada di sisi awak. Awak faham tak? Awak takkan ke mana-mana.” Aku menggenggam tangannya erat. Tidak mahu melepaskannya walau sedetik pun.

“Nick... dengar sini.” Lembut suaranya kedengaran di telingaku. “Saya rasa dah sampai masanya untuk saya pergi meninggalkan semua di dunia ini. Saya nak awak jaga diri baik-baik. Pandang ke hadapan dan jangan biarkan semua memori kita bersama sentiasa menghantui awak hinggakan awak menjadi lemah untuk meneruskan hidup awak. Saya nak awak kahwin. Dapatkan anak yang ramai dan... cucu pun ramai.” Dia tersenyum lemah. Kelopak matanya kulihat seperti susah untuk dibuka. Aku hanya terpaku melihat wajahnya yang sememangnya pucat walau bagaimanapun masih lagi tetap kelihatan cantik. Aku tidak menyanggah percakapannya.

“Kalau boleh saya nak awak namakan anak perempuan awak sempena nama saya. Luna, Bella... ataupun kedua-duanya sekali.” Dia tersenyum lagi. “Nick... awak cakap dengan keluarga saya bahawa saya sayangkan mereka sangat-sangat. Terutamanya Leo... saya minta maaf sebab tak dapat tengok dia berkahwin nanti. Dan Nick... saya juga cintakan awak walaupun saya akan berada di dunia lain nanti, saya akan tetap mencintai awak. Selama-lamanya...” Nafasnya sudah mulai sesak. Aku menyuruhnya senyap supaya tidak menambahkan penderitaannya lagi tetapi dia tetap berdegil.

“Saya cintakan awak, Nick...” Sebutir air mata jernih mengalir ke pipinya. Sungguh tulus percakapannya ketika itu. Aku juga tidak dapat menahan air mata yang semakin membanjiri pipiku sejak dari mula dia berkata tadi.

Nick memegang tangan Luna buat kali terakhir.
Dan itulah kata-kata terakhir yang aku dengari darinya. Perginya Luna... dengan senyuman terakhir di bibirnya. Perginya Luna... dengan kelopak matanya tertutup rapat dan wajahnya yang tenang. Perginya Luna... dengan tangannya yang sejuk menggenggam erat tanganku. Perginya Luna... membawa separuh nyawaku bersamanya. Aku pasti aku tidak akan melupakannya. Cinta hatiku yang pertama. Luna Bella...



P/S : Sedih tak? Saya buat cerita ini disebabkan hobi saya yang suka membaca ni. Saja je nak buat cerpen yang ada kena-mengena dengan library. (Best tau pergi library! Bila tengok buku banyak2 je mata sudah rambang. Hehe...) Hope semua orang akan menanam minat membaca dalam diri masing2. Baca jangan tak baca tau! >.<

MV untuk cerpen ini ada di bawah. Walaupun lagu ni tak ada kena mengena sangat tapi lagu ini tetap sedih dan menyentuh perasaan. Tajuk lagu ini Terrible Things by Mayday Parade. 


2 comments:

  1. Replies
    1. sedih kan? kak ira suka citer2 sedih ni...
      huhu..sekali-sekala bolehlah..
      tak boleh selalu..
      bengkak mata nanti..
      huahua.. ;P

      Delete