Nuffnang Ads

Sunday 26 February 2012

Cerpen: Biola Dan Sonata Camelia



Dari kejauhan Camelia dapat dengar bunyi gesekan biola. Bunyi itu datangnya dari dalam dewan auditorium. Pintu dewan itu tertutup rapat. Tapi pendengaran Camelia memang tajam. Itulah satu-satunya kelebihan yang dia ada. Dia cepat menangkap sesuatu bunyi dan hanya mendengar dengan sekali sahaja dia boleh ingat bunyi itu sampai bila-bila. Cuma satu sahaja. Dia tidak pandai dalam pelajaran dan semua perkara yang lain. Dia juga tidak aktif bersukan. Badannya sangat kurus. Bak kata mamanya, kurus macam awek Popeye iaitu Olive. Sebab itulah dia masuk ke kolej muzik ini. Itu sahajalah kelebihan yang dia ada. Bermain alat muzik terutama sekali piano. Lagipun mamanya memang pemain piano yang terkenal. Disebabkan itulah ramai orang yang memerhatikan dirinya ketika dia mula-mula masuk ke kolej itu. Yalah, siapa yang tidak kenal Crystal (mamanya) pemain piano yang pernah menjuarai pertandingan peringkat antarabangsa berkali-kali? Kalau tidak kenal bermakna bukan peminat muzik orkestralah namanya.

Camelia
Alunan muzik yang dimainkan daripada gesekan biola itu seperti pernah didengari oleh Camelia tetapi dia tidak pasti pula bila dia pernah mendengarnya. Yang pasti dia hanya ingat melodinya sahaja. Tanpa sedar Camelia sudah membuka pintu dewan auditorium itu perlahan-lahan. Dia seperti terpukau. Tangannya bertindak lebih pantas dari akalnya. Walhal dia sebenarnya tidak mahu masuk ke dalam dewan itu pun.

Mata Camelia dapat menangkap susuk tubuh seseorang di atas pentas dewan auditorium. Seorang lelaki. Tinggi lampai dan berkulit putih melepak. Rambutnya pula berwarna perang dan pendek tetapi agak berserabut seperti tidak pernah disikat. Dia memegang sebuah biola. Tangan kirinya memegang bow dan menggesek biola yang diletakkan di atas bahu kanannya. Camelia sedar yang lelaki itu kidal kerana selalunya orang bukan kidal akan memegang bow dengan tangan kanan mereka.

Lelaki itu menggesek biola dengan penuh perasaan. Tidak sedar akan keadaan di sekelilingnya. Camelia yang cuba mendekatinya juga dia tidak sedar. Dia seperti berada di dalam dunianya sendiri. Hanya dia dan biola. Tiada benda lain.

Farish Ilham
Hmm... kacak juga mamat ni. Monolog Camelia dalam hatinya. Dia tersenyum sendiri. Kalau jadi pakwe aku ni, best ni! Hehehe... Camelia tersengih pula. Dalam tersengih itulah kakinya tersadung. Dia tidak sedar ada kerusi di depannya. Suasana sangat gelap di dalam dewan itu kecuali spotlight yang menghala ke pentas dewan sahaja yang hidup. Camelia jatuh seperti nangka busuk. Dia mendesis perlahan. Lelaki yang berada di atas pentas terganggu seketika penghayatannya. Dia berhenti menggesek biola. Camelia cepat-cepat menyorok apabila telinganya sudah tidak dapat menangkap lagi bunyi gesekan biola. Dia sedar lelaki itu sedang mencari siapa penceroboh yang telah masuk ke dalam dewan auditorium itu dan curi-curi melihat dia menggesek biola. Camelia menekup mulutnya. Nafasnya yang laju cuba diperlahankan.

“Siapa tu?” ujar lelaki itu kuat. Suaranya serak-serak basah. Kalau nyanyi mesti sedap. Sempat lagi Camelia memuji di dalam hatinya.

“Siapa tu? Kalau tak jawab, saya panggil security,” ugut lelaki itu. Camelia hanya mendiamkan diri. Mati balik hidup dia takkan menjawab panggilan lelaki itu. Nak cari nahas? Nanti buat malu mama je kalau mama tahu. Camelia tetap tidak berganjak dari tempatnya.

Kerana tiada sahutan lelaki itupun beredar. Mungkin mahu panggil pengawal agaknya. Camelia cuak. Dia ketakutan.

Tak boleh jadi ni. Kena cepat-cepat keluar ni. Fikir Camelia. Dia bergerak pantas beredar dari dewan auditorium selepas dia pasti lelaki itu sudah tiada lagi di situ. Keluar sahaja Camelia menarik nafas lega. Dia sudah berada di kaki lima bangunan jurusan muzik klasik. Jauh daripada dewan auditorium. Matanya meliar. Manalah tahu kalau-kalau lelaki itu berada di situ. Camelia paranoid.

“Hoi, apa kau buat di sini,  hah?” Seseorang menepuk bahu Camelia. Camelia menjerit nyaring. Semua orang yang ada di situ terkejut. Mereka menganggap ada sesuatu yang buruk sedang berlaku. Orang mulai berkerumun di sekeliling Camelia. Gadis itu masih lagi menjerit. Matanya tertutup rapat. Kedua tangannya pula menekup telinga. Dia duduk mencangkung.

“Hei, Camelia! Kenapa ni? Ni akulah... Alin. Hei, bangunlah! Berhenti jerit.” Kawannya Alin cuba menenangkan dirinya.

Camelia membuka sebelah matanya sedikit. Mahu lihat siapa yang menyergahnya tadi. Lega hatinya apabila dia nampak wajah Alin yang comel di hadapannya. Camelia tersengih. Alin pula menggeleng. Semua orang yang ada di situ pun mengikut perlakuan Alin. Menggeleng kepala.

***

“Kau kenapa jerit-jerit tadi? Dahlah nyaring tahu tak? Rasa nak tercabut telinga aku ni dengar kau jerit macam pontianak tadi.” Alin membebel di hadapan Camelia. Wajah comelnya berkerut-kerut. Nampak seperti marah benar. Mereka kini berada di kafeteria. Mengisi perut untuk makan tengah hari. Camelia buat tidak peduli dengan pertanyaan rakannya itu. Perutnya yang melagukan keroncong tadi minta diisi makanan dengan segera. Camelia menyuap nasi ayam ke dalam mulutnya. Dia mengunyah laju.

Alin
“Eee... aku tanya dia buat tak tahu pula! Kau kenapa jerit tadi?” Alin menepuk bahu Camelia kuat. Geram. Tersedak gadis yang sedang makan itu. Cepat-cepat dia mengambil gelas berisi air sirap yang diletakkan di sebelah pinggan nasi ayamnya. Dia meneguk perlahan. Takut tersedak lagi.

“Hah... padan muka. Makan dahlah gelojoh. Lepas tu, orang tanya tak nak jawab.” Alin membebel lagi. Camelia mengeluh. Dia sebenarnya malas mahu melayan pertanyaan Alin. Kalau dijawab nanti dia sendiri yang susah. Betul tak? (Sila angguk kalau betul.)

“Ni mesti ada buat salah besar ni. Sebab itulah jerit bagai nak rak tadi.” Alin menyerkap jarang. Dia membuat spekulasi sendiri. Walhal dia tidak sedar spekulasinya itu hampir tepat mengenai sasarannya.

“Tak adalah. Mana ada.” Camelia menggeleng laju. Dia membuat muka tidak bersalah. Alin merenungnya curiga. Dia kenal benar dengan Camelia. Mereka telah berkawan sejak kecil lagi. Sejak sekolah tadika lagi. Sama-sama belajar bermain piano. Sama-sama mengoyak kertas not muzik guru mereka... hehe, nakalnya mereka pada waktu itu.

Okay, fine kalau kau tak nak bagitahu. Aku tak kisah. Tapi lepas ni jangan harap aku nak tolong kau,” ugut Alin.

Camelia mengeluh perlahan. Dia tak tahu nak cakap apa pada Alin. Tetapi akhirnya dia beritahu kepada Alin juga. Alin melopong mendengar ceritanya. Adakala muka comelnya berkerut-kerut. Serius betul dia mendengar cerita Camelia.

“Jadi maknanya kau dapat lihat Farish Ilham menggesek biola?” tanya Alin. Camelia pelik.

“Siapa Farish Ilham?” Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan kembali.

“Kau tak kenal Farish Ilham? OMG... kau ni teruk betullah! Semua orang di sini kenal dia tahu tak? Dia itulah anak Johari Kassim. Penggesek biola yang terkenal seantero dunia. Ayah dia pernah buat konsert secara besar-besaran lagi. Menjelajah satu dunia kau tahu tak? Eropah itu ibarat rumah kedua dia. Mana dia tak pernah pergi? Paris, Greece, Itali... semua dia pernah pergi. Siap tinggal kat luar negara lagi. Ni baru balik Malaysialah ni. Nak menetap sini terus agaknya.” Cerita Alin bersungguh-sungguh siap dengan gaya tangannya lagi.

Camelia terangguk-angguk mendengar cerita Alin. “Jadi maknanya dia ni popularlah ek?” tanya Camelia. Alin bengang.

“Mahu tak popular? Tapi aku rasa Farish Ilham ni lagi hebat. Dia boleh menggesek biola dan bermain piano. Ayah dia hanya tahu gesek biola sahaja. Tak tahu main piano. Lagi satu, Farish Ilham ni pernah jadi konduktor kepada sebuah orkestra yang terkenal di Eropah tu tahu! Apatah nama orkestra tu aku lupa. Yang aku tahu dia jadi konduktor sewaktu usianya 17 tahun. Muda lagi tahu. Kau ingat senang ke nak bagi budak belasan tahun jadi konduktor sebuah orkestra yang terkenal? Susah tahu! Kita pun tengah nak SPM waktu tu. Dia pula dah berjaya menempah nama di dunia.” Muka Alin sangat teruja ketika bercerita. Camelia mahu tergelak tetapi ditahannya. Takut sahabatnya itu merajuk pula. Susah nak pujuk nanti.

“Wow... memang popular sangat tu,” puji Camelia. Sebenarnya dia pun kagum juga dengan perjalanan hidup lelaki yang bernama Farish Ilham itu. “Habis itu umur dia sama dengan kita ke?” tanya Camelia.

“Taklah. Dia tua dua tahun dari kita. Orang kata dia genius. Aku pun tak pastilah genius macam mana. Tapi aku rasa memang dah genius betul tu. Jadi konduktor umur 17 tahun. Genius tu...” Muncung mulut Alin. Camelia tertawa perlahan. Hatinya tercuit melihat mimik muka Alin daripada tadi lagi. Sempat jugalah dia mencongak umur Farish Ilham. Bermakna lelaki itu berumur 20 tahun kerana umur Camelia dan Alin sekarang 18 tahun.

Sedang dia ketawa itu dia terpandang lelaki yang berada di dewan auditorium tadi. Farish Ilham! Lelaki itu menuju ke kafeteria. Tangan kanannya memegang sebuah buku. Camelia tidak pasti pula buku apa tapi dia dapat mengagak lelaki itu memegang buku muzik milik konduktor. Yalah, kerana sebelah lagi tangan lelaki itu, dia memegang sebatang rod yang selalu dipegang oleh konduktor untuk mengarah sesebuah orkestra. Tangannya mengayun lembut batang rod itu. Camelia tertanya-tanya juga lagu apa yang sedang lelaki itu berlatih.

Camelia perasan ada beberapa orang gadis mengekori Farish Ilham. Gadis-gadis itu seperti anak-anak kucing. Mengejar sesuatu yang menarik perhatian mereka. Tetapi Farish langsung tidak peduli dengan gadis-gadis itu. Seperti biasa... dia berada dalam dunianya sendiri.

Ketika Farish mahu membeli makanan, dia menoleh ke belakang. Gadis-gadis yang mengekorinya buat-buat bercakap sesama mereka. Berlakon. Sesekali memandang Farish. Apabila Farish toleh semula untuk membeli makanan, mereka ketawa perlahan. Seronok kerana jejaka idaman memerhatikan diri mereka. Terujanya macam dapat jumpa pelakon terkenal! Tapi, Farish memang terkenal pun, kan?

Macam inilah lebih kurang
mekap "anak-anak kucing"
tu...tapi geisha ni lagi lawa
kan?
Camelia tersenyum sendiri melihat perlakuan gadis-gadis yang mengekori Farish Ilham itu. Dahlah kesemuanya memakai pakaian up-to-date. Cuma mekap tu saja yang tebal sangat. Macam orang Jepun. Alah... yang geisha tu!

Sedang Camelia memerhati, matanya bertembung dengan mata Farish. Lelaki itu merenungnya lama. Renungannya tajam. Menikam hingga ke lubuk hati Camelia. Camelia terasa jantungnya berdegup laju. Seperti mahu tercabut saja jantungnya ketika itu. Dia tak tahu kenapa. Tapi itulah yang dia rasakan. Senyuman Camelia tadi automatik mati apabila Farish merenungnya.

“Camelia... kau pandang siapa tu?” Alin bertanya. Dia mengekori arah pandangan Camelia. Hinggalah matanya dapat menangkap kelibat Farish Ilham. Lelaki itu sedang merenung ke arah mereka. Camelia diam. Kaku. Langsung tidak menjawab pertanyaan Alin.

“Hah... habislah kau. Aku rasa Hero Malaya tu dah dapat tangkap siapa pencerobohnya tadi. Nasib kaulah, Camelia...” Alin cuba menakutkan Camelia. Tetapi Camelia langsung tidak memberi tindak balas. Dia hanya kaku di tempatnya sendiri. Nasi ayamnya pun tidak dijamah.

Farish berhenti merenung. Perlahan-lahan lelaki itupun beredar diekori gadis-gadis yang seperti anak-anak kucing itu tadi. Dia hanya membeli sekotak air minuman berperisa soya sahaja. Barulah jantung Camelia berdegup perlahan. Camelia dapat dengar nafasnya tersekat sedikit. Alin pula merenungnya penuh dengan persoalan. Camelia mengangkat sebelah keningnya. Sengaja buat muka ‘sepuluh sen’ kepada sahabatnya itu. Mulut Alin muncung. Tidak puas hati.

***

Keesokan harinya, Camelia cuba menyusup masuk ke dalam dewan auditorium pada waktu yang sama. Manalah tahu kalau-kalau dia dapat dengar bunyi gesekan biola milik Farish Ilham sekali lagi. Sebenarnya dia sedang cuba mengingati di mana dia pernah mendengar bunyi yang dimainkan oleh Farish Ilham itu. Dia tahu dia pernah dengar alunan bunyi itu tetapi tak tahu di mana dan bila waktunya.

Dewan auditorium gelap. Pentas utamanya pun begitu juga. Langsung tiada cahaya. Camelia pelik. Mungkin Farish Ilham memang tiada di situ. Camelia berasa agak kecewa. Entah kenapa dia sendiri pun tidak tahu.

Camelia cuba naik ke atas pentas. Dia mahu merasai bagaimana suasana berada di atas pentas itu. Walaupun sebenarnya dia tak nampak apa-apa tapi dia dapat mengagak di mana tangga pentas itu kerana semalam dia lihat tangga pentas itu berada di sebelah kanan.

Seberada sahaja dia di atas pentas, Camelia terasa kakinya tersadung sesuatu. Camelia terjatuh. Dia rasa badannya menghempap sesuatu. Agak lembut. Camelia terdengar bunyi desisan. Macam manusia. Rasanyalah... harap-harap bukan ular. Camelia mula cuak. Dia cuba memberanikan diri meraba benda yang dilanggarnya tadi.

Eh, ada muka. Ada tangan. Manusia ni. Bukan ular. Camelia lega sedikit. Tetapi dia berasa pelik kerana muka dan tangan yang dipegangnya tadi agak panas. Orang ni demam ke?  

“Err... badan kamu panas ni. Saya bawa ke klinik ek?” Camelia meminta persetujuan daripada orang yang terbaring di hadapannya ini.

“Saa...kit..,” ujar suara orang itu perlahan.

Farish! Sekali dengar sahaja Camelia kenal suara serak basah itu. Walaupun perlahan Camelia masih lagi dapat mengecamnya. Tanpa melengahkan masa, Camelia membangunkan lelaki itu perlahan. Dalam keadaan menggigil, dia cuba meletakkan tangan kanan lelaki itu ke atas bahunya. Dia memapah Farish keluar dari dewan auditorium. Walaupun gelap dia tetap berusaha untuk membantu lelaki itu.

Keluar sahaja dari pintu auditorium, Camelia terpandang beberapa orang pelajar lelaki. Dia meminta bantuan mereka untuk membawa Farish ke hospital. Camelia rasa Farish demam panas teruk sebab itulah dia menyuruh pelajar-pelajar lelaki itu membawa Farish ke hospital. Camelia turut mengekori pelajar-pelajar lelaki itu menghantar Farish ke sana. Sampai sahaja di situ, Camelia menunggu di luar wad kecemasan. Dia sendiri cemas melihat perkataan ‘wad kecemasan’ itu. Terasa lucu pula apabila difikirkan.

Dua puluh minit kemudian Camelia terdengar seseorang menyebut nama Farish. Camelia menoleh ke arah datangnya suara itu. Muncullah seorang lelaki yang agak berusia tetapi rupanya masih lagi kacak. Mungkin umurnya dalam lingkungan 40-an. Camelia meneka sendiri.

“Ya, boleh saya bantu?” Seorang jururawat menegur lelaki itu.

“Saya bapa Farish Ilham. Di mana anak saya?” ujar lelaki itu.

Oh, inilah rupanya Johari Kassim! Kacak juga dia ni ek? Hmm... mana tak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Memang Farish Ilham mewarisi kekacakan daripada ayahnya.

Jururawat itu menunjukkan jalan kepada Johari Kassim. Lelaki itu mengekori dengan perasaan cemas. Camelia pula merasakan dirinya tidak patut berada di situ. Lagipun ayah Farish Ilham sudah berada di situ untuk menjaga anaknya. Camelia beredar dengan langkah kaki yang berat. Sesekali dia menoleh ke belakang. Berharap dapat lihat Farish sebelum dia pergi. Tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Camelia beredar dengan perasaan yang kecewa.

***


Camelia bermain piano.
Camelia bermain piano di Bilik Muzik 4. Itulah satu-satunya bilik muzik yang dia suka kerana tingkap bilik itu menghadap ke arah taman bunga di kolej itu. Camelia sengaja membuka tingkap bilik itu supaya dia dapat merasa angin dari luar masuk. Lagipun dia dapat bau haruman bunga dari taman kolej itu. Baunya boleh dijadikan terapi untuk menenangkan fikiran yang berserabut. Ya, memang pemikiran Camelia berserabut! Serabut memikirkan lelaki yang bernama Farish Ilham itu.

Sudah seminggu lelaki itu tidak hadir ke kolej. Sudah seminggu jugalah Camelia tidak dapat lihat wajah lelaki yang selalu bermain di fikirannya itu.

Kalau esok dia tak datang, esok jugalah aku pergi jenguk dia kat hospital. Senior yang tolong hari tu kata, Farish Ilham tak keluar lagi. Entah betul entah tidak. Monolog Camelia sendiri.

Gadis yang berambut panjang mengurai hingga ke pinggangnya itu perlahan-lahan menekan not piano dengan jari-jemarinya yang runcing. Dia bermain seperti rentak alunan muzik yang dimainkan oleh Farish Ilham dengan gesekan biolanya itu. Dia tidak pasti apa tajuk lagu itu kerana apabila dia mainkan lagu itu dengan versi piano kepada Alin, Alin sendiri pun tidak tahu ketika ditanya. Alin pula yang tanya adakah lagu itu Camelia yang cipta. Camelia hanya mampu menggeleng.

Camelia masih lagi memainkan lagu yang selalu bermain di fikirannya itu. Dia memejamkan mata. Menghayati alunan muzik daripada piano yang dimainkannya. Selesai sahaja bermain, Camelia membuka mata. Dia terkejut apabila lelaki yang difikirkannya tadi kini berada di hadapannya. Lelaki itu mendagu kepalanya di atas piano yang dimainkan oleh Camelia. Merenung Camelia dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

“Farish..,” ucap Camelia perlahan.

“Ya, awak kenal saya?” serak suara Farish ketika bertanya. Camelia suka mendengar suara lelaki itu. Dia sendiri tak tahu kenapa. Apa yang dia pasti ketika mendengar suara lelaki itu sahaja dia merasakan hatinya seperti berbunga-bunga. Terasa dirinya seperti terawang-awang. Terbang melayang di atas langit yang luas.

“Tak. Saya cuma tahu nama awak melalui orang lain sahaja.” Camelia berkata perlahan. Farish masih merenungnya tanpa henti.

“Lagu apa yang awak mainkan tadi?” tanya Farish. Lelaki itu langsung tidak senyum. Mukanya tiada reaksi. Camelia tak tahu apa yang berada di dalam fikiran lelaki itu. Tak dapat dibaca dan tak dapat diteka.

“Err... tak tahu. Saya cuma pernah dengar lagu itu saja tapi tak tahu tajuknya,” jawab Camelia. Suaranya masih lagi perlahan.

“Bila masa pula awak dengar lagu tu?” Farish bertanya lagi.

“Waktu awak menggesek biola di auditorium hari tu.” Camelia perasan lelaki itu mengangkat sebelah keningnya. Alamak, kantoi! Bisik Camelia di dalam hatinya. Cepat-cepat dia menyambung jawapannya. “Tapi sebelum tu lagi saya pernah dengar lagu tu. Cuma tak pasti bila waktunya. Saya cuba ingat tapi saya lupa.”

“Sonata Camelia.” Farish berbisik perlahan tapi Camelia dapat menangkapnya.

“Sonata Camelia?” Macam nama aku tu. Ujar Camelia di dalam hatinya.

“Yup. Tajuknya Sonata Camelia. Saya sendiri yang cipta lagu itu ketika saya berumur lapan tahun. Tiada seorang pun yang pernah dengar dan tahu bagaimana melodinya. Tetapi saya pelik macam mana awak boleh tahu melodi lagu tu kerana saya tak pernah berikan nota versenya kepada sesiapa pun,” kata Farish. Tangannya masih lagi mendagu kepalanya di atas piano.

Camelia diam membisu. Bagaimana dia mahu terangkan kepada lelaki itu, ya?

***

Helaian nota muzik
menari melayang ditiup bayu
Kelopak bunga ros merah
berterbangan mencoraki angkasa
Gesekan biola tua
menjadi penawar pengubat duka
Di bawah pohon rendang
menikmati keindahan dunia

Tidakkah akal terfikir,
apakah simfoni kehidupan diri?
Haruskah ia berakhir dalam Bethooven duka
ataupun dihiasi dengan Mozart ceria?
Mungkin hati tidak tahu
setiap saat dan detik amat bermakna
Masa yang sudah berlalu
tidak dapat diputarkan kembali
Biarlah pengalaman menjadi maestro
agar diri mengetahui erti kehidupan
menikmati hayat dengan lebih tenang
mengasihi semua insan tersayang
Jadikan melodi piano besar
sebagai peneman setia kalbu
memotivasikan diri untuk terus maju
mencairkan jiwa yang sering beku

Lihatlah, dengarlah dan hayatilah
Lagu, melodi dan simfoni
Sonata Camelia...


Farish merenung sajak yang pernah diciptanya suatu ketika dahulu. Sajak itu ditujukan khas untuk gadis yang selalu dirinduinya. Gadis yang selalu menghiasi mimpinya sejak dari kecil lagi. Senyumannya, tawanya, tangisannya... dan semua yang berkenaan gadis itu tidak pernah sekalipun Farish lupakan.

Tapi kenapa apabila mereka bertemu kembali, gadis itu telah melupakannya? Farish pelik. Adakah tragedi hitam yang berlaku sewaktu Farish berusia sembilan tahun itulah yang membuatkan gadis itu lupa akan Farish? Tragedi yang telah mengorbankan banyak nyawa manusia itu? Farish menggelengkan kepalanya. Dia cuba untuk menolak kenyataan yang sememangnya terbentang luas di hadapannya.

Kenapa dia lupakan aku? Aku tak pernah lupakan dia. Sekalipun tidak. Farish bertanya kepada dirinya sendiri. Perasaan tidak puas hati menyelubungi dirinya. Geram juga apabila dirinya dilupakan begitu sahaja.

Kalau macam tu kau mesti cuba ingatkan memorinya terhadap kau kembali, Farish. Ujar suatu suara. Kalau tak, dia akan lupakan kau terus. Kau akan hilang daripada ingatannya buat selama-lamanya. Farish tahu itu adalah suara bisikan hatinya sendiri. Dia sendiri setuju dengan bisikan itu.

Ya, benar itu! Aku mesti cuba buat dia ingatkan aku semula. Ingatkan dia memori-memori lama kami. Memori kami bermain alat muzik bersama-sama... Tekad Farish di dalam hatinya. Dia menggenggam kedua belah tangannya erat. Sebagai semangat untuk azamnnya. Azam untuk mengingatkan kembali memori yang telah hilang dari gadis bernama Camelia itu...



P/S : Ni sebab kemaruk sangat tengok cerita jepun "Nodame Cantabile" maka lahirlah cerpen "Biola dan Sonata Camelia" ni. Saya ingat nak buat cerpen ni jadi novel nanti sebab macam tergantung ceritanya. Itupun kalau ada orang yang mintalah untuk cerpen "Biola Dan Sonata Camelia" menjadi novel. So, kiranya kalau tiada orang minta dijadikan novel maka tergantunglah ceritanya~ hehe. Nak ke cerpen ni jadi novel? Kalau nak tolong komen ek? ^^

MV untuk cerpen ini di bawah~~~~ hehe lagu daripada drama Boys Over Flower...

1 comment:

  1. Kenapa sampai sini sahaja? Awak patut sambung sampai camelia ingat. Cerita ni best sangat

    ReplyDelete