Nuffnang Ads

Friday 24 February 2012

Cerpen: Diari Milik Teddy (prequel Lola De' Cafe)



Teddy memegang sebuah diari. Diari itu diari lama miliknya. Diari sewaktu zaman persekolahannya dahulu. Pelbagai kisah suka dan duka dia abadikan di dalam buku diari itu. Diari itu juga tidak pernah dia beri kepada sesiapa pun membacanya. Malah keluarganya sendiri pun. Dan malam ini, entah kenapa Teddy terasa mahu membacanya semula. Sengaja mahu mengingati masa silam. Walaupun agak pahit, pahit itu jugalah yang dia cuba telan. Tetapi ada juga kenangan yang manis seperti madu.
                                                                                                                     
Teddy membuka muka surat pertama. Terteralah nama penuhnya di situ. Malah tanda tangannya yang bertemankan lukisan beruang kecil pun ada di muka surat pertama itu. Teddy tersenyum kecil. Indahnya zaman persekolahan dahulu. Perangai macam budak-budak! Memang aku budak-budak pun waktu itukan? Monolog Teddy dalam hatinya. Dia tersenyum lagi.

Teddy menyelak muka surat kedua pula. Ada biodatanya dituliskan di situ. Nombor telefon, makanan dan minuman kegemaran, muzik kegemaran... semuanya dituliskan di situ. Yang membuatkan senyumannya bertambah lebar apabila dia membaca cita-cita yang pernah dia tuliskan di dalam diari itu. Cita-citanya mahu menjadi ahli arkeologi. Rasa-rasanya cita-cita dia itu bakal tercapai kerana sekarang ini dia sedang menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang antropologi.

Teddy menyelak muka surat ketiga. Bermulalah segala luahan isi hatinya di muka surat itu...

***

4 November

Suasana malam ini agak sunyi. Aku dapat lihat bintang berkelipan di atas angkasa sana melalui tingkap bilikku. Pabila aku renung suasana malam di luar sana, aku teringat peristiwa yang berlaku pada waktu siang tadi. Aku rasa tak mungkin aku akan lupakan peristiwa itu seumur hidupku. Peristiwa yang sangat-sangat memalukan. Tapi aku suka juga peristiwa ini. Hehe... xD

Pada petang tadi, lebih kurang pukul tiga lebih, aku menuruni tangga di rumah kondominium lima tingkat kami ini. Mama menyuruh aku pergi ke kedai. Belikan barangan keperluan. Aku hanya turutkan sahaja. Biasalah... akukan mahu jadi anak mithali. Tak mahu derhaka pada ibu bapa. Hihi... ceh, wah! Perasan tak habis. Tapi, betullah. Aku memang nak jadi anak yang baik. Cuba beritahu aku, siapa yang tak nak jadi anak yang baik? Semua nakkan?

Selalunya jika aku menuruni tangga, aku suka melangkah beberapa anak tangga. Selalunya dalam dua atau tiga. Tetapi entah kenapa petang tadi aku agak tak stabil pula. Ketika mahu melangkah dua anak tangga terakhir, aku jadi imbalance. Tapi nasib baiklah ada orang sempat sambut aku di bawah tu. Kalau tak, jatuh tergoleklah aku. Confirm masuk hospital. Confirm mama mengamuk. x_x

Tapikan, yang membuatkan aku excited ni, orang yang sambut aku tu lelaki. Tinggi lampai. Tinggi sangat! Macam bangunan KLCC. (Tengok tu... melampau pula hiperbola aku ni!) Kulit dia putih kemerahan. (Tak macam kulit aku ni. Hitam manis. Sebenarnya aku pun putih juga dulu. Cuma suka sangat berjemur. Tu yang berbelang-belang tu. Betis aku gelap, tapi paha aku putih tau! Sangat berbeza. Huhu...) Muka dia pula macam ada kacukan Arab sikit. Entah-entah memang keturunan Arab agaknya. Entah... aku sendiri pun tak pasti.

Dia sambut aku ketika aku hampir-hampir nak jatuh dari tangga. (Dia peluk aku tu...alamak! Dosa... huhu. Ya, Allah. Ampunkanlah dosa yang aku lakukan pada siang tadi. Amin.)

Aku sendiri malu apabila disambut sedemikian. Cepat-cepat aku beredar dari situ. Tak toleh ke belakang lagi dah. Nasib baiklah waktu tu orang lain tiada. Hanya kami berdua sahaja. Kalau tak, confirm tersebar gosip panas. Family aku juga yang dapat malu nanti. Betul tak?

Tapikan... aku rasa aku seperti sudah jatuh hatilah kepada lelaki itu. Siapa dia, ya? Di mana dia tinggal? Tak pernah lagi aku nampak dia sebelum ini. Baru pindah ke kondominium inikah agaknya? Aku sendiri pun tak tahu. Hmm... macam mana, ya?

Kalau nak katakan aku jatuh cinta pandang pertama tak boleh... sebab umur aku baru 14 tahun. Tak logik langsung. Selalunya waktu umur macam aku ni, orang kata cinta monyet. Habis tu yang orang zaman dulu kahwin umur belasan tahun tu apa cerita? Siap ada yang kahwin umur 10 tahun lagi. Bukan belasan dah tu.

Hmm... apa-apa pun aku pasti yang aku memang agak tertariklah kepada lelaki itu. Hero aku tu... hehe! Bukan selalu orang tolong kita macam tu.

Hai... harap-harap malam ni aku mimpikan si dia. Dia yang menyelamatkan aku tadi... eee, seronoknya kalau dapat mimpi dia! >_<


7 November

Aku dapat jumpa dia lagi. Ah, kacaknya rupa dia! Hihi... tapikan yang membuatkan aku lebih excited ialah aku dapat tahu nama sebenar dia. Yay! Tapi dalam diari ini aku hanya boleh tulis nama samaran sahaja. Yalah, nanti kalau ada orang lain yang baca, kantoilah aku! Aku pun nak selamat juga. Huhu... :P

Abang Knight
So, mulai dari hari ini aku akan gelarkan dia Abang Knight. Sebab apa Abang Knight? Sebab dia telah selamatkan aku hari tu daripada jatuh tergolek kat tangga. Huhu...

Aku terserempak dengan dia masa aku tengah main bola sepak dengan geng aku. Al-maklumlah... aku ni agak tomboi sikit. Aku suka main bola. Tak kisahlah apa-apa jenis permainan bola pun yang penting dalam permainan tu ada menggunakan bola. Hehehe...

Waktu tengah rehat-rehat (Makan aiskrim... sedap!), aku nampak Abang Knight ni berjalan ke arah kami. Geng aku semua agak peliklah. Yalah... kenapa pula mamat handsome macam Abang Knight tu tiba-tiba datang kepada kami. Tak ke pelik tu? Dahlah budak-budak yang tengah rehat duduk atas tanah ni selekeh belaka. (Termasuklah aku! Hahaha...)

Abang Knight bagi salam. Geng aku yang perempuan pula tersipu-sipu malu menjawab salam Abang Knight tu. Yang budak lelaki pula bangun bersalaman dengan Abang Knight. Biasalah... mesti kena hormat yang tuakan? Aku pula... err reaksi aku pada waktu tu... err tiada perasaan. Haha... kaku tak bergerak!

Abang Knight perkenalkan dirinya. Dia tanya boleh ke dia join kami? Kami pun angguk jelah. Selepas tu, kami pun berboraklah dengan Abang Knight. Macam-macam soalan geng aku ni tanya kepada Abang Knight. Macam gaya penyiasat CSI pun ada. Huhu...

Antara soalan yang ditanya :
1.   Abang ni dah kahwin ke belum? Single lagi ke? (Perempuan)
2.   Abang minat pasukan bola sepak mana? MU ke? (Lelaki)
3.   Abang, nak nombor telefon abang boleh? (Perempuan)
4.   Abang, nak ngorat boleh? (Perempuan)
5.   Abang ada adik perempuan cun tak? Kalau boleh kami nak ngorat... (Lelaki)
6. Abang kerja apa? Gaji banyak tak? Kalau banyak masuklah meminang saya...   (Perempuan)
7.   Apa favourite makanan abang? Saya suka coklat... (Perempuan)
8.   Abang ada Facebook? Addlah saya nanti ek? (Perempuan dan lelaki)
9.  Abang suka tengok movie tak? Jom kita tengok wayang sama-sama. (Perempuan dan lelaki)
10. Abang... abang dan abang... aku pun tak tahu nak tulis apa lagi dah? Banyak sangat soalan merepek dia orang nih! Sakit jiwa aku mendengarnya... >o<

Walau bagaimanapun, Abang Knight menjawab semua soalan mereka dengan penuh kejujuran. Dia langsung tidak kekok melayan geng aku yang macam... err, bayangkan sendiri ajelah perangai mereka ni! Tapikan yang buat aku rasa macam nak terbang ke bulan ni adalah ketika Abang Knight sendiri bertanya kepada aku apa pasukan bola sepak yang paling aku minat? Yiipiee!! Dalam minda aku dah penuh dengan bunga-bunga cinta nih. Hehe... ;P

Aku pun jawablah, “Saya minat Manchester United.” Perlahan aje suara aku masa tu. Memang nampak baik ajelah. Bak kata pepatah ni, pijak semut pun tak mati. xD

“Abang pun samalah. Abang pun minat Manchester United juga,” balas Abang Knight.

Oleh itu, konklusinya... aku dapat tahu yang Abang Knight ada satu persamaan dengan aku iaitu kami minat pasukan bola sepak yang sama. Ehehehe... (Tersengih macam kerang busuk!) Selepas ini, apa lagilah persamaan antara kami yang akan aku ketahui nanti ek? Kita tungguuuu...woohoo! (Lompat atas katil nih. Haha...)


14 November

Lah... aku baru tahu rupa-rupanya Abang Knight tinggal di atas rumah aku. Maksud aku, tingkat atas rumah akulah. (Sebenarnya rumah ibu bapaku ek. So, kira rumah aku jugalah.) Dia baru sahaja pindah dengan keluarganya ke sini. Katanya mereka asal dari Pulau Pinang. Dah lama menetap di situ barulah pindah ke Kuala Lumpur ni. Ooo... baru aku tau. (Itupun sebab Mama aku berborak dengan mak Abang Knight. Mak Abang Knight baik tau. Siap suruh aku panggil dia Mummy lagi. Alamak... terasa macam dah jadi menantu terus je ni! Hihik... gatal!)

Abang Knight ada adik perempuan yang sebaya dengan aku. Empat belas tahun. Nama dia panjang sangat. Sampai kena ada dua IC tau! Betul tak tipu. Dia siap tunjuk lagi pada aku. Adik dia tinggi lampai dan kurus. Macam model pun ada. Tinggi adik dia 170 sentimeter. Tinggikan? (Tengoklah abang dia tinggi mana? 180 and plus plus sentimeter... haha. Aku pun tak pasti. Lebih kurang begitulah tingginya.)

Tapi yang membuatkan aku berasa pelik lagi adalah nama panggilan adik perempuan dia. Namanya sangat-sesangatlah pelik! Kera kalau mendengar nama panggilan adik perempuannya pun rasa pelik. Hehe... xD

Keluarganya memanggil adik perempuannya ‘Lola’. Mereka kata dalam bahasa Uzbek iaitu bahasa dari negara Uzbekistan, ‘Lola’ bermaksud bunga tulip. Betul ke? Kejap... bagi aku tengok Google kejap. (Buka laptop cepat.)

Okay... dah dapat jawapannya. Memang betul ‘Lola’ bermaksud bunga tulip dalam bahasa Uzbek. Dalam bahasa lain lagilah... err pelik! Huhu... apa-apa pun aku sudah berkawan baik dengan adik perempuannya. Adik dia memang peramah. Baik sangat. Semua geng aku sukakan dia. Yang lelaki lagilah teramat suka! Huhu...

Tahun depan kami akan bersekolah sama. Eee... tak sabar rasanya nak pergi ke sekolah bersama-sama dengan Lola. (Boleh dengar cerita pasal Abang Knight. Hehe... ^_^)


23 November

Sudah mula musim cuti sekolah. Yippiee! Dah cuti, dah cuti... hehe, sukanya! >_<

Lola ajak aku tidur di rumahnya esok. Dia cakap dia teringin nak adik-beradik perempuan. Yalah, adik-beradiknya semua ada tujuh orang. Semuanya lelaki kecuali dia seorang sahaja perempuan. Lola anak kelima. Kiranya dia ada dua adik lelaki di bawahnya. Ramaikan adik beradik dia? Tapi  semua abang Lola tak tinggal bersama mereka kerana masing-masing sambung belajar dan ada juga yang bekerja. Abang Knight sekarang ini bekerja. Dia pun tak tinggal dengan mereka. Tapi kadang-kadang kalau hujung minggu dia akan balik ke rumah keluarganya. Mahu melepaskan rindu katanya. Umur dia tahun ini 25 tahun. Hem... maknanya dia tua sebelas tahunlah daripada aku. Tuanya... (Tapi muda di mata aku! Huahua... cinta itu buta dan juga boleh membutakan. x_x)

Rasa takut pula nak tidur di rumah dia. Yalah, inikan pertama kali aku tidur di rumah kawan. Selama ini tak pernah lagi. Mama aku pula kasi aku tidur di rumah dia. Boleh pula macam tu kan? Macam manalah Mummy Lola ni pujuk Mama aku sampai dia boleh kasi aku tidur di rumah mereka? Pelik bin ajaib.


24 November

Abang Knight balik hari ni ke rumah keluarganya. Kiranya aku tinggal serumah dengan dialah ni. Hai... nasiblah badan. Hihik! >_<

Nasib baik keluarganya adakan? Kalau tak... hish! Jangan fikir bukan-bukan ek? Semua dah mula otak kuning ni. Tak baik tau. Dosa...

Lebih kurang pukul lapan malam tadi aku duduk di depan TV bersama Mummy. Kami tengok berita lepas tu tengok Manchester United lawan Arsenal. Abang Knight dah duduk di depan TV masa tu. Dia duduk sebelah aku... fuh, lemah semangat! Rasa macam terawang-awang dah. Kebas je badan rasanya. (Tapi sebenarnya tak adalah sebelah sangat. Kira dalam jarak satu meterlah juga. Alah, sebelahlah juga tu kan?)

Lola pula ada dalam biliknya. Tengah bergayut dengan pak wenya. Dia cakap jangan bagitahu Mummy. Nanti Mummy marah. So, shhh... diam tau! Jangan bagitahu. Huhu... x_x

Tak lama beberapa minit selepas bermulanya perlawanan bola sepak tu, Mummy tiba-tiba cakap dia nak masuk bilik sekejap. Nak menjahit baju kurung katanya. Lagipun mesin jahit dia ada di dalam bilik tidurnya. Mummy mengambil upah menjahit baju. Lagipun dia suri rumah. Tak buat apa-apa kerja bergaji pun. Dengan cara ini sajalah dia boleh mendapat duit poket. Hendak bekerja dia kata Daddy tak kasi (Papa Lolalah).

Tinggallah aku dengan Abang Knight saja yang lihat perlawanan bola sepak itu di TV di ruang tamu. Suasana sunyi menyelubungi kami. Abang Knight diam aje. Tekun betul dia tengok perlawanan bola sepak itu. Al-maklumlah... pasukan bola sepak kesayangan yang tengah berlawan. Tapikan yang membuatkan jantung aku berdegup kencang selepas itu adalah ketika Abang Knight tiba-tiba ambil bantal kusyen dan baring di sebelah aku. Tangannya disilangkan di kepala. Kedua kakinya pula dibengkokkan ke atas. Selamba betullah dia ketika itu. Aku yang berada di sebelah duduk memeluk lutut. Jantung aku waktu tu... pergh! Tak payah cakaplah. Mungkin dah mencapai 200 denyutan dalam masa seminit. Haha... xD

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia tidak angkat menjawabnya. Maknanya kira ada mesej yang masuk sajalah. Abang Knight tengok mesej yang masuk ke dalam inbox telefon bimbitnya. Siapa yang menghantar mesej itupun aku tak tahu. Takkan nak baring sebelah dia tengok dia mesej dengan siapa pula kan? Hehe... gatal aku nih! Haha... >_<

Tak lama selepas itu dia bangun masuk ke biliknya. Aku dengarlah bunyi pintu buka tutup buka tutup. Tiga kali jugalah dia keluar masuk dari biliknya. Ke hulu ke hilir... Sekejap ke dapur, sekejap masuk ke bilik Mummy. Apa yang dia nak dari Mummy pun aku tak pasti. Kemudian aku terbau minyak wangi. Jenama Adidas. Macam mana aku tau? Sebab Papa aku pun pakai jenama yang sama. Hehe... :P

Abang Knight dah bertukar pakaian kasual. Rasanya dia nak keluar. Sebelum dia keluar sempat juga dia bertanya kepada aku, “MU dah berapa?”

Aku pun jawablah, “Masih seri lagi dengan Arsenal.”

“Ohh...” pendek je dia balas. Kemudiannya dia menghadiahkan aku senyuman sebelum dia keluar bertemu dengan kawan-kawannya. Alahai... cair hati aku dibuatnya!  Cair sampai tertidur kat depan TV ni. Hehe... nasib baik Mummy kejutkan. Dia kata kalau nak tidur Mummy boleh tolong sediakan tilam dan bentangkannya di ruang tamu ni.

Sekarang ini aku ada di dalam bilik Lola. Tengah menulis diari nilah. Sekarang pukul 11.30 malam. Aku dan Lola akan tidur di ruang tamu. Kenapa kami tak tidur dalam bilik? Sebab dua orang kakak sepupu Lola menumpang tidur di rumah Lola ni. Mereka pun tidur selama sehari saja di sini. Esoknya mereka akan pulang ke Pulau Pinang. Lagipun takkanlah kami nak berhimpit empat orang di dalam bilik Lola yang teramat kecil ni? (Sumpah, bilik dia kecil sangat. Rasanya dua orang sahaja yang boleh tidur di dalam biliknya.)

Konklusinya, aku dan Lola akan tidur di ruang tamu. Huarghh... ngantuknya! (Menguap macam anak badak air.) Okay, diari kesayanganku. Aku mahu tidur. Selamat malam. :)


25 November

Aku rasa sangat pelik. Kenapa? Sebab pagi tadi aku terasa seperti ada orang yang membelai rambut aku sewaktu aku tidur. Arghh, mimpi agaknya! Ataupun mungkin juga Lola yang membelai rambutku. Lagipun dia memang tak reti duduk diam ketika dia tidur. Ada ke dia buat aku ni bantal peluk dia? Hish, geram rasanya!

Tapi belaiannya sangat lembut. Selembut-lembutnyalah. Hai, entahlah... aku sendiri pun tak pasti sama ada ianya betul ataupun hanya mimpi sahaja. Tau-tau aje apabila aku buka mata, Lola dah buat aku macam bantal peluknya. Huhu... x_x

Pabila tiba waktu makan tengah hari, Mummy masak ikan pari asam pedas. Sedap! Makan semeja dengan Abang Knight! >_<

Ada jugalah sesekali tu aku curi-curi pandang Abang Knight. Tetapi apabila kami bertentangan mata, dia seperti memandang aku dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Apakah maksud di sebalik pandangan matanya itu? Aku sudah mula syak yang peristiwa pagi tadi yang aku alami bukanlah semata-matanya mimpi. Mungkin juga ianya benar-benar berlaku! Oh, tidak! Aku takut untuk menerima kenyataan. (Wahai jantung... jangan berdegup terlalu pantas ek?)

Esok aku akan pulang ke kampung halaman Mama aku di Terengganu. Kiranya hari ini adalah hari terakhir aku tidur di rumah Lola. Kejap lagi turunlah (ke rumah) nak kemas-kemas barang untuk pulang ke kampung.

Sebelum aku pulang, sempat lagi aku curi-curi memandang Abang Knight. Dia masih lagi seperti kelakuannya ketika kami sama-sama makan tengah hari tadi. Pandangan semacam? Huhu... takut aku dibuatnya. Cepat-cepat aku salam Mummy dan ucapkan selamat tinggal juga terima kasih kepada Lola kerana sudi mengajak aku tidur di rumah mereka. Mummy dan Lola tersenyum gembira. Mummy pula berkata kalau boleh mahu aku tidur di rumah mereka setiap hari. Buat peneman Lola. Lagipun rumah aku dengan mereka dekat sahaja. Aku hanya mampu tersenyum tanpa membalas apa-apa. Dalam hati mahu saja aku menjawab, ‘Saya kalau boleh tak nak lagi dah tidur rumah Mummy lepas ni!’ Tapi aku tidak berani berkata sebegitu. Huhu... x_x

Aku akan tinggal di kampung selama sebulan. Kiranya sampai akhir bulan depan barulah aku pulang ke Kuala Lumpur. Pasti aku akan rindu pada Abang Knight nanti. Yalah, sebulan tak jumpa. Mestilah rindu... Abang Knight, jaga diri ek? Jangan nakal-nakal tau! Hihi... ^_^

Kalaulah aku boleh berkata macam tu pada dia? Huih... lemah jantung dibuatnya! Dup-dap, dup-dap, dup-dap... xD

  
24 Disember

Sampai hati Mama! Kata sebulan aje tinggal di kampung. Ini dah tambah lagi seminggu pula. Nak bermula musim persekolahan nanti barulah kami pulang ke Kuala Lumpur. Mama, saya nak balik ke Kuala Lumpur. Nak jumpa Abang Knight. Rindu ni... sebulan tak jumpa. Arrrgggghhhhhh!!! (Jerit sekuat hati di tepi sungai. Tengah menulis di tepi sungailah ni. Huhu... x_x)


4 Januari

Jumpa Lola. Hari ini hari pertama persekolahan bermula. Aku dan Lola berada dalam kelas yang sama. Kelas pertama. Pandai juga Lola ni rupanya. Huhu... +_+

Aku ada perasan seorang budak lelaki ini. Dia baru masuk ke sekolah ini agaknya. Sebab sebelum ini aku tak pernah lagi lihat mukanya. Sebab apa aku perasan dia dari budak-budak lain yang baru masuk ke sekolah ni? Sebab muka dia serupa dengan pelakon utama siri Merlin di TV3. Colin Morgan! Kiyahhh... >o<

Aku memang suka sangat tengok cerita tu. Sebab Colin Morgan tu comel sangat! Haha... itu aje sebabnya. (Walaupun Bradley James yang jadi Prince Athur tu kacak tapi aku tetap suka Colin Morgan juga!)

Sebenarnya aku pertama kali jumpa dia pada waktu rehat. Sewaktu mahu membeli makanan. Sekolah kami mempunyai peraturan iaitu beratur ketika membeli makanan. Lelaki dan perempuan beratur bersebelahan cuma terpisah dengan tali sahaja di tengah-tengahnya. Ketika beratur tu, aku terasa seperti bahu kananku dilanggar orang dari belakang. Aku pun pandanglah ke belakang. Tengok-tengok ada budak lelaki tinggi lampai (aku tinggi di bahunya saja) memandang aku dengan raut muka innocent. Aku pun peliklah. Takkan dia yang langgar aku tadi. Aku pegang bahu aku sambil tu aku buatlah muka berkerut tanda tak puas hati. Dia pula tersenyum tanpa berkata apa-apa. Minta maaf pun tidak.

Aku rasa memang dialah yang langgar aku sebab di belakang aku memang tiada orang dah. Cuma di barisan lelaki sajalah yang barisannya agak panjang. Mungkin rakan-rakannyalah yang berebut-rebut menolak dia. Sengaja mahu bergurau agaknya. Dan dalam gurauan mereka itu, aku yang menjadi mangsa tolak-menolak mereka. Tapi yang aku tak puas hati, dia langsung tidak memohon maaf. Nasib baik dia senyum, kalau tak... hish! Nasib baik juga muka dia macam Colin Morgan. Argghh... comelnya! Haha... sempat lagi.

Alahai... teringat pada kembar Colin Morgan tu sampai Abang Knight pun aku boleh lupa. Huih, bahaya ni! Penangan kembar Colin Morgan tu menyebabkan kedudukan Abang Knight di dalam hati aku ni tergugat. Huhu... sorry, Abang Knight! Abang sudah mula ada saingan.


13 Januari

Setiap kali jumpa kembar Colin Morgan tu, mesti dia pandang aku semacam. Apahal dengan budak ni? Hem... aku baru tahu yang dia itu rupa-rupanya junior aku. Muda setahun aje. Tapi cepat betul dia tinggi ek? Genetik, genetik... hehe ;)

Apple
Mereka kata asalnya dari Sabah. Orang Kadazan. Hmm... patutlah putih melepak! Boleh aku panggil dia Apple tak? Sebab apabila dia blushing muka dia nampak comel sangat. Haha... aku perasan dia memang selalu blushing. Serius comel! Tak tipu...

Hish, jangan berangan banyak sangatlah! Dahlah nak periksa PMR tahun ni. Huhu... +_+

Rindunya pada Abang Knight. Bilalah boleh jumpa? Sejak balik dari kampung hari tu, sampai ke hari ini tak dapat jumpa Abang Knight. Nak dekat dua bulan dah ni. Abang Knight... saya rindu. >_<


18 Januari

Semalam hari jadi Lola. Abang Knight ada membawa teman wanitanya datang ke rumah. Kecewanya aku. Keluarga Abang Knight semuanya melayan kakak tu dengan sebaik-baiknya. Mereka siap mengusik Abang Knight dan kakak itu lagi. Kakak itu namanya Kak Lynn. Dia memang peramah. Cantik pun cantik. Ada jugalah dia berbual dengan aku. Aku cuma menjawab pertanyaannya acuh tak acuh saja. Rasa kecewa memang dah menggunung di dalam hati aku ni melihatkan kemesraan Abang Knight dengan Kak Lynn itu. Cemburu pun ada.

Kak Lynn
Kak Lynn bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta. Sama tempat kerja dengan Abang Knight. Kak Lynn pun tinggi lampai macam model. Kalau orang lain lihat pun, pasti mereka menganggap Abang Knight dan Kak Lynn amat secocok jika bersama. Ironi pula jika Abang Knight dengan aku. Macam pokok kelapa dengan rumput sahaja. Seorang tinggi dan seorang lagi terlampau rendah. Tak serasi langsung.

Tapi aku tetap sukakan Abang Knight. Mungkin juga ‘suka’ aku ini sudah bertukar menjadi ‘cinta’? Abang Knight... tahu tak hati saya sedang menangis sekarang ini. Nak melihat bulan di langit pada waktu ini pun tak sanggup. Hanya mampu melihat coretan tulisan sendiri di buku diari ini dengan pandangan mata yang kabur sahaja. Hah, tengok! Air mata saya dah tumpah di buku diari ini. Maaflah, wahai Diariku... aku sememangnya tidak dapat menahan sang air mata ini daripada jatuh. Terlampau banyak hinggakan sang hingus pun turut mahu keluar menemani sang air mata. Huhu... :’(

Abang Knight... peritnya hati ini. Tak tertanggung rasa peritnya. Luluhnya jantung ini. Tak tertanggung rasa luluhnya. Kenapa Abang Knight? Kenapa memilih ‘dia’ sebagai temanmu? Saya ini tidak sesuaikah? Mungkin jarak usia yang jauh menjadi penghalang kita. Tapi bukankah ada orang tua yang mengahwini orang muda. Siap pangkat datuk-cucu lagi. Salahkah? Bukankah orang pernah berkata cinta tidak mengenal usia? Apakah itu hanya ilusi mainan cinta semata-mata? Jawablah, Abang Knight... jawablah.

Peritnya...

***

Teddy menutup buku diari lamanya. Hatinya berasa tidak sanggup untuk meneruskan pembacaannya. Dia memejamkan matanya rapat. Rasa kecewa dan perit itu masih lagi bersisa di dalam hatinya hingga ke saat ini. Peritnya apabila cinta pertamanya menjadi begitu kisahnya. Air mata Teddy mengalir. Sejujurnya, dia masih lagi rindu akan Abang Knight. Rindu-serindu rindunya... tak terungkap dengan kata-kata. Hanya mampu dirasa dalam hati sahaja.

Teddy cuba menggagahkan dirinya untuk meneruskan pembacaannya. Dia menyelak buku diari lamanya hingga ke muka surat di mana dia sudah mendapat keputusan PMR...

***

31 Disember

Cuba teka apa keputusan PMR aku? Aku dapat straight A’s! Yahoo... keluarga aku bangga dengan keputusan PMR aku. Lola dan keluarganya juga mengucapkan tahniah kepadaku. Kecuali Abang Knight. Dia langsung tidak berkata apa-apa kepadaku. Hanya memandang aku sahaja dengan pandangan mata yang redup. Teringinnya aku mahu mendengar suaranya. Kami amat jarang bercakap selepas dia membawa teman wanitanya datang ke rumah keluarganya pada hari jadi Lola yang lalu.

Lola pula mendapat 6A2B sahaja. Walau apapun, masih cemerlang lagikan? Hari ini kami akan membuat kenduri doa selamat. Keluarga Lola dan keluarga aku bergabung bersama membuat kenduri doa selamat ini. Kenduri doa selamat ini adalah bagi meraikan kejayaan Lola dan aku kerana mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam PMR.

Abang Knight nampak kacak sangat ketika berbaju Melayu berwarna merah hati. Sama warna dengan baju kurung yang kupakai juga. Terasa seperti aku mempunyai harapan pula untuk bersama dengannya nanti. Kak Lynn tidak datang pula pada hari ini. Lola kata Kak Lynn outstation di Johor. Kiranya Abang Knight hanya untuk aku sajalah pada hari ini ek? Kehkeh... gatal!

Ketika sesi fotografi, kami bergambar bersama-sama. Kiranya keluarga Lola bergambar bersama dengan keluargaku. Tangkap gambar ramai-ramailah kiranya. Abang Knight berdiri di belakang aku. Aku terasa nadiku berdenyut laju. Lagi-lagi apabila aku dapat rasa hembusan nafas Abang Knight di belakang kepalaku. Menandakan dia berdiri begitu rapat di belakangku. Memang jurukamera suruh kami semua berdiri rapat pun kerana katanya di skrin kameranya tidak dapat menangkap jumlah kami yang terlalu ramai. (Mana taknya... keluarga Lola sahaja dah sembilan orang ahlinya. Tak campur lagi dengan keluargaku yang seramai tujuh orang ni. Adik-beradikku ada lima orang.)

Tanganku terasa sejuk dan berpeluh dingin. Aku cuba tersenyum walaupun jantung ini berdegup bagai nak gila! Abang Knight pula semakin rapat di belakangku. Terasa seperti dia memelukku pula walaupun aku tahu dia meletakkan tangannya di belakangnya. (Memang Abang Knight suka bergaya begitu apabila gambarnya diambil.)

Aku menghembuskan nafas lega setelah selesai sesi mengambil foto. Cepat-cepat aku beredar dan pergi ke tempat makanan dihidangkan. Aku memang begitu. Apabila rasa cemas menyelubungi diri, pastinya aku akan makan untuk menghilangkan rasa cemas di hati.

Aku perasan Abang Knight adakalanya memandang aku. Aku terasa serba-salah. Yalah... bukankah Abang Knight sudah ada teman wanita? Buat apa dia pandang aku lagi? Lagipun aku ini siapa di mata dia?

Buat masa ini aku rasa keliru. Teramat keliru... x_x

***

Teddy menutup matanya. Dia terbayangkan perasaannya ketika itu. Masih terasa lagi hembusan nafas Abang Knight walaupun peristiwa itu sudah berlalu enam tahun yang lalu. Kini dia sudah berusia 21 tahun. Masih belajar di Universiti Malaya dalam bidang antropologi. Bidang yang diminatinya sejak dulu lagi. Abang Knight masih lagi tidak berkahwin walaupun usia lelaki itu sudah mencecah 32 tahun. Dia masih lagi dengan Kak Lynn. Ura-ura perkahwinan mereka ada juga Teddy dengar. Tapi bila diadakan? Teddy sendiri tidak pasti. Lama juga Abang Knight bercinta dengan Kak Lynn itu.

Kenapa lama sangat Abang Knight, oi? Abang tunggu saya ke? Teddy monolog di dalam hatinya. Kemudian dia tersenyum pahit. Tak mungkinlah... tambah monolognya lagi.

Apple pula sudah mengekorinya hingga ke tempat belajarnya sekarang. Juniornya itu belajar di tempat yang sama dengannya cuma dalam bidang yang berlainan sahaja. Lelaki itu mengambil bidang akauntan. Teddy mengeluh perlahan ketika teringatkan Apple yang hampir seiras wajahnya dengan Colin Morgan itu. Lelaki itu tidak henti-henti mengejarnya. Walaupun dia mempunyai peminat yang ramai tetapi langsung tidak dilayannya. Dia hanya mengejar Teddy sahaja. Jiwa Teddy terasa kacau apabila teringatkan budak lelaki itu. Adakalanya dia juga rasa jatuh kasihan pula pada si Apple. Yalah... dengan kesungguhan yang ditunjukkan pasti sesiapa sahaja akan mula jatuh hati melihatnya. Teddy sendiri berasa begitu sejak akhir-akhir ini. Teddy takut dia akan mula melupakan Abang Knight dari sehari ke sehari kerana dibayangi dengan kejujuran yang ditunjukkan oleh Apple.


Tapi sebenar-benarnya Teddy tidak mahu Apple. Dia mahukan Abang Knight sahaja. Walaupun Abang Knight sudah mempunyai kekasih hati, Teddy tetap tidak peduli. Selagi Abang Knight tidak berkahwin selagi itulah dia ada peluang. Betul tak?

Walaupun Teddy tahu harapannya semakin tipis dari sehari ke sehari, dia perlu menguatkan semangatnya untuk cuba memenangi hati Abang Knight. Apa yang bakal terjadi pada masa akan datang? Teddy sendiri tidak pasti. Biarlah takdir yang menentukannya...






P.S. Cerita ini berdasarkan kisah benar ek? Bukan hanya dongengan semata-mata. Cerita betul tentang seorang gadis yang berada dalam dilema percintaan remaja. Ewah2...jiwang! Ahaks...cuma nama2 sahaja yang saya tukar. Hal ini adalah untuk merahsiakan identiti mereka. Jangan tanya siapa tau...rahsia! Shhhh...And cerita ini ada sambungannya. Tajuknya "Lola De'Cafe"...check it out!!!

MV Diari Milik Teddy. Klik di bawah ya?

Lee Jong Hyun (CNBlue) - My Love



No comments:

Post a Comment